Tuesday, March 15, 2011

Cerpenku : Pelangi Ekawarna

Nukilan : Syuaib Supani
Loceng berdering lantang, tegas dan tepat pada waktunya. Mengepalai hingar-bingar dan bingit pelajar bertempiaran keluar dari kelas masing-masing. Alam mereka; alam yang dipenuhi riang ria. Apalah peduli mereka akan perkara-perkara lainnya, hatta gerimis yang renyai menyurai di tengah terik mentari? Aku berkejar ke bangsal sekolah. 

Gerimis tengah hari selalunya tidaklah terlalu lebat, bolehlah untuk aku redahi. Aku mendongakkan kepala menatap ufuk langit. Ada pelangi berwarna suram, barangkali suramnya dek hujan yang sedikit. Waktu mentari tegak sebegini, Abah kutahu tentunya masih di dusunnya. Kayuhanku dikuatkan dek denai yang melorong agak curam pendakiannya.  Estet Pak Min kulewati, barangkali dia sudah pulang dari menoreh. Getahnya getah berkualiti tinggi, dek penorehannya dikawal selia. Sistematik; setiap torehan sepanjang 4 inci, tak kurang dan tak lebih. Pemotongannya juga digilirkan mengikut hari, kira-kira tiga hari sebelum boleh ditoreh kembali. Lumayan pulangannya begitu membahagiakan, kulihat Pak Min sudah punya motosikal baharu.

Sunday, February 13, 2011

Cerpenku : Seri Vinca di Toronto

Nukilan : Syuaib Supani
Udara di sini berbeza benar, seakan menyuntik semangat baharu untukku. Mengiwir nyaman dalam irama alam, sekaligus mengurangkan sedikit rasa gusarku. Dalam keterasingan, aku mengerling ke arah jam tanganku.

“Allah, aku sudah terlewat!”

Meleset hasratku untuk terus menikmati ketenangan pagi lebih lama. Ah, masa acap mencemburui! Benarlah, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan lebih banyak daripada masa yang ada – terasa sungguh impaknya. Bingkas!

Langkah kuatur selaju mungkin sambil berkira-kira. Dewan kuliahku agak jauh, barangkali tuah akan memihak kepadaku untuk sempat tiba pada waktunya. Mataku menjilat sekeliling; masing-masing kelihatan sibuk. Nafsi-nafsi, mengarah ke arah pelbagai tujuan. Makankah, atau sekadar berjogingkah? Aku ketawa kecil mengingatkan penduduk di tanah airku, berkemungkinan mereka masih lena diulit mimpi.

“Maafkan sa…”

Sejumlah mata tertumpu ke arahku, membuatkan aku jadi gelabah. Kepala tertunduk spontan sambil jemariku menghinggapi bibir. Aku segera bergerak ke kerusi sambil dirundung malu.

Namun, rasa itu segera berlalu dek segala-galanya berjalan lancar. Dua jam kuliah pertamaku kujadikan obor pembakar semangatku bagi menghadapi hari-hari mendatang. Mengenangkan kembali saat Ummi menunjukkan sampul surat berisi tawaran melanjutkan pelajaran ke Belgium dalam jurusan kejuruteraan membuatkan hatiku dicantas pilu.

Thursday, January 27, 2011

Cerpenku : Mandiri di Hujung Usia

 
Nukilan : Syuaib Supani

Sudah hampir lima tahun. Entah berpuluh purnama sudah menjengah sejak dahulunya Prof. Anthony memujukmanjaku agar berdamping dengannya. Melepaskan ibuku pergi. Pergi dan pergi selamanya. Pergi tanpa kucupan terakhirnya di telingaku buat membangkitkan salam rindu dan menyemarakkan perdu wajaku.

Dahulu harapanku membunga mekar. Perginya ibu antara sedar atau tidak dalam gema keroncong perutnya - aku dalami benar keperitan ibu. Atas memeliharaku, kudoakan hidayah untuknya. Atas membesarkanku, kupintakan bahagia untuknya. Moga-moga tubuh mungilku ini mencetus inspirasi buat perjuangannya terhadap alam – Prof. Anthony.

Lima tahun lamanya. Dan penamatnya pada hari ini.

“Ayah! Ayah! White, jangan!”

Aku tak hirau. Menjeritlah. Melolonglah.

Wednesday, January 12, 2011

Cerpenku (Satira) : Aku dan Nemel

Nukilan : Syuaib Supani

Pagiku segar amat. Hijau alam bagaikan menepuk-nepuk selesa belakangku agar terus mamai dibuai nyaman pagi. Nakal kau! Aku menegur bayu pagi yang berpuput gemalai. "Sepatutnya kau menepuktamparku agar bangun, bukan mendodoiku biar walah," aku berbisik. Menggeliat.

"Kata Nabi tak elok tidur selepas Subuh, nanti rezeki lari," Nemel kedengaran melaung dari bawah. Aku menjengukkan kepala, memerhatikan Nemel. Rajin sungguh, desis hatiku. Nemel sedang ghairah memikul sebutir nasi untuk dibawa pulang ke busut, entah bila lagi dia mula bekerja.

Aku? Sarapan, dan kemudian bermain. Macam sehari-hari. Rezeki sudah di depan mata, apa hendak disusahkan? Kaki-kakiku perlahan meniti menuruni dahan. Memerhatikan Nemel.

Saturday, November 6, 2010

Gamma - Bahagian 1

Dari sini, 'The Red Spot' yang semerah saga tampak jelas kelihatan. Langit di sini tidak begitu berawan, berbeza dengan kepulan kumulus dan kumulonimbulus yang sentiasa berbalam-balam di langit Bumi. Musytari kelihatan agak besar, tampak dekat sekali. Barangkali oleh dekatnya Musytari dari planet ini. Barangkali oleh kabirnya Musytari, gah dalam saf Sistem Suria kita!

"Tuan Gamma, tahniah".

Aku menoleh ke arah kapten bagi misi historik ini. Jari-jemariku pantas menjabatnya erat. Senyum. Inikah senyumanmu sebelum menggagau langit tinggi?

Friday, November 5, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 3

Ibnu 'Iyadh lantas menyelak permaidani tersebut dan menyelukkan tangannya. Segenggam emas diambilnya lantas diberikan kepada Yahudi tersebut.

"Islamkanlah aku," pinta Yahudi tersebut. "Hingga sesaat yang lalu, masih aku ragu-ragu yang manakah agama yang benar".

"Pernah kubaca di dalam Taurat : Jika seseorang benar-benar bertaubat, kemudian menaruh tangannya ke atas tanah, nescaya emaslah jadinya tanah itu," dia menyambung bicaranya. Tersekat-sekat, dia memberitahu bahawa apa yang terdapat di bawah permaidani itu pada asalnya ialah gumpalan-gumpalan tanah.

Sunday, May 16, 2010

Halusnya Tangan Itu Menganyam

Ketupat.

"Siapa-siapa yang tak siapkan kerja cikgu, cepat berdiri di luar!"

Terasa bagaikan baru semalam. Ketika itu aku baru secomel putik jagung. Mulus, bagaikan meminta dihargai. Dihargai ke mana-mana. Di rumah, aku dilayan bak raja. Kata ayah, itu anjuran nabi. Sejenak aku bertandang ke sekolah, aduh, bagaikan satu igauan ngeri.

"Oh, buat bising ya! Cikgu tengah mengajar pun korang tak hormat! Berdiri di atas kerusi!"

Dan,

"Piap!" Pijar dan pilu.

Thursday, April 29, 2010

Tegak Berdiri Al-Hambra Mengimbau

Sebuah memori yang terakam kemas masih utuh berdiri :

Dan terimbau...

12 Julai 711 M bersamaan Ramadhan 92 H

"ALLAHU AKBAR!"

Tariq bin Ziyad bersama pahlawan dan perajuritnya berjaya memasuki wilayah Andalusia (kini Sepanyol) melalui selat di antara Morocco dan Andalusia yang menghubungkan antara Samudera Atlantik dengan Laut Mediteranian.

Hampir LAPAN ABAD lamanya Islam berkuasa di Andalusia - 711 M hingga berakhirnya kekuasaan Islam di Granada pada tanggal 2 Januari 1492 M / 2 Rabiul Awwal 898 H. Mereka telah membawa panji-panji ke-Islaman, baik dari segi ilmu pengetahuan, kebudayaan, mahupun segi bangunannya.