Thursday, January 27, 2011

Cerpenku : Mandiri di Hujung Usia

 
Nukilan : Syuaib Supani

Sudah hampir lima tahun. Entah berpuluh purnama sudah menjengah sejak dahulunya Prof. Anthony memujukmanjaku agar berdamping dengannya. Melepaskan ibuku pergi. Pergi dan pergi selamanya. Pergi tanpa kucupan terakhirnya di telingaku buat membangkitkan salam rindu dan menyemarakkan perdu wajaku.

Dahulu harapanku membunga mekar. Perginya ibu antara sedar atau tidak dalam gema keroncong perutnya - aku dalami benar keperitan ibu. Atas memeliharaku, kudoakan hidayah untuknya. Atas membesarkanku, kupintakan bahagia untuknya. Moga-moga tubuh mungilku ini mencetus inspirasi buat perjuangannya terhadap alam – Prof. Anthony.

Lima tahun lamanya. Dan penamatnya pada hari ini.

“Ayah! Ayah! White, jangan!”

Aku tak hirau. Menjeritlah. Melolonglah.

Wednesday, January 12, 2011

Cerpenku (Satira) : Aku dan Nemel

Nukilan : Syuaib Supani

Pagiku segar amat. Hijau alam bagaikan menepuk-nepuk selesa belakangku agar terus mamai dibuai nyaman pagi. Nakal kau! Aku menegur bayu pagi yang berpuput gemalai. "Sepatutnya kau menepuktamparku agar bangun, bukan mendodoiku biar walah," aku berbisik. Menggeliat.

"Kata Nabi tak elok tidur selepas Subuh, nanti rezeki lari," Nemel kedengaran melaung dari bawah. Aku menjengukkan kepala, memerhatikan Nemel. Rajin sungguh, desis hatiku. Nemel sedang ghairah memikul sebutir nasi untuk dibawa pulang ke busut, entah bila lagi dia mula bekerja.

Aku? Sarapan, dan kemudian bermain. Macam sehari-hari. Rezeki sudah di depan mata, apa hendak disusahkan? Kaki-kakiku perlahan meniti menuruni dahan. Memerhatikan Nemel.