Saturday, November 6, 2010

Gamma - Bahagian 1

Dari sini, 'The Red Spot' yang semerah saga tampak jelas kelihatan. Langit di sini tidak begitu berawan, berbeza dengan kepulan kumulus dan kumulonimbulus yang sentiasa berbalam-balam di langit Bumi. Musytari kelihatan agak besar, tampak dekat sekali. Barangkali oleh dekatnya Musytari dari planet ini. Barangkali oleh kabirnya Musytari, gah dalam saf Sistem Suria kita!

"Tuan Gamma, tahniah".

Aku menoleh ke arah kapten bagi misi historik ini. Jari-jemariku pantas menjabatnya erat. Senyum. Inikah senyumanmu sebelum menggagau langit tinggi?

Friday, November 5, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 3

Ibnu 'Iyadh lantas menyelak permaidani tersebut dan menyelukkan tangannya. Segenggam emas diambilnya lantas diberikan kepada Yahudi tersebut.

"Islamkanlah aku," pinta Yahudi tersebut. "Hingga sesaat yang lalu, masih aku ragu-ragu yang manakah agama yang benar".

"Pernah kubaca di dalam Taurat : Jika seseorang benar-benar bertaubat, kemudian menaruh tangannya ke atas tanah, nescaya emaslah jadinya tanah itu," dia menyambung bicaranya. Tersekat-sekat, dia memberitahu bahawa apa yang terdapat di bawah permaidani itu pada asalnya ialah gumpalan-gumpalan tanah.

Sunday, May 16, 2010

Halusnya Tangan Itu Menganyam

Ketupat.

"Siapa-siapa yang tak siapkan kerja cikgu, cepat berdiri di luar!"

Terasa bagaikan baru semalam. Ketika itu aku baru secomel putik jagung. Mulus, bagaikan meminta dihargai. Dihargai ke mana-mana. Di rumah, aku dilayan bak raja. Kata ayah, itu anjuran nabi. Sejenak aku bertandang ke sekolah, aduh, bagaikan satu igauan ngeri.

"Oh, buat bising ya! Cikgu tengah mengajar pun korang tak hormat! Berdiri di atas kerusi!"

Dan,

"Piap!" Pijar dan pilu.

Thursday, April 29, 2010

Tegak Berdiri Al-Hambra Mengimbau

Sebuah memori yang terakam kemas masih utuh berdiri :

Dan terimbau...

12 Julai 711 M bersamaan Ramadhan 92 H

"ALLAHU AKBAR!"

Tariq bin Ziyad bersama pahlawan dan perajuritnya berjaya memasuki wilayah Andalusia (kini Sepanyol) melalui selat di antara Morocco dan Andalusia yang menghubungkan antara Samudera Atlantik dengan Laut Mediteranian.

Hampir LAPAN ABAD lamanya Islam berkuasa di Andalusia - 711 M hingga berakhirnya kekuasaan Islam di Granada pada tanggal 2 Januari 1492 M / 2 Rabiul Awwal 898 H. Mereka telah membawa panji-panji ke-Islaman, baik dari segi ilmu pengetahuan, kebudayaan, mahupun segi bangunannya.

Wednesday, April 28, 2010

MEMPERTONJOLKAN INDAHNYA ISLAM
Generasi MTS - Hiasilah Container Ilmu! - Bahagian 2

ISLAM itu hakikatnya indah, penurunannya juga dengan cara yang indah, penghayatannya alangkah indah, malahan disampaikan oleh utusan-Nya yang terindah dengan budi pekerti terindah dengan cara yang sangat indah!

"Sesungguhnya Allah itu indah, sukakan keindahan".

Lantas al-Quran yang menjadi panduan kepada umat Islam, semestinya adalah indah!

Justeru, bagaimana kita sebagai daie, hendak menonjolkan keindahan ISLAM itu agar kehidupan masyarakat kembali indah?

Indah dalam keharmonian bak zaman kegemilangan Tamadun Andalus, Cordova ketika masyarakatnya yang berlainan kaum dan agama hidup makmur bersama tanpa timbul sebarang isu keagamaan, malahan diperintah secara Islami?

Indah dalam keakraban bak zaman kegemilangan Negara Islam Madinah ketika Ansar dan Muhajirin dipersaudarakan?

Indah dalam keintelektualan bak zaman kegemilangan ilmuwan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu hingga menjadi inspirasi kepada Renaissance?

Hendak tonjolkan keindahan ISLAM, jadikanlah keindahan itu sebagai SUBJEK!

Tuesday, April 27, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 2


Sungguh, wajah itu seiras Rabiah. Wajah anak kecil yang lahir dari rahimnya. 'Iyadh - itu pusaka kami berdua buat alam. Sungguh, al-Khalik lebih merindu Rabiah untuk bertemu dengan-Nya. Dalam junaman bom yang meluru, dia arjunaku masih sempat mengerling ke arah kami dengan senyumannya yang termanis - itu senyuman perpisahan. Dalam percikan darah harum yang menompoki tanah, utuh lagi mushaf al-Quran yang sering dibawanya.

Mungkin titipan terakhirnya buat kami.

Cintakan al-Khalik.

"Abi cinta akan Ummi, bukan?" suara 'Iyadh bertanya kedengaran lagi. Lantas air mataku tumpah, namun segera kuseka.

Wednesday, March 31, 2010

COKLAT, COKLAT, COKLAT ;
Generasi MTS - Hiasilah Container Ilmu! – Bahagian 1

Kita - generasi MTS - kelak akan berdepan masyarakat.

Kita punya banyak elemen. Kita ada hafazan al-Quran. Kita ada akademik. Kita ada ilmu agama. Kita ada sains. Kita ada kokurikulum. Kita ada penghayatan agama. Kita lalui tarbiah. Dan Insya Allah, kita ada TAQWA.

Sementelahan itu, sewajarnyalah kita punya variasi dan warna-warni untuk menambat minat masyarakat terhadap penghayatan dan pengamalan Islam!

Tuesday, March 30, 2010

Nik Aziz Ketuai Senarai Penerima Pingat Kebesaran

Sumber : Berita Harian Online (hari ini, 30 Mac 2010)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengetuai 84 senarai penerima Anugerah Gelaran Kebesaran dan Darjah Kebesaran pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Fetra Sultan Ismail Petra, di Istana Balai Besar, hari ini.

Senarai penerima itu adalah sebahagian daripada 639 penerima Gelaran Kebesaran, Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai daripada Tengku Muhammad Faris.

Nik Aziz menerima Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia, manakala Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria (Datuk Lela Negara); Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Che Yusoff (Datuk Bentara Luar); dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Sri Setia Raja) yang masing-masing membawa gelaran Datuk.

Empat Gelaran Kebesaran itu dianugerahkan kepada pemimpin selepas dua tahun tidak dikurniakan Sultan Ismail Petra.

Tengku Muhammad Faris Petra juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, manakala Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) SPMK pula dikurniakan kepada Tengku Sri Jaya Raja, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Penerima bagi Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) pula kepada Datuk Tengku Salwani Al-Marhum Sultan Yahya Petra; Datuk Tengku Rozan Al-Marhum Sultan Yahya Petra; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Juruterbang, Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Khairi, dan Datuk Tan Kok Hwa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pula menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK). Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula dikurniakan Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP), manakala Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam masing-masing menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).

Selain itu, antara penerima bagi Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) pula dikurniakan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman; Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Kanan Mofaz (M) Sdn Bhd; dan Adun Pengakalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar.

Sementara itu, Mohd Aiseri berkata pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman kerana SAMBUTAN ITU PADA KALI INI HANYA MEMBABITKAN MAJLIS TAHLIL DI SEMUA MASJID.

"Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan berlangsung esok (hari ini)," katanya.

Monday, March 29, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 1

Dari manakah lahirnya cinta? Cinta bersurat kerinduan dan kebahagiaan meneroka kehidupan? Cinta yang menjadi impian agar sang pencinta kekal bersama yang dicinta walau selepas Hari Perhitungan? Lantas melepasi halangan-halangan Mahsyar berbekalkan kuatnya nostalgia cinta?

Lantas, siapakah?

Dari lubuk hati terdalam, tentunya tersisip kemas nur cinta. Nur? Ya, bukan cinta dalam awang-awangan, tidak realistik - memancarkah nur? Nur itu - mendatangkan ketenangan jiwa - merupakan hadiah daripada habib yang acap merindu. Ya, rindu dalam berjauhan, jauh di kejauhan.

Tersenyum aku.

Ah, bukan?

Bahkan, sang perindu lebih dekat daripada urat tengkukku!

"Duhai Abi, apakah maksudnya cinta?"

Tafakurku bercempera, menghalau jauh bayangan ilusi yang tadinya panas mengintip. Segera istighfar meniti di bibir. Api yang membakar sumbu lilin sepotong di hadapanku meliuk-liuk dihembus angin malam. Bagaikan menjelaskan kepadaku, sukarnya meneruskan kehidupan dalam ujian yang tak pernah lekang memburu diri, namun bisiknya lagi; sabar itu pasti! Sukarnya bermujahadah!

Sepertikukah?

Segera aku teringat akan soalan yang meluncur dari lidah anakku beberapa jenak tadi. Dia kudukung perlahan, kukucup ubunnya lantas kududukkannya di atas ribaku. Ah, fasih petahnya terlalu membahagiakan!

"Mengapakah soal itu yang terbit dalam benakmu, duhai 'Iyadh?" Aku kurang pasti, namun mulusnya wajah mongel itu, bagaikan belum tiba masanya untuk berbicara tentang perkara semisal itu.

"Saja bertanya. Sesungguhnya 'Iyadh teringatkan penglipur lara yang sering Ummi bacakan buatku sebelum tidurku, katanya cinta itu lumrah kehidupan. Berbekalkan cintalah datuk kita, Adam alaihissalam dipertemukan kembali dengan Hawa, " tangan jemari 'Iyadh menyelati lembut janggutku yang sengaja disimpan, guna mengikut sunnah Junjungan.

Sekonyong-konyong wajah jelita Rabiah arjunaku muncul tersenyum di sampingku. Aku jadinya gembira, namun melihatkan 'Iyadh, senyuman lebarku mati.


bersambung...

Dua Perkara dalam Gemersik Ulang Tahun Kelahiranku


Hari ini, tetap dengan gemersiknya seumpama hari yang sama tahun-tahun lepas.

Apa ada pada ulang tahun kelahiran? Di sesetengah negara, ulang tahun kelahiran tidak disambut dan sambutannya dianggap sesuatu yang mengaibkan. Namun ada negara yang masyarakatnya menyambutnya dengan harmoni dan meriah. Jamuan dan majlis diadakan di rumah-rumah, di restoran, di kafe, hatta jika pada hari itu anda ke mana-mana dan memberitahu "Hey, today is my birthday" seluruh orang di sekelilingmu yang mendengarnya pasti akan meluncurkan kata-kata "Well, congratulation!" dan anda akan diraikan.

Muhasabah

Apa ada pada ulang tahun kelahiran?

Ada dua perkara penting :
1- anda bersyukur kerana masih diberi peluang menikmati anugerah Allah dan berbakti kepada-Nya.
Ini soal MANIFESTASI SYUKUR.

Anda, SEMOGA PANJANG UMUR.

2- kelihatannya umur anda bertambah, hakikatnya umur anda semakin berkurangan dan anda sedang dihampiri mati !
Ini soal IBADAH dan BAKTI. Ini soal BEKAL.

Anda, SELAMAT PENDEK UMUR.

Apa yang telah kita lakukan sebagai manifestasi syukur?
Apa yang telah kita lakukan dalam ibadah dan bakti bagi mengisi bekal?

Sungguh, diriku hanya sang musafir kelana di bumi-Nya.
Diamanahkan sebagai hamba. Diamanahkan sebagai khalifah.

Sungguh, aku telah terlalai!

Manifestasi Syukur


Acap kali lisan kita begitu mudah menutur kalimah syukur. Ya, itu salah satu manifestasi syukur kepada al-Khalik. Kita diajar supaya bertahmid. Alhamdulillah.

Andaikan anda mempunyai seorang sahabat karib. Dia membawa anda ke restoran makanan ternama yang makanannya sangat berharga. Dia membelanja anda makan.

Apa yang anda imbalkan? Bayangkan situasinya jika anda ucapkan,

"Terima kasih sahabat"

dan pada masa yang sama anda menumbuknya dan melemparkan kata-kata keji.

Dan sahabat anda tetap tersenyum, alangkah penyabarnya. Dia tetap jua membelanja anda dengan makanan yang lebih mahal.

Apa respon anda?

"Terima kasih sahabat"

dan anda...

Allah beri kita pelbagai anugerah. "Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya". Tidak terhitung!

Apa yang kita imbalkan? Sekadar menuturkan "Alhamdulillah" lantas mengingkari arahan-Nya? Melakukan maksiat dan dosa terhadap-Nya? Menghina syariat-Nya? Mengabaikan kewajipan terhadap-Nya?

Adakah kita benar-benar memaksudkan syukur itu?

Alangkah lancarnya lidah kita berdusta.

Sheikh Muhammad Abduh membuat takrif syukur sebagai berikut : 
Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan.

Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan, hati, dan anggota badan.

Kekalkan baik sangka terhadap Allah s.w.t dan letakkan keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. 

Ucapkan tahmid dan ajaklah sahabat kita untuk sama-sama menyedari dan mensyukuri nikmat-Nya.


Lakukan perintah dan tinggalkan larangan-Nya.


Gunakanlah nikmat kita pada yang sepatutnya.


Kongsikan nikmat yang diperoleh bersama orang lain.

Seorang ahli hikmah berkata : 
Saya sibuk mensyukuri empat perkara :
1. Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.
2. Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.
3. Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang Muslim.
4. Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad s.a.w.

Tuntas

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.  Dan sesungguhnya setiap daripada kamu akan menerima balasan pada hari kiamat. Maka sesiapa yang terlepas dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh, dia sangat beruntung..."

"Sekiranya kamu bersyukur, sungguh akan Kutambahkan bagimu, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabku amatlah berat".

Sahabat,
manifestasikan syukur dalam kehidupan!

Wallahu A'lam, betulkan jika tersalah.

Sempena mensyukuri hari ulang tahun kelahiranku pada hari ini, kutitipkan cerpenku, Cinta 'Iyadh, moga menginspirasikan alam.

Friday, March 26, 2010

Duhai yang Rebah, Inilah Ujian Allah!

Pernah sahabatku mengadu kepadaku mengenai rakan setugasnya. Dia sebagai pengerusi, rakan setugasnya timbalan pengerusi. Pilu sekali dia menceritakan kisahnya. Tentang frustnya dia memperoleh rakan setugas seumpama itu. Tentang ketidakbertanggungjawabannya. Tentang kesukaran yang dihadapi bekerja dengannya. Tentang bermacam-macam! Hari semakin berganti, malam silih menyelimuti, pelbagai kesukaran perlu dihadapi, dan tarikh akhir tugasannya kian menghampiri!

Semangatnya luntur untuk bekerja. Andai dahulu dia dikatakan antara petugas paling komitmen, inovatif dan bermacam-macam lagi antara petugas yang ada, kini wajahnya dihiasi kemuraman. Kedurjaan.

Sahabat,
"Apakah manusia mengira bahawa dia sudah beriman, padahal dia belum diuji?"
Semakin Allah sayangkan hamba-Nya, semakin kuat dugaan yang diterima. Seberat-berat manusia yang diuji bukankah Rasulullah? Sedangkan baginda merupakan Habibullah, kekasih-Nya!

Sabar itu dicintai Allah. Nabi berpesan, bahawa sabar itu sebahagian daripada iman. Iman bukankah padanya 'kepada Allah'? Justeru, sabar memupuk kita kembali kepada Allah.

Allah menguji hamba yang dicintai-Nya. Dan sabar memupuk kita kembali kepada Allah. Lantas?

Ah, ternyata kita sering terlepas pandang.

Allah menguji hamba yang dicintai-Nya. Kita sabar, dan kembali kepada Allah. Kembali MERINTIH kepada Allah. Kembali MENGADU kepada Allah. Allah, beratnya ujian-Mu! Allah dambakan munajat kita. Bukankah selangkah kita mendekati Allah, sepuluh langkah Allah akan mendekati kita?

Lantas, pantas kita bermuhasabah.

Tatkala diuji kita rebah. Allah ingin kita memohon kepada-Nya. Allah kan membantu kita bangun kembali. Seribu kali kita rebah, seribu kali kita bangkit. Bangkit bersama taqarrub. Allah itu lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita. Acapnya Dia dikesampingkan, alangkah lalainya kita!

Tidak kira betapa sukarnya, ingatlah Allah, berdoalah kepada-Nya.
Bersyukurlah andai tugasanmu mudah kerana mudahnya itu merupakan nikmat Allah bagimu, agar kau merasai kurnia-Nya. Kasih sayang-Nya. Disyukuri dengan segenap manifestasi.
Bersyukurlah andai tugasanmu sukar, kerana Allah ingin mengujimu, Allah inginkanmu merintih kepada-Nya, dan Allah ingin memberikanmu peluang. Peluang menimba pengalaman yang mematangkan.

Sahabat, Allah mengujimu melalui dia, rakan setugasmu.

Allah inginkan kau sentiasa bersama-Nya!



Selepas hari itu, dia cuba menyelesaikan masalahnya. Dia diberi dorongan. Olehku. Oleh sahabat-sahabatku. Oleh ibu bapa yang sentiasa merindu. Dia bangkit.

Dan kini, dia masih tetap mengukir senyuman optimistik seumpama dahulu!