Tuesday, November 29, 2011

Achieving Our Dream : A to Z List [ AMIns - Anekdot Motivasi dan Inspirasi ]


Mimpi, terhasilnya dek mengimpikan apa yang diimpikan.

Bagaimana hendak dinafikan; memanjat tangga, pasti mengimpikan tiba di penghujungnya. Mengais kehidupan untuk mencicip walau sekelumit rezeki, pasti mengimpikan saat bahagia dan kesenangannya. Menghayun mata pena dan mengombak halaman buku, pasti mengimpikan kala gilang kecemerlangan dan kejayaan. Sehiris luka pedih di kalbu, alangkah bahagianya jika kesembuhan yang diimpikan bertandang.

Malahan sang hamba, jalan perjuangan ini ada impiannya.

Monday, November 28, 2011

Medan Gelombang Hati [ AMIns - Anekdot Motivasi dan Inspirasi ]


Buku kehidupan - selak seketika beberapa halaman ke belakang. Tinggal sebentar alam pravarsiti untuk dilakar mengisi halaman semasa. Tinggal sebentar serabut dunia yang mencengkam hati dari tenang berbicara dengan Tuan hati yang dirindui. Tinggal sebentar halaman kehidupan semasa yang kusam.

Sedetik terhenti pada beberapa halaman sebelum. Halaman tercoret indah dan kemas, meskipun ada sedikit jua carik-carik di beberapa tempat.

Halaman biah tarbiah. Biah Qurani.

Sunday, November 6, 2011

Cerpenku : Mizan Emas

Nukilan : Syuaib Supani


Pagiku gesa-gesa, walhal suria tenang berkongsi habanya buat kesejahteraan alam. Waktu Dhuha menyapa bagaikan aku tak terpanggil sama. Tangan pada tali pinggang Levi's. Kemeja T belang-belang. Baju panas putih disingsing lengan. Semerbak Brave mengharum.

Peluang sekali harus direbut, gumamku. Digagau dicapai disemat erat. Hati bunga-bunga teruja.

"Sahabat, anta sudah menuturkan hamdalah kerana pagi masih sempat disapa, bukan?" mesej bertandang ke telefon bimbit. Wafi. Sehidup semati di hati. Pagi-pagiku takkan sunyi daripada titipan daripadanya. Tazkirah, pesanan dan ibrah pun. Aku senyum, senang. Jari menaip, membalas cuitan pagi.

"Sahabat, ana ada sedikit urusan di Shah Alam. Doakan moga dipermudahkan".

Dengan itu, aku melangkah keluar. Entah kaki kiri atau kaki kanan yang mendahului, dalam masa hatiku belum lekang daripada mesej balasan daripadanya. Pun begitu, langkah pagi tetap kuatur dalam ceria. Girang, dan siapa tahu aku bakal menangis di akhir hari. Mungkinkah?