Wednesday, November 28, 2012

Bisik Daddy


Dari wad pembedahan, aku meraung. Sang doktor menghela nafas lega. Jururawat mengesat keringat di dahi. Daddy sujud syukur di luar sana.

Daddy sambut aku. Peluk cium kasih. Daddy tak bisikkan ABC,123, walaupun ilmu itu penting dalam kehidupan. Daddy tak bisikkan nama Steven Gerrard dan Pudolski, walaupun sukan itu nadi kesihatan.

Daddy bisikkan azan dan iqamat. Dari membesarkan Allah kepada penekanan keesaan-Nya. Bekal penting buat kehidupan. Aku dengar. Dan aku taat.

Sedari sedutan nafas pertama. Tangisan pertama. Dan tubuh mulus dihembus udara dunia.

Masih ingatkah akan kenangan manis itu? Suara Daddy yang penuh ikhlas dan kasih ketika itu?

Ya, betullah. Tiada pun ‘I Love You, baby’ atau seumpamanya. Azan. Iqamat.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

Walau ketika itu aku takut dengan dunia baru. Aku silau dengan hadirnya cahaya. Aku sejuk ditepuk angin sepoi-sepoi bahasa. Tapi Daddy pesan, Allah itu lebih besar dan berkuasa daripada segala-galanya. Ingatilah Dia, kau takkan takutkan apa jua ancaman dan ujian selepasnya.

Aku naik saksi bahawa tiada Ilah selain Allah.
Aku naik saksi bahawa tiada Ilah selain Allah.

Dulu semasa di alam roh, aku pernah bersaksi bahawa Allahlah Ilahku satu-satunya. Tiada lainnya. Dan saat lahirku, aku terlupakan itu. Mujurlah Daddy ingatkan aku! Mujurlah Daddy sambil mengingatkan dirinya, akan tanggungjawabnya untuk mengingatkan aku. Alangkah beratnya tugasmu, Daddy!

Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Nanti di akhirat, Muhammad Rasulullah akan naik saksi bahawa baginda telah menyampaikan. Dan aku juga harus naik saksi itu juga. Aku perlu menyampaikannya kepada mereka di sekelilingku. Daddy, terima kasih kerana mengingatkan!

Marilah menunaikan solat.
Marilah menunaikan solat.

Daddy sedar, aku terdiri daripada jasad dan ruh. Oh, makanan jasad, dia sanggup bersengkang mata membanting tulang untuk mendapatkannya untukku. Daddy tak risaukan itu. Daddy risaukan makanan ruhku. Agar aku tetap bertenaga. Agar aku tetap tak lalai daripada-Nya. Agar aku benar-benar menjiwai rasa kehambaan itu. Walaupun kadang-kadang dan dahulu Daddy culas juga. Tapi Daddy tak mahu aku mengulanginya. Daddy enggan aku terperit-perit menghadap amarah-Nya kelak.

Marilah menuju kejayaan.
Marilah menuju kejayaan.

Daddy nak sampaikan, bahawa Allah suka hamba-Nya yang berjaya. Kejayaan hakiki. Bagaimana itu? Kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan dunia berorientasikan akhirat. Kejayaan akhirat yang abadi, bersepadu. Kejayaan dalam segala tanggungjawab saksiku. Kejayaan dalam pengabdianku. Holistik.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Tiada Ilah selain Allah.

Dan Daddy mengingatkan lagi. Lagi dan lagi. Agar aku takkan lalai. Bukan untuk Daddy. Tapi untuk aku. Daddy sayangkan aku. Dan Daddy tak jemu mengingatkan. Asas tapak kehidupan, iaitu hidup kerana Allah. Pengharapan kepada-Nya.

Sedarkah kita, saat itulah suara Daddy paling ikhlas menyampaikan pesannya? Pesanan terpenting untuk seluruh kehidupan kita?

Tribut apresiasi buat Daddy. Buat Daddy anda juga.

Friday, November 16, 2012

Gaza Memuhasabah Kita

Pada Exodus 13 : 21-22; ‘by day the lord went ahead of them in a pillar of cloud to guide them on their way’. Dan dalam Numbers 14 : 14. Deuteronomy 1 : 33, Nehemiah 9 : 12 serta Nehemiah 9 : 19. Kitab Perjanjian.

Pillar of cloud. Sebuah manifestasi kehadiran tuhan Israel di dalam Torah. Dikaitkan dengan pillar of fire, rumpunan api yang membekalkan cahaya dalam gelita malam. Justeru pada pillar of cloud itu, orang Israel dapat mengembara pada siang mahupun malamnya.

Operation Pillar of Cloud. Atau bahasa Hebrewnya Amúd Anán. Atau Pillar / Column of Defense. Atau Operasi Puting Beliung. Atau apa jua namanya,

keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.
Meskipun Presiden Israel, Shimon Peres memaklumkan Barack Obama, sinar harapan keamanan sejagat yang baru diberi peluang kepercayaan kedua, ‘Israel does not want an escalation but for the last five days, we were under nonstop bombardment, mothers and children cannot sleep in peace at night. There is a limit to what Israel can withstand. Ahmed Jabari was behind many terror activities’, lalu lantas disokong beliau dengan kata megahnya, ‘Israel mempunyai hak untuk mempertahankan negara mereka’, sekaligus dihargai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Senyum-senyum Shaul Molfaz, ketua pembangkang Israel. Ehud Olmart, bekas Perdana Menteri angguk-angguk. Jua menteri pertahanannya, Ehud Barak. Jua kepala-kepala Israel lainnya, Tzipi Livni, Shelly Yachimovich dan Naftali Bennett.

Isra-el, yang maksudnya hamba Tuhan. Sepintas lalu, kelihatan ber’iman’nya mereka kepada tuhan mereka. Dengan sedaya-upaya merampas The Promised Land, ‘Tanah yang Dijanjikan’. Dengan perumpamaan manusia bukan Israel sebagai Goyyim, laksana binatang. Oh, baikkah? Paradoks. Tuhan apakah ini? Walau namanya Isra-el, sempena gelaran moyang mereka Nabi Yaakub, walhal ‘el’ di situ ialah Allah, tuhan Nabi Yaakub. Siapa yang terkhilaf sebenarnya? Atau nama tinggal nama?

Ironi. Ramai juga umat islam kini yang islam pada nama sahaja. Aduh, keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.

(Oh, bukanlah semua umat islam. Seperti Israel, hanya Zionis terutamanya yang tegar)

Resolusi keamanan tinggal resolusi. Mengulangi sikap kepada 64 resolusi sebelumnya. Degil namun digeruni. Aduhai Iraq, 2 resolusi yang tidak dipersetujuinya menyebabkan sejarah menukilkan perang besar-besaran atasnya. Digempur gegak-gempita. Lalu mendabik dadalah kepimpinan bendera bintang David bahawa mereka pejuang keamanan sejagat. Melaung lantanglah sedemikian rupa negara kuasa besar, Amerika Syarikat, walhal tampak jelas di sana berat sebelah dan self-oriented. Ucaptama di Twitter Israel, ‘We recommend that no Hamas operatives, whether low level or senior leaders, show their faces above ground in the days ahead’ dibalas Hamas, ‘Our blessed hands will reach your leaders and soldiers wherever they are. You Opened Hell Gates on Yourselves’. Seiring sehaluan dengan pernyataan itu jua, Israeli Defense Force mendakwa ‘Pattern of Hamas to use the population of Gaza as human shields’. Lantas boleh dipercayaikah kata-kata manis mereka ‘we try to avoid civilian casualties’? Petah dan fasih berbicara, namun mementingkan diri sendiri dalam pelaksanaannya. Oh, jadi mereka pun mempraktikkan amar makruf nahi mungkar, tapi sendiri amal mungkar tarki (tinggalkan) makruf.

Ironi. Ramai juga umat islam kini yang sendiri amal mungkar tarki makruf, walaupun berdegar-degar mencoret pena meluah bicara amar makruf nahi mungkar. Aduh, keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.
Kecaman demi kecaman. Jet pejuang F-16, jentolak tempur, kereta perisai, bot tentera, waima menara kawalan pun memuntah-muntah. Dan sehingga kini, Hospital asy-Syifa’ antara lain terus menjadi saksi. Sedari detik 14 November 2012, 4.10 petang waktu Gaza bersamaan 10.10 malam waktu Malaysia. Gaza terus bermandi darah. Berbasah keringat dan air mata yang tumpah. Bersama laungan takbir yang tak pernah lelah. Manakan tidak, semulus adik Hisham Ghalban Sulawesi, semuda 10 bulan adik Hanin Tafish, seawal 2 tahun adik Ranan Yousef Arafat dan secilik 7 tahun adik Maria Arafat, antara lain pun sudah gugur mulia sebagai syahid. Sudah menapak ke syurga. Berpimpin tangan bersama adinda Mahmoud Zahar, iaitu as-Syahid Ahmad al-Jabaari, Ketua Umum Briged al-Qassam, menuruti jejak langkah mulia Sheikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz al-Rantisi. Di Gaza, nyawa mereka diniagakan. Dengan siapa? Allah Azzawajalla.

Dan ia benar-benar menggugah. Benar-benar menguji keimanan orang yang beriman dari seluruh dunia. Ketika mereka sedang ditindas, dibunuh, mereka meyakini bahawa Allahlah segala-galanya bagi mereka.

Seperti ironinya umat islam kini yang terlupa ikrar mereka ‘sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah, Tuhan sekalian alam’.

Ketika ajal bertandang, sekalipun perit dan sakit, mereka meyakini bahawa Allahlah segala-galanya bagi mereka. Cintakan mati untuk kehidupan abadi. Sehingga ramai yang tersenyum saat perginya, memandang balasan istimewa yang disediakan buat mereka. Sehingga ramai para ibu di Gaza meluahkan, ‘Kami ingin dan akan berkahwin lagi, supaya dapat melahirkan lebih ramai syuhada’.

Seperti ironinya umat islam kini yang disebutkan Rasul berpenyakit wahan; ‘cintakan dunia dan takutkan kematian’.

Ketika itulah, Allah membuka pelbagai pintu bantuan yang tidak disangka-sangka. Pintu sempadan Mesir dibuka, membenarkan mangsa yang cedera masuk untuk dirawat. Dari seluruh dunia, berpusu sokongan bertali arus. Doa dikirimkan tak putus-putus. Walaupun BBC di Amerika tetap melanggar etika media dengan laporan tidak seimbang. Sehingga Kristen Wolfe mewakili penduduk Barat meluahkan, ‘maafkan kami, kami tidak mengetahui perkara sebenar’.

Siren keselamatan di Ashkelon berkumandang jua. Bi’r Saba’h digempur balas. Digempur balas. Ya, kucar-kacir 14 November 2012 ini bukanlah bermula di situ, namun tragedi 5 November, saat remaja 20-an dibunuh tentera rejim Zionis dan beberapa hari kemudiannya, seorang kanak-kanak kecil yang sedang bermain bola menemui nasib yang sama. Ya, tragedi 5 November itu juga tidaklah bermula di situ, namun jauh sebelumnya, Yahudi telah menolak kerasulan Muhammad kerana bukan daripada kalangan mereka, walaupun Yahudi jugalah yang membunuh nabi-nabi daripada bangsa mereka sendiri. Sehingga dihukum dengan sesat 40 hari di padang pasir. Dihalau dari The Promised Land. Merempat tiada bernegeri. Disebabkan kesalahan sendiri, namun enggan mengakui. Oh, angkuh tidak terperi!

Ironi lagi. Berapa ramaikah umat islam kini yang benar-benar beriman dengan kerasulan Muhammad, dalam erti kata sebenar iaitu mengambil baginda sebagai contoh, mengambil islam yang syumul sebagai cara kehidupan, apatah lagi benar-benar merasai kebersamaan dengan Allah menerusi ihsan?

Aduhai, pengakuan syahadah yang ironik.

Inilah secebis kisah awal Muharram 1434 Hijriah, saatnya kini Gaza masih lebam-lebam dan terus ditempur dihunjam. Benar-benar menguji keimanan orang yang beriman dari seluruh dunia, hatta mereka di Gaza sendiri. Ujian yang mengukur, jua meningkatkan tahap keimanan. Tingginya iman mereka di Gaza, tinggi jua ujian yang dikendong. Hijrahnya kita kepada lebih baik, berhijrah juga mereka kepada kehidupan hakiki yang lebih baik, sebagai syuhada.

Allah uji Gaza untuk menguji kita semua. Gaza memuhasabah kita, aduhai, sudah muhasabah dan hijrahkah kita, sehingga saat ini?

Thursday, November 15, 2012

Hijrah: Tangguh atau Tangguk selepas Angguk?



(Nota: tangguh-menangguh, tangguk-menangguk, angguk-mengangguk)

Hijrah, tidak tertangguk serta-merta. Semberono mahupun tiba-tiba.

Sepertinyalah hijrah ke Madinah.

Siapa figura yang ingin berhijrah ke Madinah itu? Muhammad bin Abdullah. Sang Rasulullah. Jelas, baginda telah dianggukkan terlebih dahulu.

Siapa figura yang ingin berhijrah ke Madinah itu? Para Sahabat baginda. Kental cekal teguh utuh. Jelas, mereka telah dianggukkan terlebih dahulu.

Pada apakah terangguknya? Suluhlah sirah; keimanan yang melahirkan keinginan. Hati mereka telah mengangguk untuk berhijrah. Lalu, hati mereka berhijrah. Hati mereka kemudiannya mengangguk supaya tubuhnya berhijrah. Lalu tercatatlah hijrah dalam sejarah!

Hijrah kepada apakah yang dianggukkan itu? Tidak, bukanlah hijrah ke Madinah, pada hakikatnya. Kerana jika hijrah ke Madinah itulah yang ingin ditangguk, maka bercintan-cintunlah mereka saat memandang pria dara di Madinah.  Kerana jika hijrah ke Madinah itulah yang ingin ditangguk, maka berniagalah mereka kepada Aus dan Khazraj tanpa saingan kabilah Arab yang lain. Tidak!

[ومن كانت هجرته لدنيا أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه]
[dan barangsiapa yang hijrahnya kerana keduniaan atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah mengikut apa yang dia hijrah kepadanya]

Angguk untuk berhijrah kepada kekayaan duniakah? Angguk untuk berhijrah kepada wanitakah?

Akasnya, hati mereka telah mengangguk untuk berhijrah kepada Allah. Kerana Allah. Angguk hati tidaklah seumpama angguknya dagu, kerana angguk hati itu pada yakin dan patuh, dan angguk akal itu pada mengetahui. Ya, hati mereka telah mengangguk.

[فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله]
[maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya]

Rasul yang mulia dianggukkan (baca: ditarbiyah supaya hatinya angguk) sedari kecilnya. Pada dada yang dibelah. Pada menggembala kambing. Pada yatimnya. Pada pemergian orang dikasihinya. Pada kemurnian akhlaknya. Pada kecerdasan akalnya. Pada ketidakinginannya kepada jahiliyyah. Dan senarai yang tidak akan menemui penghujungnya. Lalu Allah menyeru hatinya agar berhijrah kepada-Nya, dengan menghantar Jibril, salam atasnya. Lalu baginda menangguk hijrah hati itu selepas mengangguknya.

Sahabat yang setia juga dianggukkan hatinya sebelum mereka menangguk hijrah hati itu, terima kasih kepada jerih keringat Rasul yang tak pernah walah mengalah untuk mengajak hati mereka supaya turut mengangguk mengenai ketauhidan Allah. Keringat yang bercucuran ketika mengumpulkan kerabat keluarga di Bukit Safa. Keringat di lorong-lorong kota Makkah. Ketika di Taif jua; keringat berbaur darah. Demikian pula Sahabat. Ibu bapa, kerabat sekalipun batu besar menduga hijrah. Angguk mereka tidak berpaling. Tidak juling. Angguk untuk cekal tunduk.

Sukar. Pedih. Namun tak undur dan mundur. Apatah lagi futur. Dan hijrah serta dugaannya itu, hai sahabat, tidak statik, tidak.

Satu; Taif menghunjam menikam. Dua; Abu Talib lena selamanya. Tiga; Khadijah tercinta tidak lagi bersama. Lalu angguk dan tangguk hijrah Rasul berteman kepiluan muram durja. Sehingga diajak baginda bertemu-Nya. Bertemu empunya yang dihijrahkan kerananya dan kepadanya itu. Memotivasi dan menginspirasi.

A point of inflection. Untuk melompat lebih tinggi, perlu tunduk terlebih dahulu, bukan? It is not how low you fall, but how high you bounce back. Sebagai batu lonjakan, kepada hijrah yang lebih kental. Dan hijrah yang merintis kemenangan pembukaan. Isra Mikraj pada Rejabnya, bertemu hujjah dari Yathrib pada Zulhijjahnya, lalu menangguk hijrah yang lebih besar pada Rabiul Awwalnya.

***


Ceritera penglipur lara insan beriman ini, segalanya bermula dengan angguknya hati lalu menangguk hijrah. Hijrah hati.

Hati mereka takkan berhijrah tanpa mengangguk. Dan angguk – daripada hidayah – itu hak milik mutlak Allah. Yang telah Allah sinarkan sekelumit ke dalam hati kita yang sebelumnya gelap-gelemat. Gelita dalam hitam jahiliyyah. Samar dalam kelabu permainan syaitan.

Sedangkan dunia pun diibaratkan roda, apatah lagi anggukan hati itu. Sekejap-kejap laju angguknya. Sekejap-kejap angguk perlahan. Walaupun masih mengangguk. Payah tanpa mudah. Lelah.

Sang Rasul dan Sahabat, serta-merta menangguk hijrah selepas mengangguk. Waima hijrah hati, pada hijrahnya mereka daripada jahiliyah kepada islam, serta hijrah ke Madinah, yang kedua-duanya adalah hijrah kepada dan kerana Allah semata-mata.

Dan kita masih ingin menangguh? Selepas angguk-angguk perlahan atau laju?

Siapa menjamin saatnya dia akan menangguk hijrah pada masa akan datang? Tangguh, tunggu senja menyingsing? Tunggu dinihari hening? Atau menanti lusa terhegeh-hegeh menjeling? Seumpama menangguk di air keruh, menanti kering?

Kenapa ingin menangguh? Kerana perit dan mencerut? Kerana keputusasaan dan kewalahan? Kerana seringnya futur dan terabaikan dustur (al-Quran)? Bisik kepada diri; kenapa ingin menangguh, sedangkan sebuah keluarga yang menangguk hijrah dimakan api menjulang. Sedangkan sang ibu tegar enggan makan kerana keislaman si anak. Sedangkan Hanzalah merasakan kelalaiannya kepada Allah suatu noda dosa.

Kenapa ingin menangguk? Kerana tak terhenti angguk melainkan perlu disertai oleh tanggukan hijrah. Kerana kita belumlah mengangguk selagi mana belum menangguk. Hijrah terasa panjang dan sukar? Memang benar, itulah yang sepatutnya dirasakan, atau jika kita merasakan hijrah ini mudah dan pintas, kita tidaklah menangguk. Kerana hijrah itu perlu ditangguk. Menangguk takkan dapat sekaligus kesemuanya, berdikit-dikit dan berulang-ulang. Supaya kesemua ibrahnya dikaut sempurna.

Dan tiada gunanya kita menangguk apa yang kita tidak tahu (baca: mengangguk) mengenainya. Sia-sia.

Lantas, tahun hijrah telah bertukar lembaran. Sudah berapa lamakah tanggukan hijrah kita tertangguh sejak beberapa kali mengangguk dahulu?

Atau menanti saat menangguk hijrah ke barzakh?




Tuesday, November 13, 2012

Direct Poke to the Heart

Bismillah. Dengan nama Allah.

Bahawa hati kalbu itu urusan Allah. Bukan kita, bukan ibu bapa, bahkan bukan Rasul jua. Benar bukan? Sedikit gurauan kita kadang-kadang membuatkan rakan berkecil hati. Anak remaja yang meminati dunia muzik, gitar dan ‘jamming’ juga bukanlah dibentuk langsung oleh ibu bapanya. Bahkan, bapa saudara Rasul, Abu Talib juga meninggal dunia tanpa syahadah di bibir dan hatinya.

Namun, berpengaruh dan berkuasanya hati kalbu itu kepada segenap pelusuk kehidupan. Pada hati ada kasih sayang, kecenderungan dan apresiasi. Seumpama raja kepada kerajaan tubuhnya, memutuskan tingkah laku dan pilihannya. Baik tubuh pada baiknya ia. Kasih sayang, kecenderungan dan apresiasi itu saling berkait, dan berfokus. Pada sesuatu. Waima baik atau buruk.

Sampaikah sebuah kenderaan ke destinasinya; jawapan ada pada pemandunya. Tersalah simpang atau melanggar lampu isyarat, atau lebih teruk tertidur, tegurlah pemandunya. Kita bukan penumpang? Bunyikan hon dengan baik, atau berikan isyarat, atau lebih berkesan, jumpalah dan tegur dengan baik. Benar, bukan semua pemandu sempat dijumpa dan ditegur. Hon dan isyarat itulah mediumnya. Soal terima atau tidak, anda tidak dipersalahkan untuk itu.

Pemandu diri itulah hati.


Genggamkan tangan, tegakkan telunjuk. @--. Ikrar syahadah, terhayat pada setiap kali tahiyat.

[أشهد أن لا إله إلا الله]; Antara kita dengan Allah, adanya tunduk dan patuh. Cinta dan kasih. Takut lagi mengharap.

[أشهد أن محمدا رسول الله]; Antara kita dengan Allah, adanya Rasul sebagai contoh dan garis panduan. Tokoh sepanjang zaman. Ikutan terbaik bagi seluruh aspek kehidupan.

[أشهد]; Dan, antara kita dengan Allah, ada janji untuk ditepati. Janji untuk mengingatkan manusia akan janji. Mengingatkan saksi akan penyaksiannya dahulu. Bila? Saat di alam roh.‘Bukankah aku Tuhan kalian?’, ‘Bahkan, kami naik saksi’. Agar tidak terpesong saksi daripada penyaksiannya. Kekal Allah di hatinya sebagai Tuhannya. Janji yang akan ditagih.

[ألست بربكم؟ بلى شهدنا].

Genggamkan tangan, tegakkan telunjuk. @--. Telunjuk yang berikrar inilah yang akan kugunakan untuk melunaskannya. Andai di dunia maya, telunjuk digunakan untuk mencuit (poke), biarlah cuit itu terus ke hati kalbu. Mencubit kalbu, sedikit mengejutkan namun mengingatkan. Walau cuitan itu hanya zahirnya menyentuh bahu. Telunjuk yang berikrar ini, dengan tiga daripada lima jari itu mencuit bahuku, mencubit kalbuku kembali sebagai muhasabah. Ikhlaskah? Amalkah? Teguhkah? Sudah ‘betulkan diri, ajak orang lain’kah?

Supaya setiap kali aku mencuit bahu mencubit kalbu dengan telunjuk itu, aku juga mencuit bahuku mencubit kalbuku. Supaya setiap kali itu,aku ingatkan diriku tentang ikrarku.

Supaya telunjukku bukan terhenti pada ikrar, namun telunjuk itu sendiri pun turun padang untuk melunaskan ikrar.

Oh, jangan salah sangka. Bukan telunjuk saya sahaja. Telunjuk anda juga. Telunjuk kita semua. Kita pun sama-sama sudah berikrar, bukan?

@-- cuit bahu cubit kalbu. Direct poke to the heart.