Wednesday, October 29, 2014

#03 mencecap manis


Cuit.

Mana tak indah tarbiyah itu, ketika selayaknya di tebing jurang neraka hampir tersungkur gelincir ke dalamnya, yang tersedia azab bara sengsara menanggalkan kulit menggelegakkan kepala menikam dalam,

lalu hadir nikmat-Nya menyelamatkan, memimpin pulang ke pangkal, menyatukan dan mempersaudarakan (3:103),

seraya terkumpul bersama, berubah bersama dan mendoakan sesama? Alangkah!

Yang pernah merasai panaslah justeru arif akan nikmatnya dingin. Yang pernah terhantuk manakan tidak terngadah kemudiannya. 

Yang pernah teraba-raba dalam jahiliyyah, pantaskah kembali ke dalam gelapnya? Selepas dipertemukan pelita cahaya? Keluar dari labirin menggila?

Terus-menerus manis iman dicecap. 

Kerana itu Sahabat cintakan ad-Din ini. Seumpama gurun gersang itu luasnya membingungkan, justeru syukurnya mereka akan adanya bimbingan meniti kehidupan. Apresiasi dan tribut, setelah acap berdepan ribut. 

Maka Allah dan Rasul-Nya lantas menjadi cinta, meragut tangkai jiwa. Lebih daripada segalanya; keluarga yang tak lekang bersama, harta yang menggunung dikejar tiada, teman yang tawanya bersama namun belum tentu berdamping saat berduka. 

Kerana firman Allah tak pernah melupakan. Sabda Rasul sentiasa mengobarkan. Di tengah pepasir tandus nan kering, membusur cinta langit nan membasahi. Dalam luasnya dunia, kerdilnya kita dipersembah kalam-Nya. Rapat, erat, dekat melebihi urat tengkuknya.

Hati manakah tidak berbunga gembira untuk membalas cinta semanis itu?

Terus-menerus manis iman dicecap.

Kerana itu Sahabat cintakan ad-Din ini. Saat cinta-Nya menjadi paksi, yang di samping terasa memaknai. Harum kan taman tarbiyah? Kerana kepalsuan hubungan nyata membusuk, berganti silaturrahmi - ikatan kasih sayang - dan persaudaraan. Tak, bukan pada darah yang membuluh. Sebaliknya pada tauhid yang mengukuh.

Lantaran itu, Ansar menadah nyiru menyambut dakapan Muhajirin. Lantaran itu, kita terus berukhuwwah dalam taman tarbiyah.

Sehinggakan buat yang mengaku cintakan sahabatnya kerana Allah, Nabi memintanya agar meluahkan. Biar cinta itu semarak. Kerana paksinya melangit suci.

Sehinggakan kelak akan dibangkitkan bersama yang dicinta. Alangkah beruntungnya, berpimpin tangan bersama teman-teman sejatuh bangun, teman-teman yang dicintai kerana Allah, teman-teman taman tarbiyah!

Sungguh. Saya cintakan anda semua kerana Allah.

Biar terus-menerus manis iman dicecap.

Digapai buahnya rendah merendang, menggelayut dalam redup taman tarbiyah. Hingga cecap sementara itu berlangsung abadi.

Cubit.

Friday, October 24, 2014

#02 taman tarbiyah


 

Cuit.

Demikian seni menenun tarbiyah. Dimainkan peranannya oleh ibu bapa, hatta murabbi dan murabbiyah. Seni, tak memaksudkan sentuhan dan belaian lembut selamanya. Kerana seni pahat kayu itu, bukankah dipalu, sehingga kagum berpasang mata pada ukirannya?

Demikian tarbiyah mencorak mencanting, dengan awan larat redup bergemawan, pahat berketuk padu kedengaran. Lalu lahirlah individu impian. Kenapa? Kerana sambil akarnya dalam mencengkam mendepani taufan ribut membadai, umpamanya dia juga teduh rimbunan buat mundar-mandir bingung pengembara jalanan, bebuahan ranumnya dicecap kerongkong pendahaga pengajaran, kemas perdu dan banirnya untuk belikat rapuh yang jerih mengais perbekalan,

dan mekar indah kembangnya berkelopak mewarna hati nubari yang reput terlayut.

Sungguh, taman ini indah buat mata yang memandang, harum bau-bauannya sejauh saujana menjelang, manis bicara-bicaranya untuk telinga yang terpasang. Taman tarbiyah ini, indah memeluk merangkul jiwa yang datang merendah, hati yang tunduk menyerah.

Orang kata, indah sifatnya subjektif. Benar, namun betapa pelbagainya contengan indah itu, tetap setiapnya memaut mereka yang menatap.

Bagaikan indahnya orkid bagi Akh Majid, mawar bagi Ukht Mardhiyah dan dafodil bagi Pak Cik Gabbana. Begitulah!

Allah Yang Maha Indah, menghiaskan keindahan tarbiyah sesuai duri ditapaki, akar disusuri dan gelap diredahi. Agar setiap yang berbaring di atas hijau hamparan taman enggan menjauh meminggir pergi. Apatah lagi terbujuk ke terik gersang membakar abadi.

Mana tak indah tarbiyah itu, saatnya dia gusar teraba-raba gelita, lalu ditunjuki kepadanya sinar hidayah bercahaya? (93:8)

Mana tak indah tarbiyah itu, tatkala nafsu mengecewakan diri, lalu melampaui batas insani, berbisik Dia memujuk hamba kesayangan-Nya agar tidak berputus asa dari rahmat-Nya? (39:53)

Mana tak indah tarbiyah itu, sehingga kalam dari sisi-Nya dikirim menembusi hati yang lembut mentadabburi? Guna membimbing langkah agar tak rebah, menyuluh denai agar tak tersadai, memantapkan hamasah agar terlestari himmah?

Indah, duhai saudara. Benar, walaupun kita sangat sering terlupakan. Malah melupakan.

Mana tak indah tarbiyah itu, ketika selayaknya di tebing jurang neraka hampir tersungkur gelincir ke dalamnya, yang tersedia azab bara sengsara menanggalkan kulit menggelegakkan kepala menikam dalam,

lalu hadir nikmat-Nya menyelamatkan, memimpin pulang ke pangkal, menyatukan dan mempersaudarakan (3:103),

seraya terkumpul bersama, berubah bersama dan mendoakan sesama? Alangkah!

Cubit.

(Kredit kepada pemilik gambar asal)

Thursday, October 23, 2014

kemudi muda


Cuit.

Air deras ditahan lagikan menerobos. Api marak diduga kan berang menghangus. Inikan pula plat muda bumi berlaga, gempa kan natijahnya.

Kita enggan bencana. Kendatipun kita jua yang menjananya.

Orang muda, begitulah. Dek kerana itu, sang bayi kita katakan muda. Kerana gejolak ingin tahunya, lalu tak betah mencuba. Takkan berpuas hati dengan berempat, dia bangun berkaki dua. Agar dia rasa tak asing bersama yang lainnya. Bangga mendada jiwa. Agar pandangannya lebih tinggi setinggi langit sana. Menanam impian seberani awan.

Orang muda, begitulah. Dek kerana itu, sang bayi kita katakan muda. Kerana tak lewah mengalah. Jatuh pertamanya satu kejayaan, justeru dia mengenal pasti kesilapan. Jatuh kali kedua dia senyum senang, kerana ideanya berhasil cuma perlu sedikit pengimbang. Maka menyingsing purnama ibu mentari bapa, menginspirasi dan memimpin jemari. Hingga dekah ketawa mungilnya kedengaran, bahawa dia kini dewasa,

tentu, tak sendirian. Dia maju berjalan dengan dibimbing kasih dan cinta.

Kerana tercoraknya dia oleh sang ibu dan bapa; diyahudikan, atau di-Nasranikan, atau di-Majusikan.

Kerana mudanya dia umpama air deras, ditenangkan alirnya dengan bebatuan yang tak menghentikan. Mudanya bak api marak, dijinakkan sesuai unsur bakarnya.

Ya, mudanya jua ibarat plat bumi berlaga. Biar sesekali mengharu-biru menggegak-gempita, namun kelak kan menghunjam bumi memasak gunung biar kukuh dan teguh. Pun memperkukuh dan memperteguh. Cuma bijaknya pada seni menghalusi tatkala sealam ribut disebabkannya.

Demikian seni menenun tarbiyah. Dimainkan peranannya oleh ibu bapa, hatta murabbi dan murabbiyah. Seni, tak memaksudkan sentuhan dan belaian lembut selamanya. Kerana seni pahat kayu itu, bukankah dipalu, sehingga kagum berpasang mata pada ukirannya?


Cubit.