Monday, February 2, 2015

Cerpenku: Telur Separuh



Oleh: Syuaib Supani

“Adi, ambilkan mama bilis yang mama dah siangkan. Ada di tepi sinki tu”.

Aku menggosok-gosok mata mamai. Toto mama dah kosong, siap dikemas. Aku memeluk tubuh kedinginan, bunyi cengkerik dari luar masih kuat. Sekejap terbersin dua tiga kali. Bau cili dimasak yang sudah pecah minyak menjengah hingga ke bilik.

“Adi, sambal kau dah nak hangit ni. Bilis tu belum disangan lagi. Malam tadi mama minta tolong siangkan, kau mengelat ke rumah jiran. Uda tu nak kena bagi makan lagi. Mama macam biasa nak kena ke pasar malam, beli timun, lada, telur dan macam-macam,” mama mulai berleter. Perlahan-lahan aku mengheret langkah menuruni tangga ke belakang, menjeling mama dalam suram mentol kuning.

Mama macam lipas kudung, entah apa dia buatkan. Sekejap-sekejap dia membuka tudung periuk mengacau perlahan nasi yang sedang ditanak bersama santan. Mama ambil beberapa helai daun pandan, membuat simpulan dan meletakkannya ke dalam periuk.

Aku hulurkan bilis di sinki kepada mama. Bilis dari Pangkor, walaupun mahal sedikit tapi sedap dan tak terlalu masin berbanding bilis dari Pantai Remis, kata mama. Masin sangat nanti tak elok untuk pelanggan, takut terkena darah tinggi macam Pak Utih jiran sebelah. Aku angguk perlahan mendengar pesanan yang sama saban hari.

“Abang Saiful, segak je hari ini. Nak pikat Kak Syida ke?” aku mengusik nakal. Jariku laju mengupas telur rebus di bucu meja gerai. Kak Syida mencekak pinggang kotnya merenung tajam. “Boleh juga. Nanti majlis kami biar Mak Su sahajalah yang jadi kateringnya,” abang Saiful galak menjeling, sambil membetulkan tali lehernya.

Kak Syida berpura-pura tidak melayan. “Macam biasa ya, Mak Su. Bungkus tujuh, sambal asing,” ujarnya dengan nada mendatar. Mama angguk sambil mengisi bilis dan kacang goreng ke dalam bungkusan nasi lemak, sekali dengan telur rebus sebiji.

“Betul sangat kamu orang berdua ni. Apa kamu orang Melayu kata, itu burung merpati sejari?” Thiviya rakan sekelasku di sebelah mereka menjeling Boon dan Yati. Kedua-dua angkat bahu tidak tahu.

“Merpati sejoli la, Thiviya,” mama tersenyum dan menggeleng-geleng perlahan sambil menghulurkan sebungkus dua nasi lemak kepada mereka bertiga. Thiviya tersengih malu. Boon memasukkan bungkus nasi lemak ke dalam jabir kecil yang dibawanya dari rumah. “Jomlah Adi, nanti ada perhimpunan. Guru Besar nak panggil wakil kuiz matematik sekolah ke depan, nak bagi saguhati daripada pihak sekolah. Untung Mak Su dapat Adi pandai mengira,” Din dengan basikalnya berhenti di gerai. 

Aku cium tangan mama, lalu melompat duduk di belakang Din dengan tali beg galasku tersangkut pada dahi. “Belajar rajin-rajin, boleh hidup senang macam Pak Cik Amin kau,” kata mama tadi semasa mengucup dahiku. Aku angguk laju-laju.

Din sandarkan basikalnya di tiang bangsal. Kawan-kawan sedikit sangat yang berbasikal ke sekolah, papa mereka hantarkan dengan kereta. Aku labuhkan punggung di atas tunggul sebelah bangsal, hajatnya hendak mengalas perut sedikit. Perlahan-lahan aku membuka bekas nasi lemak yang mama bekalkan. Aromanya menghembus keluar, hangat lagi. Aku menjeling ke dalamnya. Ada bilis dan kacang, ada telur rebus sebiji. Aku senyum.

Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC)
“Adi”.

Yati memegang erat kedua-dua tanganku. Aku tersedar, lalu meletakkan sudu sambil mengerling ke arah jam tangan. Ada lagi setengah jam sebelum mesyuarat disambung. Ada lagi masa, aku memujuk diri. 

“Mana Abdalla?” aku memandang kiri dan kanan. “Dia dah lama pergi tadi selepas habiskan kambing bakar dalam pinggannya,” Yati menghulurkan air mineral. “Ketatnya muka. Terkilan dengan perwakilan Arab Saudi dalam mesyuarat tadi ya? Bincang apa tadi dengan Abdalla pula? Melobi Setiausaha Agung OPEC?” Yati senyum.

Aku angkat bahu. “Ali al-Naimi tidak kira, dia mahu mengekalkan kadar pengeluaran walaupun harga merudum teruk kepada 40 dolar setong, tak, malahan kalau 20 dolar setong pun. Dia enggan agar negara-negara OPEC yang kini menguasai 40 peratus pengeluaran minyak dunia mengurangkan pengeluaran”.

“Wah, itu satu kenyataan yang berani,” Yati menyahut. “Kesian pula negara seperti Venezuela. Perang harga di bawah 100 dolar setong, mana taknya Rafael Ramirez melatah. Ekonomi mereka sangat dipengaruhi oleh pengeluaran minyak,” dia menyetujui pandanganku. Yati sentiasa menyokongku, walaupun kadang-kadang dia lebih memihak kepada anak kami berbanding aku.

“Memanglah. Tapi kita pun tak mahu dominasi dan kawalan pengeluaran minyak dunia akan berada di tangan US. Gara-gara permintaan global yang tinggi khususnya China pada awal pertengahan 2000 yang menyebabkan beberapa syarikat pengeluar di US dan Kanada mula mengambil peluang teknik moden seperti fracking dan horizontal drilling untuk menggerudi minyak daripada tempat yang sukar, macam di North Dakota dan Texas di US, serta Alberta di Kanada,” aku menyambung suapan nasi dan sambal ke mulut. Sudu di tangan aku golek-golekkan telur rebus di dalam pinggan. Syukur, penganjur ada menyediakan makanan tempatan mengikut negara masing-masing.

“Kalau orang awam beranggapan definisi pengeluaran minyak itu merangkumi juga gas asli yang selain petroleum, maka US memang dah lama menjadi pengeluar ‘minyak’ utama di dunia,” Yati cuba berseloroh, mengurangkan ketegangan.

Boon datang ke meja kami sambil mengusung pinggannya. Nasi lemak dengan telur rebus sebiji juga, barangkali rindukan nasi lemak percuma daripada mama semasa sekolah rendah dahulu. Kata mama, sedekah jariah. “Maknanya kamu sokong strategi perang harga itu?” tanyanya.

Aku dan Yati diam. Boon pun, seketika.

“Aku tahu apa yang US dah lakukan kepada saudara-saudara Islam kamu. Cuma, OPEC tak mudah untuk mengambil langkah mengurangkan pengeluarannya. Paling-paling pun, semasa krisis ekonomi dunia 2008,” Boon menyuakan rasionalnya. “Memanglah secara teori, dan historiknya, pengurangan pengeluaran dapat meningkatkan kembali permintaan terhadap minyak dunia, sekaligus memulihkan kembali harga yang sekarang sedang merudum”.

“Tapi kita kena sedar juga, shale project itu bukan satu-satunya punca kepada krisis harga minyak sekarang, walaupun penggalian itu telah menambah pengeluaran minyak dunia secara signifikan, iaitu tambahan 4 juta tong sehari daripada 75 juta sedia ada. Pada masa yang sama, pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan di China dan Jerman kebelakangan ini juga mengurangkan permintaan kepada minyak dunia, selain peningkatan dalam strategi keefisyenan penggunaan bahan api seperti penghasilan kereta mesra bahan api,” Boon menyelak failnya, memerhatikan graf suku pertama 2015 daripada Agensi Tenaga Antarabangsa yang menyaksikan kejatuhan teruk permintaan terhadap minyak dunia berbanding pengeluarannya. Yati menjulurkan kepala menjeling fail Boon.

“Tengok ni,” jelas kelihatan riak terkejut di mukanya. “Kira-kira empat peratus sahaja shale project di US itu yang memerlukan harga minyak dunia melebihi 80 dolar setong. Namun banyak projek di North Dakota masih mampu mencatat keuntungan selagi mana harga minyak dunia di atas paras 42 dolar setong”.

Telur rebus di pingganku berhenti bergolek. Masing-masing terhenti makan.

Gambar 23 Januari 2015, oleh Joss Fong/Vox
“Mama,” aku berpaling kepada mama sambil tanganku membantunya berkemas-kemas untuk pulang ke rumah. Jarang aku dapat peluang untuk membantu mama di gerai kebelakangan tahun ini. “Telur cuma separuh ya, sekarang,” aku menjeling mama. Air muka mama aku perasan sedikit berubah. Lama mama membonceng di belakangku diam.

“Adi, orang dulu-dulu bersarapan nasi lemak sebab budaya. Orang sekarang pula bersarapan nasi lemak sebab kewangan”.

Aku teringatkan Abang Saiful dan Kak Syida, yang masih setia singgah di gerai kami pagi tadi. Khabarnya sudah beberapa tahun mereka bertunang.

Mama melirih perlahan, “Memandangkan nasi lemak dah menjadi keperluan, takkanlah mama gamak pula nak jual nasi lemak telanjang. Tapi Adi jangan ingat telur separuh akan selama-lamanya mama biarkan separuh”. Sedar-sedar, kami sudah tiba di pekarangan rumah.

“Baki nasi lemak untuk makan malam ni, jangan letak sebekas dengan timunnya. Kalau timun rosak nanti, semua mendapat tempiasnya. Macam sekarang, Pak Cik Amin kau kata harga minyak naik, barang lain pun ikut naik juga,” pesan mama sebelum ke belakang rumah untuk membasuh baju kami yang direndam pagi tadi. “Oh ya, jangan lupa tolong mama petikkan timun dengan lada kat kebun tepi rumah, untuk esok”.

“Baiklah, mak. Bilis dah ada ke?” aku parkirkan motosikal yang mama baru beli. Mama yang sudah berusia tidak larat hendak mengayuh ke gerai hari-hari membawa bekas jualan. “Dah, mama beli pukal terus daripada ayah Din kau tu”. 

“Patutlah semalam mama keluar awal pagi lagi, rupanya menunggu Pak Utih di tepi laut,” aku melaung sambil mengusung papan telur ke dalam rumah. Mama tak merespon, barangkali sudah di belakang. 

Sebelum mengambil mama pulang tadi, aku pergi berkeliling kampung dari rumah ke rumah untuk menggantikan mama membeli telur. Orang kampung di sini gemar menternak ayam sebagai sumber pendapatan sampingan. Aku terserempak dengan Thiviya.

“Eh, lama tak nampak you,” tegurnya. “Mak Su sihat?”

“Batuk-batuk sikit. You ada buat apa di sini? Rumah siapa tu?” aku menudingkan jariku ke arah rumah di belakangnya. Besar, dua tingkat agaknya, baru hendak mula dibina. Ada beberapa tiang berukir cantik terbaring di tepi, barangkali tiang garaj atau apa. Selebihnya terlindung oleh pagar zink yang tinggi. 

“Rumah Pak Cik Aminlah. Tengah buat. Itulah, bidadari manalah yang kau jumpa kat asrama tu sampai lupa kat Parit Buntar ni,” Thiviya berceloteh, sambil mengepit failnya. Thiviya duduk di atas motosikal, meminta aku menumpangkannya pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, dia petah bercerita tentang undang-undang di Malaysia berkaitan stesen pam minyak. Tentang pengiraan harga petrol menggunakan APM dan MOPS, pam dispenser serta nilai subsidi daripada kerajaan. Banyak dia tahu, mungkin disebabkan tugasan perniagaan dan keusahawanan dalam elektif subjek Kemahiran Hidup. Aku hanya memasang telinga tak berapa peka, namun kemudiannya aku terperasan sesuatu.

“Eh, kalau macam tu, kenapa harga di stesen pam Pak Cik Amin tak sama?” dahiku berkerut.


Sejam waktu kudapan tamat, persidangan OPEC disambung. Dan sehingga itu, kata sepakat masih belum dapat dicapai.

“Kita menyaksikan bahawa shale project kebelakangan ini memberikan kesan yang minimum terhadap harga minyak global. Hal ini berikutan kawasan utama pengeluaran minyak kita, khususnya sedang berdepan pelbagai konflik; perang sivil di Libya, keganasan di Iraq dan kesan kepada eksport minyak Iran. Hasilnya, kita kehilangan kira-kira 3 juta tong sehari daripada pasaran global,” perwakilan salah sebuah negara membentangkan bantahannya terhadap idea perang harga oleh Arab Saudi.

“Lalu bukankah sepatutnya kesan itu akan mengurangkan lebihan pengeluaran minyak, yang sekaligus akan memperbaiki krisis ini?” Yati mengangkat tangan bertanya kepada sidang. Aku tertanya-tanya adakah selain mewujudkan ideologi Islamofobia melalui lambakan keganasan yang dicetuskan US di Timur Tengah, pada masa yang sama ia juga sebahagian strategi agar mereka dapat menguasai pengeluaran minyak global, atau sekurang-kurangnya negara pengeluar minyak di Timur Tengah akan tunduk kepada kehendak dan kawalan ekonomi mereka. Bijak!

“Tidak juga. September 2014, industri minyak Libya kembali memulihkan pengeluarannya. Pada masa yang sama, permintaan terhadap minyak di Asia dan Eropah juga kian melemah, khususnya di China, Jepun dan Jerman. Indonesia dan Iran pun sudah memotong subsidi bahan api di negaranya,” seorang penganalisis menerangkan. “Ekoran itu, harga minyak 115 dolar setong pada Jun jatuh teruk kepada 80 dolar setong sekitar pertengahan November, iaitu hanya lima bulan kemudiannya,” dia menyambung.

“Kalian hanya mensasarkan syarikat minyak shale project sahaja. Tapi sekiranya harga minyak terus turun, maka rakyat US sendiri akan mempunyai lebih kuasa membeli, sekaligus membantu peningkatan sektor lain di negara itu,” sekali lagi usul perang harga dibantah.

“Betul. Malahan jika diteliti, shale project US yang telah pulang modal takkan terjejas oleh penurunan harga, malahan mereka lebih beruntung kerana pengguna akan menyukai harga minyak yang rendah,” sahut perwakilan lain menyokongnya.

“Selain US, usul perang harga ini juga kami mahu sasarkan terhadap Rusia. Krisis antara Rusia dengan Ukraine dan Barat yang telah melemahkan pertumbuhan ekonomi negara itu, kita akan menekan lagi hegemoninya disebabkan 45 peratus bajet Rusia datangnya daripada minyak,” perwakilan Arab Saudi yang lain mencantas balas.

Fakta terus berbalas fakta. Iran dan Venezuela kulihat nampaknya bertegas mahu mengurangkan pengeluaran. Kedua-dua negara tersebut sangat memerlukan harga minyak global yang tinggi bagi mengimbangkan dengan belanjawan negara mereka. 

“Arab Saudi takkan berkompromi dengan kebarangkalian berulangnya krisis 1980-an dahulu, apabila kami melakukan tindakan yang sama dengan mengurangkan pengeluaran. Namun malangnya, harga terus merudum dan Arab Saudi kehilangan pasaran dengan teruk”.

Kedegilan Arab Saudi membuatkan aku panas hati. Tidak hairanlah tindakannya sedemikian rupa berikutan kerajaan negara itu mempunyai 750 billion dolar rizab pertukaran asing (forex reserves). Aku menjeling kepada Boon. Mejanya dipenuhi fail-fail yang terbuka, Boon cuba mencari jalan untuk mengimbangi desakan Arab Saudi. Dia membelek analisa unjuran ekonomi Malaysia. Boon tahu, ekonomi negara boleh terjejas dengan penurunan lagi harga minyak global. Boon juga sedar bahawa sebaliknya, dengan posisi 40 peratus pengeluaran daripada seluruh negara OPEC, Arab Saudi mempunyai pengaruh besar di meja bulat ini.

Aku sempat merangka-rangka dalam mindaku mengenai kesannya terhadap nilai pertukaran ringgit, serta bagaimana hendak mendepani desakan sebilangan besar rakyat agar harga barangan dan perkhidmatan diturunkan seiring harga minyak, sebelum telefon pintarku bergetar tanda menerima notifikasi. Aku membaca mesej yang diterima. Yati perasan wajahku berubah pucat lesi. Aku meminta izin untuk keluar sebentar.

“Mak Su? Mama macam mana, mama?” aku tak sedar jariku menggigil semasa menyahut suara Thiviya memanggil dari tanah air. Di luar dewan persidangan, air mata mengalir tak tertahan. 

“Adi, Adi, tak apa jangan risau. Mak Su okey,” Thiviya cuba menenangkan. Tanganku masih kukepal kemas. “Tapi tak patut dia buat Mak Su macam itu,” aku tak pasti pintasanku itu bernada berang, atau berkecil hati.

Thiviya menyambung, sedikit beremosi, “Nasi lemak telur sebiji itulah segala-galanya bagi Mak Su. Kemuliaan hidup Mak Su, dengannya Mak Su besarkan kau dua beradik dengan Uda. Aku tengah makan spageti sehelai dua kat luar tadi cepat-cepat tinggalkan, temankan Mak Su balik. Tersedu-sedu dia, tak sampai hati aku, Adi”. Aku tercegat kaku.

“Pak Cik Amin itu apa dia faham. Apa dia ingat dengan Mak Su datang bawa nasi lemak ke majlis mengaji rumah barunya itu menjatuhkan maruah dia?! Mujur sahaja Mak Su berniaga di stesen pam dia baru orang datang beli minyak,” Thiviya menyambung geramnya dalam bahasa Tamil.

Pilu aku mendengar nama Uda disebut. Masa aku tiada, Udalah tempat mama meluahkan perasaannya. Walaupun Uda takkan mengerti kata-kata mama, apatah lagi memahami keperitan yang mama lalui. Walaupun Uda akan sentiasa memerlukan mama untuk menguruskan dirinya. Walaupun mukanya lebar dan fizikalnya pendek kerana penyakitnya sejak lahir itu, bagiku Uda tetap adikku yang tercomel.

“Sekejap, kau kata telur sebiji, Thiviya?” aku tertanya-tanya. Thiviya dari hujung gagang mengiyakan. “Kebelakangan ini nasi lemak Mak Su mula jual kembali dengan telur sebiji. Tapi harga masih sama seringgit sebungkus. Kenapa dengan itu?” Thiviya musykil.

“Thiviya, siapkan dokumen,” aku senyum mendengar jawapan Thiviya. “Kita akan teruskan perancangan kita. Yati dan Boon pun dah bersetuju malam tadi untuk berkongsi modal”.

“Tapi Pak Cik Amin, tak mengapakah?”

Aku melangkah kembali ke bilik persidangan. “Kita tak jatuhkan syarikat dia. Kita orang kampung situ juga, kita beli untuk ambil alih. Bila dah jadi pegangan kita, kita akan gerakkan mengikut lunas pengurusan dan harga yang sepatutnya, dan membantu orang kampung dengannya. Hasil syarikat adalah milik tempatan, seluruh penduduk kampung. Dengan itu, barulah telur separuh boleh berganti telur sebiji, macam nasi lemak mama. Urusan dokumen dan guaman, aku serahkan kepada kepakaran kamu, Thiviya. Terima kasih,” aku mengakhiri panggilan. 

Saat aku kembali, persidangan telah pun di penghujungnya. Aku pandang Boon dan Yati, kedua-duanya kelihatan antara mendung dan berharap. Sidang OPEC memutuskan agar pengeluaran minyak dikekalkan pada kadar 30 juta tong sehari seperti sekarang, dan dalam enam bulan mendatang, kesannya kepada pasaran akan diteliti. Bermakna Arab Saudi menjuarai hasratnya, manakala negara-negara tertentu daripada OPEC perlu bersiap siaga untuk menampung bajet ekonomi masing-masing. Venezuela dan Iran. 

Sebelum persidangan ditutup, aku mengangkat tangan – mewakili Malaysia sebagai negara pemerhati - memohon izin daripada Abdalla El-Badri untuk menyuarakan sesuatu. Dia mengizinkan. Sekalian sidang memusatkan pandangan ke arahku. Aku bangun dan memandang perwakilan-perwakilan negara-negara pengeluar emas hitam ini.

“Untuk negara-negara yang menjangkakan impak daripada keputusan OPEC ini, saya ingin mengusulkan pelan backup untuk meminimakannya,” ujarku. “Untuk Arab Saudi yang serius dalam misinya untuk perang harga terhadap US - agar dengan itu ekonomi dan pengeluaran kita takkan dikawal oleh mereka pada masa akan datang - saya juga ingin mencadangkan strategi untuk membantu menjayakannya secara halus,” aku menyambung, sambil melirik ke arah Abdalla. Sekalian dewan hingar-bingar seketika mendengar sarananku. Boon dan Yati memandangku tertanya-tanya. Aku menyambung bicara, wajahku beransur serius.

“Kedua-dua strategi ini, saya mengenalinya sebagai Strategi Telur Separuh,” aku tak lagi mengukir senyum. Wajah mama tergambar jelas di sanubari.


Penafian: Sebahagian maklumat di dalam cerpen ini diadaptasi daripada fakta sebenar. Jalan cerita adalah rekaan semata-mata, dan sebarang persamaan nama dengan figura sebenar adalah sebagai gambaran kepada fakta yang disunting. Penulis tidak berniat menimbulkan sebarang hasutan kepada rakyat mahupun melaga-lagakan antara negara. Penulisan bertujuan memberi gambaran asas yang tidak menyeluruh mengenai konflik harga minyak semasa serta kehidupan rakyat yang berkaitan langsung dengannya. Penulisan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan ilmiah.

anak kecil comel, dan teguh!



Sungguh, kekaguman tak pernah tak tertancap dalam benakku saat menyaksikan sang anak kecil. Bukan kerana mulusnya dia daripada dosa, kerana setiap kita kan bermula daripada titik yang berbeza saat mula kita berjinak dengan tarbiyah. Bukan kerana kurangnya tanggungjawab dan komitmen yang perlu dia penuhi, kerana kesempurnaan akal itu satu kemuliaan, maka taklifan yang hadir bersama kesempurnaan akal itu satu pengiktirafan kepada kemuliaan.

Namun, sang anak kecil, dalam lirih matanya bersinar mengisyaratkan kepadaku yang dia tidak nampak adanya halangan untuk maju. Baginya, setiap di sekelilingnya itu potensi; ibu bapa yang di sisi, marabahaya agar dia atasi, pelajaran baru agar dia terus bervisi dan misi. Pandangan mata suci itu menjadikan dia tak mengenal makna berundur, kerana baginya selangkah bertatih ke hadapan walaupun kecil itu satu pencapaian teragung yang pernah dia kecapi sejak pencapaian teragung sejenak langkah lepas, atau dalam erti kata lain, setiap satunya adalah kemuncak pencapaiannya.

Sang anak kecil, dalam lembut pipinya beralun itu mendepankan dia terhadap apa sahaja cabaran. Bak kata orang, kapal di pelabuhan terlihat gah, walhal kapal bukan dicipta untuk segak di situ. Lembut pipi itu bukan baginya mutiara untuk disimpan kedap dalam bejana, sebaliknya ia menjadikan dia bersiap siaga untuk terus maju. Dia tak kisahkan lembut mana pipi bayi lain, atau secomel mana purnama wajah mereka. Kerana, dia tahu dia juga punya kecomelannya yang tersendiri, yang dia tak perlu memenatkan diri untuk mencemburui kerananya.

Sang anak kecil, dalam kamus hatinya hanya wujud perasaan keinginan yang kuat. Gonggok ditemui dirasa di bibir maka bengkaklah, lalu dia kenal erti kesakitan. Sepotong kek di tangan dipukul-pukul maka hancurlah, lalu dia kenal makna kelembutan. Dua permainan di tangan dikongsikan, maka dia belajar maksud kedermawanan. Hatinya mengawal diri dengan baik, kesilapan lalu baginya satu ilmu baharu. Hatinya penuh kasih sayang, yang dia takkan penat bangkit jika tatihnya rebah, yang dia takkan penah berdendam pada yang menyakiti, tak mengharap melainkan kepada yang mengasihi. Kerana dia sayangkan dirinya, dunia baginya adalah manifestasi kuasa perkasihan.

"Jangan kalian berputus asa, maka sesungguhnya berputus asa itu bukanlah daripada akhlak orang Islam".
Anak kecil itu takkan berminat dengan kalimah 'putus asa'. Dan saat aku berputus asa, bukanlah aku perlu menjadi anak kecil kembali, dengan mata bersinar bulat, pipi mungil memikat dan hati murni mengikat,

namun jauh lebih tinggi daripada itu, aku hanya perlu memilih untuk bangkit, dan terus maju ke hadapan. Kerana keputusasaan itu satu pilihan, yang hanya aku sendirilah yang mampu menentukan.

Kredit: Syed Muhammad Syed Muzni.
Kredit inspirasi: Putera Rayyan.

Kredit kepada pemlik gambar asal.

Sunday, January 11, 2015

#04 hati nan celik


Cuit bahu.

Biar terus-menerus manis iman dicecap.

Digapai buahnya rendah merendang, menggelayut dalam redup taman tarbiyah. Hingga cecap sementara itu berlangsung abadi.

Abadi dalam damai syurgawi. Terubat pahit mehnah duniawi.

Dan di atas denai panjang menuju damai itu, perbekalan iman manis dicecap ini tak kecil urgensinya. Peri pentingnya.

Namun ada manis beralun, yang sebetulnya racun.

Di atas denai menuju damai, bukan sedikit yang terjelepok kerana tersalah bekal. Semisal samudera lautan, dia air yang justeru hanya menambah kehausan! Di belantara pun, yang cerah warnanya itu jangan dianggap manisnya membuatkan langkah kita akan ke hadapan jauh,

sebaliknya dia penyebab kita jatuh.

Apabila dahaga, terkeliru dengan luasnya lautan tanpa sempadan. Apabila lapar, terpukau dengan gilang warna buahan rimba berbahaya.

Pandangan mata selalu menipukah? Benar, sedikit. Pandangan mata itu, dia tertipu. Oleh dunia, syaitan dan nafsu.

Kerana itu Allah kurniakan mata hati. Hati yang cukup terang untuk melihat dan menilai. Dengan itu, ada keperluan kepada kefahaman ilmu dan bimbingan wahyu.

Kata ilmu, bumi berputar laju pada paksinya. Mata sebaliknya, melihat pasu pegun di tempatnya.

Kata wahyu, malaikat pencatat sentiasa bersama. Mata sebaliknya, melihat ketiadaannya - sebagai lampu hijau untuk mencuba dosa.

Kan?
Katakanlah: "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku, menyeru manusia kepada Allah dengan berdasarkan basirah (keterangan dan bukti yang jelas nyata). Dan Maha Suci Allah dan bukanlah aku dari golongan yang mensyirikkan Allah." (QS 12:108)
Dengan basirah itu, mata hati yang kabur akan menjadi terang benderang. Cerah umpama siang. Mata hati yang terpejam akan kembali celik.

Celiklah hati, di sana akan ada bimbingan Illahi menaungi. Memandu ke denai yang sepatutnya. Menegur dengan ujian ketika tersilap dan lalai melupakan. Hati nan celik itu takkan cepat melabel ujian sebagai bala yang menjauhkan, sebaliknya sebagai teguran dan panggilan merindukan. Hati nan celik itu takkan segera menganggap kemewahan sebagai istidraj yang memusnahkan, sebaliknya ajakan menggandakan kesyukuran.

Celiklah hati, nescaya takkan tersilap lagi. Sebagaimana doa 'Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kebatilan itu sebagai kebatilan, dan rezekikan kami untuk menjauhinya", akan tertepislah daripada kebatilan, kembali memilih kebenaran. Sebagaimana tertepisnya tangan Musa alaihissalam lalu memilih besi yang panas, kerana itu yang terbaik untuknya.

Celiklah hati, akan tawar maksiat dan dosa kepada Illahi. Kerana hati telah mencecap manisnya iman, dalam redup taman tarbiyah. Hati nan celik akan memandang fatamorgana kemanisan maksiat itu sebagai duri di kerongkong dan hati, mencucuk menyeksa sehingga ke pangkal kalbu. Malah, kelak dalam panas membakar akan dibakardebukan, berulang abadi tanpa henti.

Celiklah hati, rajukmu takkan sendiri. Tangismu takkan sepi. Kerana hati nan celik meyakini Allah sentiasa di sisi. Saat semua orang meminggirkan diri. Saat semua mencemuh melontar duri. Saat di Taif, Junjungan dilempar bebatuan. Hati baginda nan celik itu merasakan Allah sebaik-baik pengganjar pahala. Sebaik-baik penguat semangat. Sebaik-baik penyuluh inspirasi. Malah sebaik-baik pemberi hidayah kepada generasi selepasnya!

Dan celiklah hati, akan nampak antara kemanisan manfaat yang mencumbu dengan 'kemanisan' mudarat yang menipu. Antara jeram mengalir yang melegakan dengan lapangnya lautan yang mengontangkan. Antara manis madu yang membahagiakan dengan racun yang membawa sesalan.

Hati nan celik akan membimbing kepada bekal yang betul. Disimpan erat di dalam mangkuk tingkat. Justeru kerana berbekal itu perlu. Pasti, Kunci damai syurgawi. Justeru hati itu menteri jasadi. Justeru hati itu indikasi jasadi. Baik sang hati maka baiklah jasad itu. Celik sang hati maka celiklah insan itu.

Celik hati itu hanya dengan ilmu dan wahyu. Bukan pandangan mata zahir, yang tertipu oleh kaburnya jerebu kelabu ragu.

Lantas berbekal itu, akan jadi bekal yang jitu. Iman yang manis dicecap. Yang manisnya terus menerus memeluk hangat, saat disapa perawan di gerbang, di hujung denai menuju damai.

Bukankah di atas denai menuju damai ini, sebaik-baik bekal adalah takwa? Yang berpangkal di dasar hati, terpancar pada amal sahaya?

Cubit kalbu.

Lalang berdekatan jelas dikejar, Pohon rendang di kejauhan kabur di pandangan.

Tuesday, December 30, 2014

muhasabah senja 2014


Setiap kali menjelang senja, pak nelayan akan merenung panjang syahdu; masih adakah hening subuh esok untuk aku kembali turun ke laut mencari rezeki buat anak dan isteriku?

Sungguh, dia sedar bahawa dia berhempas pulas mengusahakan yang terbaik untuk kehidupannya. Bahkan, biar sahaja dirinya, asalkan keluarganya bahagia. Bot sangkut usang, pukat koyak, ombak deras. 

Kerana di madrasah, pak ustaz selalu mengulang; hukama' pesan kita merancang akhirat seolah akan mati sekejap lagi, namun rancang untuk dunia seolah-olah akan hidup selama-lamanya.

Bukan dia tak punya impian. Impian untuk keluarga. Dan dia yakin, untuk itu dia harus memerah keringat tulang empat keratnya saban hari. Setiap hari dan saban masa. Tiada alasan untuk dia sesekali berasa malas, kecewa, putus asa dan menangisi takdirnya. Apa yang didapati silap, dia perbaiki dengan segera. Yang dia ketemu yang bagus-bagus, dia teruskan.

Kerana masa depan keluarga terpikul di atas pundaknya.

Bukan dia tak pernah kalah. Pernah jua botnya terbalik dilambung ombak, sempat dia berpaut. Teman-teman segera mampir menghulurkan tangan. Lalu dia jadikan peristiwa itu sebagai cabaran untuk terus mengharung geloranya.

Kerana itu, dia merasakan tiada sebab untuk dia berhenti.

Andai dia berhenti, habislah keluarganya menderita. Dia sayangkan mereka. Sepenuh jiwa.

Kerana itu, dia yakin bahawa esok mentari masih terbit di ufuk. Harapan harus disemat, meskipun di sana ada ketidakpastian.

Demikian potret kedut di wajah pak nelayan merenung senja hari dalam senja usianya, yang merancang untuk kehidupan dunianya seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya.

Sedangkan dalam kelam senja itu, kita yang menjalankan tugas dakwah dan tarbiyyah mengislahkan masyarakat hanya menghembuskan nafas sambil lewa, sedangkan kita mungkin mati sekejap lagi, 

pergi bersama terbenamnya matahari.

Sunday, December 28, 2014

berhenti menunggu, pilihlah untuk maju


“Mereka terpilih bukan karena dipilih,
tetapi mereka terpilih karena mereka memilih.
Memilih dirinya agar selalu terpilih.

Karena dakwah adalah pilihan bagi orang yang cinta dengan Rabb-nya.

Dakwah adalah pilihan bagi orang yang menginginkan surga. 

Dakwah adalah pilihan bagi orang yang terpilih, sehingga hanya mereka yang teguh serta kuatlah yang dapat bertahan hingga titik akhir perjuangan. 

Tidak ada tempat bagi orang lemah, penakut apalagi peragu.”

Dedy Susanto. 

Cuit bahu cubit kalbu.

(Kredit)

Saturday, December 27, 2014

plot twist: meranduk banjir


Terkadang sehingga sebegitu rupa sekali plot twistnya.

Kalau disusun dalam kronologi penceritaan musibah (baca: ujian) melanda negara 2014, entah berapa kali plot klimaks itu berlaku - kekapal terbang, kemarau panjang, bebanjir yang berat nanang - dan susut semula dalam kealpaan kita. Cepat sahaja kita plot twist jadi terleka.

Sedang mereka meranduk banjir, Allah sedang membentuk (baca: mentarbiyah) kita.

Daripada plot berkelahi bercakaran - baik dalam politikus partisan, perniagaan korporat kompetitif, pertembungan media tradisi dengan media arus perdana, atau perjuangan sentimen keagamaan (dan ucapan perayaan keagamaan) dengan berbaur emosi - cukup dengan banjir luar biasa, sekelip mata Allah lakarkan plot twist menjadi bantu-membantu berkasih sayang bersimpati empati.

Daripada plot kelekaan hiburan dengan sajian hedonisme secara bufet menyelerakan, cukup banjir mencuit, Allah cubit kita kembali menghamparkan sejadah memohon diangkat ujian tak tertahan.

Daripada plot berbelanja sakan akhir tahun, kembali ke sekolah dengan baju putih kasut kilat-kilat berkiwi bertali ikat kemas dengan beg troli merah jambu, cukup banjir mencuit, Allah cubit kita menyumbangkan segala-galanya kepada tabung kemanusiaan. Kalau sumbangkan segala-galalah.

Yang berautoriti sedang bercuti pun hinggakan perlu pulang segera. Yang tidak ada autoriti ni pun berjemaah - ana imam enti, enti makmum ana - turun menyertai sukarelawan.

Semua aspek sedang diuji hebat. Sejauh mana kekurangan dan penambahbaikan serius atau sambil lewa; sistem saliran, sistem bantuan, sistem perhubungan, sistem jentera, sistem kesukarelawanan dan sebagainya.

Menuding jari? Bahkan, sedang diuji juga sejauh mana kita masih selesa di takuk lama. Sedangkan yang tidak pernah banjir pun ditenggelami air. Hatta tempat yang dirangka sebagai pusat pemindahan baru pun. Tak disangka-sangka.

Justeru kita menyangka kita yang selesa dengan kehidupan seharian takkan diuji oleh Allah dengan ujian yang membuatkan kita terduduk?

Atau kita menyangka kita yang muda bergetah takkan disapa maut ketika menelaah nota peperiksaan penuh khusyuk?

Plot twist di sekeliling kita itu di tangan Allah.

Tinggal sahaja kita membuat plot twist hidup kita untuk hidup berpandukan syariat-Nya.

Dunia ini penuh dengan kebaikan, jika kita memilih untuk melihatnya (yang ni quoted).

Cuit bahu, cubit kalbu.

Monday, December 22, 2014

taaruf: rahmah menyantuni polarisasi kaum

Telah lebih separuh dekad lamanya tanah air kita ini memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan British secara fizikal, namun polarisasi kaum masih membelenggu. Hasil daripada penerapan dogma ‘pecah dan perintah’ dalam aspek politik, material dan ideologi, cita-cita perpaduan yang dihasratkan kita dapati masih punyai banyak kelompangan secara fizikalnya, malah jauh lagi dalam ketiga-tiga aspek tersebut.

Kepelbagaian Adalah Perancangan Allah


Dalam wahyu Surah al-Hujurat 49 ayat 13, Allah telah mendahulukan peranan-Nya sebagai penyebab kepada wujudnya kepelbagaian kaum dalam kalangan manusia. Selaku sebaik-baik perancang, sudah pasti Allah Maha Mengetahui akan manfaat dan keperluan kepada warna-warni kepelbagaian ini, kerana lebih lemahnya dalam kepelbagaian akan menuntut kita untuk sentiasa dinamik dalam memacu perubahan ke arah menjadi lebih baik, lebih-lebih lagi jika dilihat dalam aspek pembangunan negara.

Namun, Allah telah menggariskan gagasan penting dalam menyantuni kepelbagaian ini, iaitu Dia menetapkan matlamat atau tujuan kepelbagaian itu, iaitu taaruf (saling mengenali). Justeru menjadi hemah kita untuk berdepan kepelbagaian ini sebagaimana tujuannya. Paradigma mengenai kepelbagaian sebagai satu bentuk pelengkap dan inspirasi antara satu sama lain hanya dapat dicapai apabila tujuan taaruf menjadi garis panduan akhir dalam interaksinya.

Dengan taaruf sebagai tujuan, kita akan mengusahakan interaksi-interaksi seumpama dialog, kebersamaan dalam aktiviti dan sebagainya. Hal ini demikian kerana taaruf itu menuntut agar kita sentiasa mencari titik persamaan dalam mendepani kepelbagaian, agar keharmonian itu tetap utuh dan teguh. Dengan penerapan budaya seperti ini dalam segala aspek, khususnya aspek politik, material dan ideologi, kita akan berada dalam lorong yang cerah menuju negara yang harmoni dengan kehidupan yang dilimpahi rahmah.

Takwa Sebagai Kayu Ukur

Selain tujuan sebagai memandu etika, Allah juga meletakkan kayu ukur yang pragmatik dalam menyantuni kepelbagaian, iaitu takwa. “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah yang paling bertakwa daripada kalangan kamu di sisi Allah”. Takwa mampu diusahakan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum apa pun dia, apa latar belakangnya, bagaimana paras kemiskinannya, di pedalaman mana pun dia tinggal, asalkan dia seorang muslim. Malah, takwa itu sendiri tidak dapat diperolehi secara pewarisan. Dengan hanya Allah sebagai satu-satunya penilai ketakwaan, tiada sesiapa mampu prejudis dan memandang rendah terhadap orang lain, malahan setiap mereka akan menumpukan agar takwa itu diraih dalam interaksi mereka dengan kepelbagaian kaum, khususnya di Malaysia.

Menariknya, inilah peluang-peluang yang Allah akan bukakan untuk kita menyantuni semua pihak dengan mempertonjolkan dakwah yang rahmah sebagai modus operandi utama. Manakan tidak, taaruf dalam politik yang bertakwa, sebagai contoh, akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi, namun kepelbagaian dalam politik itu akan disantuni dengan baik. Dalam hal ini, daripada kelompok politik mana pun seseorang itu, hatta non partisan pun akan berpeluang untuk mendapat sentuhan dakwah yang rahmah, kerana peluang-peluang keharmonian yang tercipta.

Dogma dalam Melihat Sejarah

Meskipun kita membaca sejarah kemunculan kepelbagaian ini disebabkan dogma ‘pecah dan perintah’ itu tadi, adalah kurang tepat untuk kita turut menilai sorotannya juga menggunakan dogma yang sama. Dogma ini akan menyebabkan selama-lamanya kepelbagaian ini akan dianggap sebagai suatu perbezaan justeru ancaman terhadap satu sama lain, malah mengundang kepada polarisasi dan segregasi politik, material dan ideologi yang membarah, seperti mana yang kita sedang berdepan pada saat ini.

Sunday, December 21, 2014

dakwah rahmah: gagasan taaruf dan paksi takwa



Perbezaan antara kita membawa kepada gagasan taaruf. Namun indahnya, Allah letakkan paksi taaruf itu pada takwa, iaitu sesuatu yang tidak dinilai pada rupa fizikal, harta kekayaan, bangsa dilahirkan, hatta kumpulan mana pun yang disertai, dan sebagainya.

Paksi taaruf pada takwa itu akhirnya mencambahkan dakwah yang rahmah. Dakwah yang juga bermatlamatkan takwa.

Kerana paksi taaruf pada takwa akan mendidik agar sentiasa mencari titik persamaan untuk mencapai keharmonian, sebagai jalan untuk mencapai hala tuju dakwah, iaitu menyebarluaskan rahmah Islam.

Dengan itu, takwa diri akan sentiasa dijaga dengan teliti sepanjang jalan dakwah rahmah itu. Lalu pantaskah pula untuk jalan ini dicemari dengan ketandusan takwa pada konsep taaruf, pada perjalanan, malah pada matlamat akhirnya?

Cuit bahu, cubit kalbu.