Tuesday, October 18, 2011

Cerpenku : Usu Hirup Air Jeram dan Tigris

Nukilan : Syuaib bin Supani


Dari celahan pepohon yang sunyi dan antara kicauan unggas yang menyanyi, dia tercungap-cungap. Gusar merenikkan sebening keringat; Nasri mengesat dahi. Tubuhku berjaya dipaut ke tebing, walaupun pakaian Nasri kuyup. Mataku kupejam, menyedut nafas sedalam-dalamnya. Semput terasa dada, namun hatiku puas. Tembok dalam hati telah kuruntuhkan, meskipun aku sedar tindakanku agak kurang bijak. Aku perlu belajar lagi.

"Alahai, comel!"

Sejumlah tangan berebut-rebut hendak memangkuku. Merangkul kasih. Aku hanya membiarkan, dek sifatku sedemikian rupa. Jiwa mulus sememangnya dahagakan perhatian dan belaian dari sesiapa sahaja, hatta sang pendiam sepertiku.

Kehangatan dukungan lama terasa, bersilih ganti. Bahagia suara mereka jelas kedengaran saat melayan keletahku, masih jelas terngiang-ngiang di telingaku celam-celum gemersik daun bergeser dihembus bayu rimba saat itu. Hangat bertukar dingin, terasa kakiku dicecahkan ke permukaan air. Sempat kukutip ibrah darinya; dingin dan tenang itu datangnya dari kesucian batin. Air itu di hulu, air muda; fizikal yang jernih serta sifatnya yang mendamaikan benar-benar mendatangkan manfaat kepada kita disebabkan batinnya yang suci dan bersih.

Betapa umat kucar-kacir ini kehilangan jiwa-jiwa yang suci. Jiwa-jiwa muda yang mengindahkan tautan dengan alam, dek hadirnya sebagai khalifah.

Justeru kacau jiwanya sedikit, aku terlupakan dari perhatian.

"Pak Kob! Pak Kob! Usu tu!" suara ibu sayup memanggil, teresak-esak. Melambai lemah. Suasana jadi riuh gelisah.


Aku merenung tajam ke dalam anak matanya. Cincau sejuk disedut dua tiga teguk. Ditelan pantas.

"Kau lihat rekaan bentuk gelas ini, Nasri. Luas tapaknya dan ideal bentuknya walaupun agak tinggi dari cangkir biasa". Nasri memandang. "Jadi?"

"Air di dalam gelas ini sudah berkurangan dek sesuatu, iaitu sedutanku tadi. Sekarang, parasnya sudah jauh dari mulut gelas dan tidak akan tertumpah keluar," aku memejamkan mata, menyedut nafas dalam-dalam. "Memanglah, jadi?"

"Aku tak pergi. Keputusanku ini secekal air ini yang takkan tertumpah keluar dari gelas yang stabil ini".

Nasri beristighfar panjang. Lama terdiam.

Kaki pendekku terkapai-kapai. Andainya selama ini aku boleh merasakan diriku selamat dengan adanya sokongan kepada mana-mana bahagian tubuhku, kali ini mungkin rasa itu berubah selamanya, sekelip mata. Kuhulur kaki, tiada tempat untuk berpijak. Kucuba gapai dengan jemari, tiada sesuatu yang dapat disentuh kukuh. Tubuh kecil kupusing-pusing, barangkali ada lengan ibu yang menyambut untuk memberi kehangatan. Aku dingin menggigil.

Tiada. Kata hati kecil, aku dalam kesusahan. Entah suara tangisan ibu atau esakanku, aku sukar untuk bezakan.


"Yusuf, kau tersalah pandang sebenarnya". Perlahan-lahan gelas itu digoncangkan.

"Lihat, air cincau yang lazat itu terpercik juga. Sestabil mana pun, gelas itu tetap kalah kepada gegaran. Semacam Jepun dan Haiti, bukan?"

Sekonyong-konyong mindaku terbayang akan ujian gempa bumi yang ditimpakan Allah kepada kedua-dua bumi itu. Maha Besar Allah, ternyata ujian itu benar-benar memperlihatkan siapakah antara kedua-duanya yang lebih kronik krisis nilainya. Antara beratur dengan berhemah dengan berebut menyerbu bantuan. Antara nafsi-nafsi dengan mulianya itsar. Walau hanya untuk seteguk air minuman.

"Persepsi takkan mungkin selamanya terkongkong dalam tempurung. Masa berlalu, usia bertambah. Goncangan onak kehidupan akan membuatkannya keluar dan berubah dalam suasana baru. Yusuf, cuma mandi-manda dan barbeku sahaja," Nasri masih memujuk.

Aku jadi serba salah. Semalaman kami bergelak ketawa riang sambil menyiapkan perapan ayam. Aku, Nasri, Amsyar dan lain-lainnya. Kami membasuh potongan-potongan ayam dan menggaulkan ramuan secukupnya. Perap sehingga menyerap. Membangkitkan aroma dan rasa. Semacam tarbiah jua. Dan pagi ini, aku keras menolak.

"Bukan aku enggan berubah. Mungkin belum tiba masanya. Kau tak faham, Nasri".

"Memanglah kau bukannya enggan berubah. Kau enggan memberanikan diri untuk berubah. Manakan anak helang yang takut hendak terjun dari sarangnya akan berjaya terbang membelah angkasa kemudiannya? Manakan segagah Singa Allah Khalid al-Walid, andai pedang masih berkilat dalam sarungnya?" Nasri menyerangku bertalu-talu hinggakan aku mati punca. Gelas minumanku diambil, diminum airnya sehingga separuh gelas.

"Yusuf, apa yang kau nampak?" gelas disua kembali, namun masih dalam genggamannya erat.

"Gelas separuh kosong?"

Dia terdiam mendengarnya, bangun perlahan-lahan menuju kaunter bayaran. "Gelas separuh penuh. Cubalah positif sedikit, Yusuf".

"Tuala! Tuala!"

Pak Kob memangku jasad kecilku ini. Kak Nah berlari terkedek-kedek di atas pasir halus sambil membimbit tuala Happy Morning ibu dari gerobok di rumah. Ibu berkali-kali mengucupku, sambil lidahnya tak putus-putus meluncurkan hamdalah. Dibalut tubuhku tebal-tebal, biar selesa dan hangat olehnya. Biar hangat aku dalam erat dakapan kasihnya. Aku menangis. Aku menangis walaupun aku tahu yang aku tetap akan selamat, kerana badanku sudah biasa dengan apungan dalam bendalir, sebagaimana dalam rahim ibu. Justeru, aku takkan tenggelam dan lemas.

Namun aku menangis. Aku menangis takut. Dan tangisan itu membekas.


"Hebatlah, buku tentang kejatuhan kegemilangan Kota Baghdad. Bukan calang-calang orang," aku tertawa dengan usikan nakal Amsyar. Cuba menyembunyikan gusarku. Sepanjang malam tidurku tak lena; sekejap memikirkan bagaimanakah nantinya suasana di lata keesokan harinya, andai terlena segera tergagau-gagau dek imbauan kisah di jeram itu.

"Baghdad pernah menjadi pusat peradaban terunggul di dunia. Pusat keilmuan, keintelektualan dan cendekiawan. Ibnu Sina dan teknik perubatannya, pengenalan ilmu algebra dan teori astronomi al-Battani. Itu belum mengambil kira penggunaan kincir air untuk pengairan dan industri kilangnya," Amsyar membuka topik perbualan.

"Harum betul Baghdad dek keagungan isinya. Terserak hingga melahirkan pula tamadun Islam Sepanyol, yang berikutnya merintis jalan kepada Renaissance".

Aku menambah, "Benar, macam air minyak attar. Semerbak kandungannya yang mendatangkan inspirasi". "Apa punca kejatuhannya?"


"Ada banyak menurut para sejarawan. Hulagu Khan ingin meneruskan penaklukan datuknya, Genghiz Khan kepada sebahagian Asia dan Utara China, dengan meneruskan usaha itu ke Asia Tengah, selain tersebarnya berita mengenai tersebarnya kumpulan pembunuh upahan Hashshashin yang diketuai Hassan i Sabbah dari mazhab Ismaili. Tentera Salib juga memainkan peranan mereka untuk menghasut Hulagu. Baghdad sebagai sasaran utama," aku mengutarakan analisis pembacaanku, menjawab soalan Nasri. "10 Februari 1258, Baghdad akhirnya ditawan daripada pimpinan al-Mutassim, Khalifah Abbasiyah. Sebuah peristiwa tragik selamanya. Pernah dengar nama Persian Ill Khans?".

"Siapa?"

"Dialah, Hulagu. Akhirnya menemukan cahaya Islam, dan menjadi pemerintah Islam, demikian juga keturunannya".

"Selepas segala kekejamannya terhadap Baghdad?" Nasri seakan-akan kurang berpuas hati.

"Hidayah kan kuasa Tuhan. Kita tak mampu menjangkakannya. Abu Talib yang seumur hidupnya mempertahankan dakwah Nabi pun mati bukan dalam Islam. Wali Allah, Bisyr al-Hafi asalnya bukanlah dari latar belakang keluarga yang warak dalam agama".

"Betullah tu. Tapi mengenangkan Perpustakaan Baghdad yang diroboh dan Sungai Tigris yang bertukar hitam, terasa sebak pula," Nasri melemparkan pandangan jauh. Seketika, namun tiba-tiba berpaling menghadap wajahku tepat.

"Yusuf, sedangkan sungai Tigris pun bertukar hitam". Aku kaget. "Maksudnya?"


"Antara molekul H20 air wujudnya ruang. Kaulihat, ruang itu telah terisi oleh molekul-molekul dakwat dari kitab-kitab ilmu yang dibuang ke dalam Tigris, menyebabkan airnya menjadi hitam. Attar pula, terisi ruang itu oleh molekul-molekul haruman, lantas dihargai oleh semua. Ada sesuatu yang perlu kauambil ibrah dari perkara ini".

Masing-masing memasang telinga, termasuk Shukur yang tadinya ralit memandu.

"Pertama; air bersikap terbuka dalam menerima. Ini suatu yang positif. Namun, air tak mampu membezakan dalam menerima. Antara dakwat dan haruman. Mana baik buruk dari lahiriah dan impaknya. Sebab itu akal perlu dipimpin oleh wahyu; al-Quran serta sunnah Junjungan. Perubahan perlu seiring kehendak syariat. Sunnah Rasulullah mencadangkan kita belajar berenang. Syariat mencanangkan mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Sunnatullah pada alam menyatakan akal yang cerdas ada pada tubuh yang sihat. Kita perlu berubah dan berhijrah," Nasri kenyit mata. Aku mula menangkap hadaf dan maksud kata-katanya, senyum, namun membiarkan dia meneruskan kata-katanya.

"Kedua, sungai Tigris kini telah kembali jernih. Bagaimana? Melalui pengaliran sungai dari hulu ke hilir. Air dari hulu telah mengembalikan imej asal Tigris. Air seperti kita syabab muslim. Yang cukup perkasa untuk membetulkan kembali kekhilafan. Graviti turut memainkan peranan, dek hilir sungai lebih rendah berbanding hulunya". Amsyar pantas mencelah, "Ya, pentingnya muhasabah dalam kehidupan. Andai Tigris yang hitam tidak sedar situasi dirinya, dia takkan merelakan dirinya diislah agar kembali jernih".

"Salah tu. Tigris sentiasa merelakan. Makhluk-makhluk Allah selain manusia yang memiliki akal fikiran semuanya tunduk dan patuh. Dengan akal, kita diberi pilihan. Untuk berubah dan seterusnya mengubah. Pelbagai faktor sedia menyokong. Yusuf, kami dan rakan-rakan sedia membimbing".

"Ketiga, Tigris..." aku pantas mencelah kata-kata Nasri itu. "Sudahlah tu. Aku faham. Kalian ni menambah tekanan sahaja. Banda Aceh musnah kerana air. Bangkok tenggelam dek air. Bermakna air adakalanya mengancam kehidupan".

"Sebab itulah kita tak boleh angkuh. Angkuh untuk mengislah diri. Air walaupun lembut dan tenang, potensinya mengagumkan. Sesekali berombak memunculkan kebolehannya. Sedangkan batu boleh melekuk dek titisan air yang berterusan. Lihat, pentingnya istiqamah dan panduan dalam kehidupan. Air yang meranapkan memanglah jelas besar potensinya, namun adakah disukai ramai?"

Aku diam. Lama, sebelum akhirnya menyambung kembali, "Air sifatnya fleksibel. Mudah mengadaptasi diri mengikut bentuk keadaan. Permukaan bumi yang diliputi dua pertiganya oleh air, komposisi utama sel dari air dan kehidupan kita dengan kebergantungan tinggi terhadap air; Allah mahu kita turut mengambil ibrah dari air ya".

Semua tersenyum.

"Abahnya, musim gelora ni ombaknya kuat. Baca doa banyak-banyak, ingat Allah sentiasa," ibu melahirkan rasa risaunya sambil tangan menyiapkan bekalan untuk abah keluar ke laut. Abah angguk-angguk, meletakkan jala di atas bahu. "Bawalah Usu sekali, mana tahu boleh bantu apa yang perlu".

Aku sedar kehidupan ini sukar. Sesuap nasi bukanlah semudah mengimpikannya. Untuk itu, abah perlu membanting tulang empat keratnya. Ibu perlu tabah jiwanya, selaku serikandi pendamping hidup abah. Aku dan kakaklah yang sering tinggal berdua di rumah.

Mendengarkan saranan ibu, abah hanya memandang kosong ke arahku. Aku tunduk, tak mampu menafsirkan maksud pandangan itu; adakah kekecewaan atau kesedihan? Adakah simpati?

Tangisan ibu saat di Jeram Pasu terngiang-ngiang. Tangisanku.



Aku sejujurnya sangat mengagumi abah. Cekal dan semangatnya. Abah tak mudah mengalah. Bijaksana dalam mengatur kehidupan kami. Aku pernah bertanyakan hal itu kepada abah.

"Kauingat peristiwa di jeram dahulu?" Aku angguk. "Jernih kan air jeram, kerana perlu berhempas pulas melepasi batu-batu sungai yang merintangi. Menyucikan jiwa dan mematangkan fikiran. Hidup tak selamanya indah," ujar abah berfalsafah.

Tiba-tiba Lata Belatan menangkap pandangan. Sekonyong-konyong menghalau seribu kenangan di Jeram Pasu. Jari kucecah ke air, terasa masih segar bagaikan dahulu. Jeritan ria air menghempas batuan sungai terasa sama, meskipun berlainan tempat.

Semacam ada yang berbisik kepadaku agar muhasabah dan mengambil ibrah. Segera hijrah.

Aku menanggalkan capal. Meranduk perlahan-lahan. Nasri dan Amsyar di atas, mengipas-ngipas arang biar berbara.

"Eh, di mana Yusuf?" Shukur datang membimbit bungkusan sosej dari kereta. Mata bertemu mata bagaikan baru tersedar.

7 comments:

  1. Mabrouk alaik,kagum dgn pnulisan enta..
    teringat dgn kata2 Ust Pahrol:
    ILMU ITU CAHAYA DRP ILAHI,
    MEMANCAR KELUAR MELAHIRKAN AMAL,
    MEMANCAR KE DLM MELHRKN IMAN..
    Anologi y sgt baik dlm memberi kefahaman kpd umum,truskan usaha sahabat...

    ReplyDelete
  2. amboi ammar
    analogi dlm komen nta tu jauh hbat ag dari yg berjela2 di ats
    ana kagum dgn nta

    ReplyDelete
  3. kembangkan lagi bakat adik ye..insyaAllah kami sentiasa menyokong dari belakang..

    ReplyDelete