Thursday, January 27, 2011

Cerpenku : Mandiri di Hujung Usia

 
Nukilan : Syuaib Supani

Sudah hampir lima tahun. Entah berpuluh purnama sudah menjengah sejak dahulunya Prof. Anthony memujukmanjaku agar berdamping dengannya. Melepaskan ibuku pergi. Pergi dan pergi selamanya. Pergi tanpa kucupan terakhirnya di telingaku buat membangkitkan salam rindu dan menyemarakkan perdu wajaku.

Dahulu harapanku membunga mekar. Perginya ibu antara sedar atau tidak dalam gema keroncong perutnya - aku dalami benar keperitan ibu. Atas memeliharaku, kudoakan hidayah untuknya. Atas membesarkanku, kupintakan bahagia untuknya. Moga-moga tubuh mungilku ini mencetus inspirasi buat perjuangannya terhadap alam – Prof. Anthony.

Lima tahun lamanya. Dan penamatnya pada hari ini.

“Ayah! Ayah! White, jangan!”

Aku tak hirau. Menjeritlah. Melolonglah.


“Ayah!”

“Johnny, panggil Prof. Richard. Suruh dia telefon WWF,” serak suara ayah kian perlahan dalam erangannya. Pilu sekali, seakan cuba menjolok rasa simpatiku.

Bulu lebatku basah sudah, demikian jua sepersalinan pakaian ayah yang asalnya juga serba putih. Aku berdiri tegak, melayan amarahku. Biar ayah mengerti. Biar dia memahami.

Aku mendengus, namun seketika sahaja. Kepalaku terasa pening – ada sesuatu mencucuk belakangku. Aku jadi pinar. Ada kelibat manusia memapah ayah pergi. Antara kelam dan samar. Ada hentakan kaki manusia berlari-larian. Ada bunyi dentuman senapang tadi.

Dan aku terus terjelepok lemah. Di sini. Di tempat aku membesar dalam kehilangan.


“Sudahlah Anthony. Dah berkeriput pun kau dengan anak manja kau tu,” Prof. Richard membawakan segelas coklat panas. Ah, sudah lewat malam rupanya! Dia menggumam bibir. Terasa kelopak mata terkebil-kebil menahan kantuk.

“Aku gusarlah Richard,” dia menatap skrin besar di hadapannya. Meneliti dan berfikir panjang. “Populasi mereka kian mengecil. Ketara benar sejak kebelakangan ini. Entah mampu bertahan beberapa puluh tahun lagi dan mereka akan tiada. Pentas niche ini akan kehilangan ikon emasnya,” dia bicara panjang, entah Prof. Richard mendengar atau tidak.

“Dan si sockeye akan melompat riang. Dengan sendirinya, populasi mereka akan bertambah. Pengorbanan grizzly untuk kemandirian yang lain,” Prof. Richard mengusap-usap kepalaku. Aku hanya membiarkan dalam ralitku.

“Macam tu pulak dia,” dia tak ingin walah.

“Pentas niche itu kan masih belum kosong. Masih ada helang berkepala botak. Ada lagi camar Bonaparte. Merekalah yang akan meneruskan imbangan ekosistem,” Prof. Richard membulatkan matanya terhadapku. Aku jadi kurang senang, lantas menyengetkan kepalaku untuk mengelak tangannya. Meluat.

Prof. Richard sememangnya spesifik dalam major ekologi alam. Ahli dalam lapangan kajian hidupan dan alam. Dan aku – sepatutnya. Namun dia selayaknya bak merak di rimba belantara. Gila pujian dan kemegahan. Meskipun dia menggondol Hadiah Nobel berkenaan bahan kimia yang mampu mengurai kloroflorokarbon (CFC) yang sekian lama mengancam lapisan ozon, O3 yang terletak 25 kilometer dari permukaan bumi, bagiku hanyalah sia-sia sahaja. Teori penguraian atom klorin, florin dan karbon yang diiktiraf itu sebenarnya adalah buah fikiran ayah. Disertasi kajian itu juga sebahagian besarnya adalah hasil keringat ayah. Demi cintanya kepada ekosistem. Mempertahankan keseimbangan alam.

Namun yang meraih nama hanyalah Prof. Richard seorang. Lembu punya susu, sapi yang mendapat nama.

Ayah hanya membiarkan. Ayah terlalu baik.

“Aku taklah risaukan niche sangat”.

“Oh, jadi?”

“Pasal grizzly ini. Dia dan spesiesnya. Kau nak biarkan nasib mereka seumpama Saber Tooth? Dodo dan Quagga? Pupus angkara kerakusan manusia dan perubahan iklim dunia?”

Ayah menduga dalam keprihatinannya. Prof. Richard membalas dengan mempertahankan ‘kebajikan’ cedar merah, Hemlert berat dan fir yang tinggi menirus. Ayah pernah menceritakan kepadaku tentang saudaraku di Hutan Besar itu. Tentang kisah juang untuk mengharungi dugaan. Setiap Julai, salmon sockeye dari Lautan Pasifik akan berpusu-pusu kembali ke sungainya setelah bermigrasi ke laut selama satu hingga empat tahun. Sungai tempat kelahiran mereka. Bagaimana mereka cerat mengenali jalan pulang, aku kurang arif. Entahkan berpandukan bau air jeram atau peredaran matahari, Tuhan sahaja yang lebih mengetahui. Mereka bertarung menyongsang arus sungai untuk naik ke hulu. Selama mereka memasuki muara sungai, bermula itulah mereka akan berpuasa.

Di pertengahan sungai, mereka perlu melompati air terjun yang rendah. Dan di sana ada grizzly yang menanti. Grizzly yang mengidam sejak berbulan lamanya. Ada juga helang berkepala botak dan camar Bonaparte sedia untuk mengancam. Yang kuat akan berjaya. Yang pintar akan menang. Kembali ke hulu untuk bertukar merah untuk mengawan dan bertelur di dasar jeram. Dan akhirnya mati, entah kenapa. Membekalkan nutrien pula buat flora di sana. Sehidup berbakti, semati berbudi. Kagum aku.


Malam itu panas hingga ke pagi. Panas hatiku dalam luat. Panas udara makmal dengan pelepasan haba yang banyak, dek perbahasan mereka berdua.

Dan aku tahu, ayah akan mengalah, seperti kebiasaannya. Bukan rendah maruah tapi lembut jiwa.

“Kamu dah besar ya, White”.

Paginya, ayah membelaiku lembut sambil aku leka mencicip sarapan. “Dah lima tahun kan sejak ketemu kau di kutub. Ayah sejujurnya tak sampai hati nak pindahkan grizzly ke Arizona. Yalah, semacam tak munasabah pula”.

Tegak telingaku berdiri. Aku menderam, dan ayah mengerti protesku.

“Tak mengapa. Ayah akan cuba bincangkan dengan WWF. Biar mereka yang putuskan. Haiwan juga ada hak asasi, tahu?” senyum ayah, guna memujukku agar tenang.

“Tapi entahlah. Lagipun Richard banyak berjasa kepada ayah”.

Ayah bersuara perlahan, namun ayat itu sudah lali kudengar. Ayah terhutang budi. Selaku saintis mentor kepadanya, banyak yang ayah pelajari daripada Prof. Richard dahulu. Tapi bagiku itu tak bermakna ayah perlu mengorbankan pendiriannya.

Aku tahu benar. Prof. Richard sarat informasi dan maklumat. Tapi fakir dengan wibawa dan etika seorang saintis. Jengkelku melangit.

Bangunku hanya lama sesudah itu. Ada jeriji besi, tak semacam lima tahunku bersama ayah. Aku pening-pening mabuk, entah kesan geriatrik atau apa.

“Dia sihat. Paras metabolisme normal”.

“Tadi dia serang orang. Agresif,” kedengaran suara Prof. Richard.

“Mungkin tindak balas refleks. Ada pelepasan bahan kimia atau kebocoran sisa radioaktif?”

“Tak ada. Dia bukan ditempatkan di makmal farmaseutikal atau nuklear”.

“Oh, sebarang unsur-unsur penderaan?”

“Em, setahu saya Prof. Anthony menjaganya dengan baik. Rekod lima tahun”.

Suara-suara itu menjengah telingaku antara dengar dengan tidak.

“Barangkali penderaan emosi?”



Hutan Besar riuh-rendah meskipun Julai belum menghampiri. Grizzly menapak resah, camar menguntum desah. Berpuluh-puluh jentera berat didaratkan, bersedia untuk menggodak habitat mereka. Merodok kebahagiaan mergastua di situ. Kerja-kerja hampir dimulakan, walaupun ALERT kian dikecam.

“Bakun di Malaysia, dan sekarang ALERT di Hutan Besar?!”

“ALERT adalah untuk kita semua. Di samping menjalankan kajian mengenai sumber tenaga alternatif, ALERT juga berperanan khas dalam memantau serta memulihkan lapisan ozon. Untuk alam sekitar. Untuk kita bersama”.

“Pertambahan 1.4 hingga 5.8 darjah Celsius sedekad, dan anda mahu meninggikan kadarnya?!”

“Untuk sejagat, kita haruslah berkorban. Peningkatan adalah dalam kadar yang selamat”.

“Penggondolan Hutan Besar, statistik sedia ada: pemusnahan hutan kini adalah pada paras yang sangat membimbangkan iaitu seekar dalam sesaat, seluas taman besar New York dalam 16 minit dan seluas Philadelphia (76 ribu ekar) dalam setahun. Ini akan meningkat dengan mendadak sekiranya ALERT diteruskan. Saya bantah”.

“Protokol Montreal 1987. Inilah salah satu usaha ke arahnya”.



“Kajian menunjukkan Lautan Artik mengecil sembilan peratus setiap dekad dan meningkatkan paras laut dari empat hingga lapan inci sejak abad lepas. Sekarang sudah kritikal. Anda mempergunakan Protokol Montreal 1987 namun menidakkan Protokol Kyoto 1997. Justeru saya juga bantah”.

“Ini tidak boleh dijadikan hujah. Protokol Kyoto bakal berakhir pada 2012. QELRO (Quantified Emission Limitation and Reduction Objectives – Matlamat untuk Mengurangkan dan Mengehadkan Pelepasan ke Kuantiti yang Ditetapkan) hanyalah terpikul buat negara-negara ANNEX 1 yang menyokong Protokol Kyoto. Dengan itu, kami berkecuali”.

ALERT menjadi perbahasan hangat antara saintis sedunia. ALERT – Alternative Energy Resources and Ozone Treatment Project (Projek Sumber Tenaga Alternatif dan Rawatan Ozon) adalah buah fikiran Prof. Richard Vostox. Dibantah keras dalam Persidangan Kesejahteraan Alam Sedunia.

Sehari. Dua hari. Persidangan akhirnya melabuhkan tirai, dengan mewariskan kesuraman buat seisi warga Hutan Besar. Atas nama pengorbanan demi merangkul kesejahteraan pada masa hadapan.

Seminggu, langsung sepekan. Sungai Anadyr berlarian lesu, Hutan Besar jadi sepi. Camar Bonaparte tak kunjung tiba, helang berkepala botak meminggirkan diri. Dada langit kosong sunyi.

“Seperti dijangka, mereka berkurangan”.

“Statistik saya manakan menipu,” angkuh Prof. Richard meningkah.

“Jadi?”

“Biarkanlah, apa boleh buat. Anthony, awak sudah lupakah akan legasi tenaga alternatif yang beria-ia ingin kaulaksanakan pada awal kariermu dahulu? Peluang sudah tiba untuk kaugapai,” Prof. Richard ketawa besar, mengerling ke arah ayah yang tampak mula dibauri keghairahan. Satu-satu; ketawa sedekah, langkah setapak diatur meninggalkan makmal. Mereka berdua pergi, dan aku masih di situ sewaktu skrin terus melayarkan situasi terkini.

Di tebing-tebing air terjun rendah sudah sepi daripada grizzly. Ada bangkai di situ; sang anak grizzly kecil yang lagaknya terlalu muda untuk mengerti agenda kerakusan. Salmon sockeye tak sebanyak dahulu, barangkali kecundang di muara. Tersangkut dalam keladak atau walah oleh sisa binaan. Dasar sungai yang kian cetek. Malahan peningkatan ketara suhu air telah mengakibatkan pengurangan plankton. Sockeye terus mengidam lagi.

ALERT semakin gah.

Ada gambar dari kutub pada dada skrin. Naluriku dicucuk rasa syahdu. Ibu! Aku mendekam rindu. Matahari sudah lama terbenam di sana, namun nikmat syurga Artik buat polar takkan selazat musim-musim lepas. Suhu kali ini agak tinggi, dek peningkatan ketara kadar pemanasan global. Polar bergelut untuk menapak di atas ais. Tiba-tiba pecah. Polar itu tenggelam.

Aku teringatkan ibu.

“Ibu! Ibu!”

Sekujur tubuh ibu basah kuyup. Terketar-ketar menahan sejuk. Aku cuba menarik ibu dengan kudrat kecilku. Tarik dan tarik. Tapi ibu kian lemah.

Sepatutnya musim sejuk sudah tiba untuk lautan membeku; syurga buat beruang polar di kutub. Mereka boleh berjalan di atasnya untuk menangkap ikan. Sumber protein buat menggantikan berat badan yang hilang. Inilah sahaja masanya, empat bulan sebelum matahari terbit semula untuk musim panas dan mencairkan permukaan lautan. Lagi, mereka akan berlapar menanti musim sejuk bertandang kembali.

Tahun ini tak seperti biasanya. Suhu tak serendah permulaan musim sejuk yang lepas. Kelesuan tubuh mendesak dalam keadaan permukaan laut yang masih belum membeku sepenuhnya.

Ibu berjalan di atas permukaan laut yang membeku nipis. Sesekali mendepangkan tubuh, merapatkan ke bawah bagi meluaskan permukaan, sekaligus mengurangkan tekanan ke atas permukaan laut yang beku. Ibu paling ke kiri, ibu pandang ke kanan. Tercari-cari rezeki. Mengharap dan mencari.

Ibu terpijak ketulan ais nipis dan pecah. Terjerumus.

“Ibu!” aku berlari mendapatkan ibu. Dan aku turut terjunam sama.

Ibu jadi gelisah. Dalam kelemahan kudratnya, ibu cuba menyelamatkanku daripada lemas. Ibu boleh berenang namun tidak berdaya. Ibu tidak bertenaga.

Aku diselamatkan Prof. Anthony. Dan ibu, aku tak ketemu lagi sehingga hari ini. Genap 14 tahun, sejak bandar Kyoto, Jepun menjadi saksi keramat.

Kyoto 1997 – merintis satu permuafakatan resolusi sebulat suara antara 187 negara seterusnya untuk sama-sama mengawal dan menstabilkan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera ke paras yang akan menghindarkan interferen antropogenik terhadap iklim. Nyata, ALERT telah mencabulinya melalui penghapusan Hutan Besar. Itu belum lagi dikira Deklarasi Rio de Janeiro pada 1993 di Brazil dan Deklarasi Langkawi di Malaysia. Ibarat UNFCCC (United Nations Framework Convention on Climate Change – Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan Perubahan Iklim) tega diperkotak-katikkan dan dipermainkan.



Aku diguntur berang setelah mengetahui segala-galanya. Ayah berjanji untuk menjagaku, ya, dia telah melunaskannya, namun dialah yang meluluskan ALERT. Aku kesal amat.

Saat itu, aku tak lagi sedar. Aku nampak kelibat ibu melambai lemah, dan di belakangnya ada berpuluh-puluh ekor lagi. Aku nampak grizzly dan polar. Saat bayangan itu hilang, ayah muncul di hadapanku.

Aku menyeringai berang.

Namun, segala-galanya, syukur, bakal berakhir. Di tengah kesesakan bandar raya di Britain, saat matanya tertancap akan sesuatu di samping limosinnya, perasaan sebak tiba-tiba menyelubungi atmanya. Hati kecilnya tersentuh, dan imbasan silam menari; misi kesejahteraan alam, kehidupan aman dan ergonomik, keprihatinan dan kecaknaan buat ekosistem dan inspirasi daripada White. White? Selembar statistik ALERT dihumban ke tepi dan arah tuju limosin diubah kepada WWF.

Tika yang sama, seumpama merodok kembali segala fragmen memori. Ada mesej pesanan ringkas yang baru masuk membuatkan air mata Prof. Anthony berlinangan. Untuk kesekian kalinya sejak sekian lama, dia berasa sangat kehilangan.

Limosin memecut laju. Bas yang tadinya berada di sampingnya ketinggalan di belakang. Ada sesuatu pada dinding bas itu yang tadinya mengocak gelodak jiwanya – ‘Corruption has appeared throughout the land and sea by [reason of] what the hands of people have earned so He may let them taste part of [the consequence of] what they have done that perhaps they will return [to righteousness]’. The Holy Quran Surah al-Rum 30, Verse 41 (Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat), al-Quran Surah al-Rum 30, ayat 41).

Konsistenku akhirnya termakbul di hujung usia. Untuk ayah. Aku tahu ayah akan melakukan sesuatu, demi kemandirian sejagat. Demi kemaslahatan alam. Hutan Besar dan Artik boleh meriah lagi. Grizzly dan polar pasti riang, demikian pula cedar merah, Hemlert berat, fir, helang berkepala botak dan si camar Bonaparte. Untuk mereka semua, sockeye boleh memerah lagi.


4 comments:

  1. although i can't undrstnd this post..
    but..it's nice..
    not bcuse u're not good..
    but my mind fails to undrstnd that..
    its lguage was too high..!
    you're vry tlend boy..
    very good..!
    and..i like it..!
    all the best..

    ReplyDelete
  2. I having a trouble reading dis post...with name of character..n language too.dis post very impressive with 'e fact...where u read tht?? However...all the best!!!

    ReplyDelete
  3. salam..nice blogger.semoga terus tetap berada di jalanNya dan terus istiqomah menyebarkan taujihad sehingga islam trtegak di bumi ALLAH.BarakALLAHufiek..best of luck!!

    ReplyDelete
  4. a great thanx to the anonymous,Sweet and ana mujahidah for the postive comment!

    ReplyDelete