Sunday, February 13, 2011

Cerpenku : Seri Vinca di Toronto

Nukilan : Syuaib Supani
Udara di sini berbeza benar, seakan menyuntik semangat baharu untukku. Mengiwir nyaman dalam irama alam, sekaligus mengurangkan sedikit rasa gusarku. Dalam keterasingan, aku mengerling ke arah jam tanganku.

“Allah, aku sudah terlewat!”

Meleset hasratku untuk terus menikmati ketenangan pagi lebih lama. Ah, masa acap mencemburui! Benarlah, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan lebih banyak daripada masa yang ada – terasa sungguh impaknya. Bingkas!

Langkah kuatur selaju mungkin sambil berkira-kira. Dewan kuliahku agak jauh, barangkali tuah akan memihak kepadaku untuk sempat tiba pada waktunya. Mataku menjilat sekeliling; masing-masing kelihatan sibuk. Nafsi-nafsi, mengarah ke arah pelbagai tujuan. Makankah, atau sekadar berjogingkah? Aku ketawa kecil mengingatkan penduduk di tanah airku, berkemungkinan mereka masih lena diulit mimpi.

“Maafkan sa…”

Sejumlah mata tertumpu ke arahku, membuatkan aku jadi gelabah. Kepala tertunduk spontan sambil jemariku menghinggapi bibir. Aku segera bergerak ke kerusi sambil dirundung malu.

Namun, rasa itu segera berlalu dek segala-galanya berjalan lancar. Dua jam kuliah pertamaku kujadikan obor pembakar semangatku bagi menghadapi hari-hari mendatang. Mengenangkan kembali saat Ummi menunjukkan sampul surat berisi tawaran melanjutkan pelajaran ke Belgium dalam jurusan kejuruteraan membuatkan hatiku dicantas pilu.

Prestasi bahasa Inggerisku dahulu bolehlah dikatakan sedikit memuaskan, justeru aku acap walah. Diralitkan dek menekuni subjek-subjek lainnya. Sudahnya, bahasa itulah yang mewalahkan pengajianku dalam lapangan ini, membuatkan aku terhumban kembali ke tanah air untuk mencuba meniti titian perubatan. Seberkas jerih untuk bangkit membuatkan aku lebih menghargai. Seminggu beristikharah, ke sini akhirnya aku tercampak. Di Universiti Toronto yang tega menerimaku untuk menggelodak khazanah ilmunya.

Untuk itu, aku dan Ummi saling meredhakan, meskipun aku sedar kemampuan bicaraku tidaklah segah mana. Sesekali bahasa ibunda terluncur, diikuti tindak balasku yang tidak keruan. Seumpama saat menjengah masuk ke kuliah pertamaku sebentar tadi.

“Kau?”

Raut wajahnya kuamati saksama, ternyata dialah orangnya. Teman sepermainanku dan jatuh bangkitku di bangku persekolahan dahulu. Bumi Toronto mempertemukan kami kembali, dan harapanku dia masih seteguh terumbu ditongkah arus samudera; benarkah?

“Mana kerudung kau? Ira, apa sudah terjadi?” hati rawanku dahagakan penjelasan. Dia mempamerkan wajah bersahaja, namun segera dialihnya topik perbualan kami.

“Kau lapar? Mari aku belanja kau makan di kafeteria. Di sana ada makanan sesuai selera kita orang timur,” dia memaut lenganku. Melangkah pantas.

Musykilku masih diterjah ragu. Satu-satu persoalan menerpa, namun sangkaan buruk segera kutepis. Tanganku kubasuh, lalu kembali ke tempat duduk.

“Masak lemak cili api, kegemaran kau bukan?”

“Ya, di sini sahajalah hidangan setia aku. Sejak berbulan lamanya”.

“Kau jaga betul ya citarasa selera ketimuran ini”.

“Mestilah, aku rindu betul akan masakan Opah di kampung. Sudah lama tidak pulang, tebal benar kenangan menggamit, bukan?” jawapan yang kuterima tampak bernada biasa, namun gusarku belum tergugah. Istighfar kuatur panjang, cuba menarik ketenangan menyelubungi perdu atma.

Terasa gelisah malamku mula terjawab.

Sebuah taman seluas mata memandang, indah dan mempesonakan. Ada bunga pelbagai kuntum. Ada cemara berbilang pohon. Yang pasti, ada ketenangan berhembus bersama bayu sepoi-sepoi bahasa. Sekitar lanskap tampak bersih, secara keseluruhannya.

Barangkali tidak.

“Mengapa ia di sini?”

Sekuntum vinca bersepai di atas tanah. Serinya telah pudar, kelopaknya mulai layu. Dia yang layu daripada kelopak vinca lain yang gah mekar – membuatkan aku jadi keliru.

“Jadi, apa yang kau nak kaji untuk tugasan kita? Allamanda cathartica, Hibiscus Rosa Sinensis atau Rosa Hulthemia? Atau barangkali Prairie crocus, bunga kebangsaan Kanada?”

Mimpiku terhalau pergi. Mendengar pertanyaannya, aku lantas teringatkan pesan pensyarah kami. Dengan wajah yang kerut dan masam mencuka, uban yang mula memutih dan berkaca mata besar, suaranya lantang melemparkan tanggungjawab pertama (buatku); kajian mengenai bunga dari aspek taksonomi. Sebagai pengenalan buat kami menceburi lapangan hijau ini.

“Syakira, kauminat rona ungu bukan?” aku teringatkan imbasan mimpiku itu. Mimpi pada malam istikharahku.

“Vinca! Cantiknya!”

Aku melonjak riang, terhibur oleh kuntuman-kuntuman ungu yang kembang mekar. Bertuah kau dijaga di Taman Botani Toronto ini, tentunya ditatang bagai minyak yang penuh bukan! Syakira mencuit hidungku.

“Kalau pokok itu ada kaki, dah bertempiaran pun dia lari dek takutkan tempikan kau,” dia mengusikku sambil asyik mengetik punat kamera yang dipinjam daripada seorang siswa.

Pohon vinca itu rimbun sekali. Vinca, pesonanya seindah namanya. Bunganya kecil sahaja, selebar satu hingga tiga inci, namun tempias ungu terangnya menenggelamkan hijau dedaunannya yang menghijau segar.

“Cantik betul, kamera membuatkannya sedikit kusam,” aku masih lagi riang sambil meneliti dan memerhati.

Terletak berhampiran Edwards Gardens, taman ini kelihatan agak luas, mengingatkanku akan Rimba Ilmu yang terletak di Universiti Malaya. Aku pernah ke situ dahulu, dibawa kakakku yang menuntut dalam jurusan Genetik dan Biomolekul di universiti tersebut.

“Kenapa kaupilih vinca?” Syakira tekun mencatat sesuatu dalam buku notanya.

“Serinya mempesonakan,” sekadar itu jawapanku. Ringkas dan padat. Dia tidak berpuas hati. “Takkanlah disebabkan itu sahaja. Kautahu, sesetengah spesies vinca dianggap sebagai rumpai di beberapa tempat, langsung dipandang sinis ahli botani disebabkan kadar pertumbuhannya yang teramat pantas”.

“Mereka tidak benar-benar menghayati alam. Yang tidak merasai manakan tahu. Kautahu, vinca banyak mengajarku. Keindahannya mempesonakan sesiapa sahaja yang memandang. Seumpama itulah kita para huffaz, penghafaz al-Quran; al-Quran yang kita bawa patut menghiasi akhlak peribadi kita,” aku mengulangi hadis Sayyidatina Aisyah tentang keperibadian Rasulullah kepadanya.

“Dengan itu, masyarakat akan lebih tertarik kepada dakwah dan ajakan kita, lantas membawa mereka kembali kepada pengamalan Islam yang sebenar”.

Nafas kuhela lega. Mujurlah rakyat Kanada nampak baik, membuatkan hatiku terasa kuat untuk terus melangkah ke Masjid Umar bin Khatap di Parliament Street. Sepemergianku berkelana di bumi asing membuatkan sekeping hatiku dahaga. Aku memilih untuk bersolat Maghrib dan Isya’ di situ. Untuk itu, aku mula bertolak awal, sebelum hari beransur gelap.

“Sahabat Nabi, Said bin Hisyam pernah bertanya kepada isteri baginda, Sayyidatina Aisyah radiallahu anha mengenai akhlak baginda”.

Suara pentazkirah sayup-sayup kedengaran. Aku bersimpuh di suatu sudut, pantas mencatat fakta dan peringatan penting yang perlu utuh kusemat dalam kalbuku.

“Sayyidatina Aisyah menjawabnya dengan mengajukan soalan, ‘Tidakkah kamu membaca al-Quran?’”

“Ya,” spontan terkeluar dari bibirku semacam akulah yang diketuk oleh soalan itu. Benar, hambatan masa menyebabkan aku sering tewas dalam rutin murajaahku. Namun, kugagahi jua dayaku mencari ruang daripada kesibukan harianku; sebelum Subuh serta sesudah Asar dan Maghrib. Sebelum tidur kuisi dengan al-Mulk dan tiga Qul, sebagaimana anjuran Rasulullah.

“Sayyidatina Aisyah menyambung kembali, ‘Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah al-Quran’”.

“Ira, kau kenal tak ustaz mana yang menyampaikan tazkirah selepas Maghrib semalam? Bagus betul tazkirahnya”.

Dia gamam, dan aku sememangnya sudah menjangkakannya.

“Oh, em… tak silap aku, namanya Ustaz Azam, Imam Besar. Tazkirahnya memang sarat hal-hal fiqah bukan?”

“Tidak”.

Aku berhenti menghirup. Cangkir teh kuletak di atas piringnya, seraya memandang tepat ke arah wajahnya. Rambut ikal mayangnya yang lurus mengurai.

“Malam tadi bukannya giliran Ustaz Azam, tetapi Ustaz Muhaymien yang berasal dari Sepanyol. Dia bersyarah mengenai tafsir ayat 4 Surah al-Qalam”.

“Oh ya, mengenai penciptaan alam semesta bukan?”

Aku mula dibauri kecewa.

“Bukanlah, itu ayat 4 Surah al-Sajdah. Ayat 4 Surah al-Qalam berkenaan akhlak dan peribadi Rasulullah. Sempena Maulidur Rasul yang bakal menjelang,” aku tak sedar laju sahaja lidahku membebel. “Ira, mana al-Quran kau? Mana hafazan kau? Kau ke mana semalam?”

Bertalu-talu soalan kuaju namun tiada respon yang kuterima. Kelopak mataku membening dek sebak menyeluruhi jiwaku. Sejenak kulekapkan mukaku pada sapu tangan, teresak-esak. Usai, tahu-tahu aku berada di meja belajar di kamarku.

Entah bila Syakira menghabiskan sodanya dan berlalu pergi meninggalkan aku, aku tak sedar. Namun kuliahku pagi tadi ternyata hambar selepas selera pagiku terasa diragut pergi. Dia semacam cuba memujukku, namun aku terlalu beremosi.

Syakira itu bertelekung labuh dengan mushaf di tangannya. Pipinya nampak basah dek wuduk. Datangnya sentiasa mendahului waktu, dan tempatnya tetap setia di samping tabir merah masjid sekolah. Mengalunkan ayat kalam Tuhan yang indah. Sesekali terhenti dan jemarinya menyelak mushaf.

Ternyata kenangan itu masih belum lapuk dalam ingatanku. Syakira itu kukenal santun perilakunya. Lancar hafazannya. Sedangkan para guru cerat mengenalinya, inikan aku rakan seketumbukannya.

Aku merenung diriku – teroleng-oleng bertukar perahu. Goyah dilambung ombak, ombak yang aku tahu aku takkan betah menongkahnya.

“Sejak bila pula stetoskop dah nampak macam pencebak?”

“Ummi, Angah tahu pilihan Angah ini agak aneh. Tapi Angah yakin, insya Allah Angah mampu”.

“Biarlah Umminya, inilah masanya untuk dia berubah. Siapa tahu rezekinya Allah telah takdirkan di situ. Kitakan hanya merancang, hanya Dia yang menentukan,” Abi cekal memujuk Ummi.

Ummi acap menduga. Dan aku tahu, dia ingin membuatkan aku cekal. Cekal, dan aku kini terus menghirup udara Toronto.

Brosur percuma dari Mary’s Florist kuselak dan kutatap lama. Aunt Mary yang menghadiahkan kepadaku seperjalanan pulangku ke rumah sewaku. Potret sejambak vinca kutatap lama. Mary’s Florist takkan tega menjual vinca yang layu. Vinca yang tiada nilai komersil jua lagi. Vinca yang layu; kalaulah boleh disegarkan kembali.

Segera aku sedar; hanya Allahlah yang berkuasa menghidupkan segala yang mati.

Jua hati yang mati. Untuk hati, harus berusaha disirami dan dibajai. Mengapa tidak?


Aku memandang sekeliling, membuntuti Syakira yang kelihatannya sudah terbiasa di sini. Sunyi benar, tanpa sekelumit bunyi pun. Oh, kalaulah sebegini rupa, ilmu pun akan mudah meresap kalbu!

“Kerapkah kau ke sini?”

Pintu gerbangnya kutatap lama. Indah berseni, terpampang seni bina pada papan tandanya – Perpustakaan Awam Toronto.

“Agak keraplah juga. Novelnya menarik. Jiwang dan meruntun kalbu”.

Aku diam. Kaget. Novel? Jiwang? Meruntun kalbu?

Sejumlah ensiklopedia flora dihulurkan terhadapku. Setebal ini? Untuk dikhatam sang ahli botani?!

“Kau tengok, Vinca. Tergolong dalam famili Apocynaceae, order Gentianales. Namanya berasal daripada perkataan Latin ‘vincire’ bermaksud memberkas. Banyak tumbuh di Eropah, barat laut Afrika dan barat daya Asia. Dalam bahasa Inggeris juga dipanggil ‘periwinkle’”.

Aku sejenak menjeling ke arahnya. Ensiklopedia itu ditekuni, seiras benar kelibatnya saat menekuni mushaf dahulu. Semalaman bergaduh, paginya keadaan kembali seperti biasa. Seperti aku dan Syakira sebelumnya. Berbalah dek pertembungan ideologi, perebutan coklat dan perkongsian cerita. Rajuk kami cepat meredam, justeru dingin kami takkan lama.

“Oh,” aku tak ingin bermonolog lagi, cuba mengembalikan tumpuan. “Metod pembiakan?”

“Biji benih”.

“Biji benih tentunya mengambil masa yang lama  untuk berbunga berbanding metod saintifik bukan?”

“Ha ah, dek mulanya dari peringkat terawal”.

Aku giat menghadam informasi. Gigih mencerna idea.

“Dia akan memerlukan daya mandiri yang tinggi demi mencapai matlamat memutikkan kelopak vinca yang indah”. aku memandang Syakira seraya meneruskan, “ Sejak kecilnya, vinca telah mempelajari erti usaha. Jerih mengharungi onak kehidupan. Kalau tidak, dia takkan berjaya hidup. Dalam interaksi simbiosis, vinca harus tabah dan cekal dalam persaingan merebut keperluan asas. Dia tetap tega ditarbiah”.

Syakira terhenti saat aku menekan kalimah tarbiah.

“Seumpama idola kita Nabi Muhammad. Baginda diuji sejak kecilnya. Pemergian bapa saat dalam kandungan, perpisahan dengan ibu kandung untuk diasuh di desa Bani Saad, diikuti pemergian satu persatu; ibu, datuk dan akhirnya baginda dipelihara bapa saudaranya Abu Talib. Dugaan itu mematangkan baginda”.

Semalaman tadi tidurku tak lena. Berdoa dan mengharap. Kupohonkan sekelumit sinar hidayah untuknya.

“Permata perlu menghadapi pedihnya gilapan sebelum muncul dalam gemerlapan. Beluncas perlu merodok kesempitan kepompong untuk membolehkannya terbang bebas. Untuk itu, kita tak seharusnya walah dek dugaan, Ira,” aku menggenggam jemarinya tulus. Betapa aku mengharapkan keinsafannya berputik saat semerbak pewangi badan menusuk hidungku.

“Sekuntum vinca yang cantik hanyalah untuk gadis ungu yang jelita”.

Ah! Terganggu fikiranku untuk terus murajaah hafazanku. Ruang ibadah masjid yang berhawa dingin terasa hangat membara. Entah bila lelaki Sweden berambut perang itu menyelit dalam khusyuk madah nasihatku. Kasihan Syakira, dia nampak teruja dek kedatangan Victor, aku kenal benar dari merah pipinya. Meskipun kedatangannya tadi seketika cuma, aku tahu Syakira sedang dilanda mabuk kasmaran.

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Ini terbukti. Dari zulmat jahiliah, baginda berjaya menerapkan dasar ketauhidan dalam segenap aspek kehidupan”.

Tazkirah Ustaz Muhaymien terngiang-ngiang.

Seawal pagi, Aunt Mary sudah membiarkan toko bunganya dikunjungi pelanggan. Masih berembun gamaknya, dan tubuhku mula dicucuri keringat.

Kami berputar menyeluruhi bandar Toronto. Singgah sebentar untuk membeli kopi panas di RestoToronto. Sempat jua aku membeli sekeping poskad untuk dikirimkan buat keluarga di kampung.

“Dah berapa lama kau sering keluar malam dengan Victor?”

“Adalah beberapa kali. Kami makan bersama. Victor katanya ingin memberikan kejutan kepadaku sempena Hari Kekasih. Oh, tak sabar rasanya!” Syakira mencubit pipiku ceria. Aku sekadar diam, bingung memikirkan apakah tindakan yang wajar kuambil.

“Valentine itukan paderi Kristian? Kalian Muslim, kalian tidak boleh menyambut perayaannya. Haram!”

Syakira dan aku saling berpandangan. Aunt Mary menarik kami masuk ke dalam kedainya. Dihulurkannya dua botol minuman isotonik.

“Kalian sedang mengkaji vinca bukan?”

Kami mengangguk dalam kehairanan.

“Lihat pohon vinca ini,” Aunt Mary membawa kami ke tengah kedainya. “Pohon ini pohon pertamaku di Mary’s Florist. Pohon yang mencambahkan minatku terhadap seri bunga-bungaan”.

Aunt Mary sentiasa berpagi-pagian di hadapan kedainya. Menabur bijirin buat merpati yang datang mencicip. Sesekali mengucapkan salam mesra buat mereka yang lalu-lalang di hadapan kedainya. Termasuklah aku yang kini sudah dikenalinya walaupun baru sekitar sepurnama aku di sini. Kehangatan kemesraannya mengingatkanku akan Ummi.

“Aku tak pernah terfikir pun hendak menjual pohon vinca ini. Pohon ini menyimpan banyak kenangan. Vinca inilah yang memperkenalkanku terhadap Uncle George kamu”.

Syakira terjeling-jeling ke bahagian dalam kedai. Ada pelbagai bunga dengan bermacam pakej. Jambangan, jambak mahupun sekuntum. Kebelakangan ini jualannya pasti bertambah laris, fikirku. Semacam Chocolate Hut di seberang jalan nun.

“Oh ya, di mana Uncle George?” aku tercari-cari.

“Dia hidup dengan aman sekarang. Sebelum pergi, sempat dia menghadiahkan kucupan mesra buatku. Memaknakan lagi seri vinca ini di hatiku”.

Uncle George sudah tiada rupanya. Semalam baru. Tenang pergi dalam lanjut usianya. Sememangnya kebelakangan ini dia kerap batuk-batuk dan mengadu sakit dada. Saban petang, aku memang kerap kali singgah di Mary’s Florist, kerana aku tahu Aunt Mary memerlukan aku untuk meluahkan rasa gusarnya akan keadaan kesihatan Uncle George. Alangkah sedih, dia sudah meninggalkan Aunt Mary.

Pintu kamarku diketuk bertalu-talu. Mataku digenyeh-genyeh tidak percaya saat melihat muka jam. Siapalah yang datang mengunjungiku pada malam-malam buta sebegini? Aku sedikit takut untuk membuka pintu sehinggalah satu suara pilu menyapa gegendang telingaku.

“Fadhilah! Fadhilah…”

Lama dia menangis semahu-mahunya dalam dakapanku. Teresak-esak. Hati wanitaku tersentuh. Hanya istighfar yang termampu kuluncurkan, diiringi gugusan nasihat buat menguatkan semangatnya.

“Istighfar Ira, ingat Allah. Jangan bersedih lagi, sesungguhnya Allah bersama kita,” aku mendodoikannya dengan alunan ayat al-Quran, tanpa menyedari yang air mataku turut mengalir sama.

“Rasulullahlah qudwah dan uswah hasanah buat kita semua. Peribadi baginda dihiasi pekerti mulia, sebagai panduan kepada kita tak kira selaku seorang remaja, lelaki, suami, pemimpin, bapa dan seorang Nabi”.

Seuntai mutiara akhir daripada tazkirah Ustaz Muhaymien mengingatkanku akan bicara mesra Aunt Mary yang amat menyuguh jiwa.

“Uncle George kamu telah mengajarku erti Islam. Suatu agama yang terbaik dan diredhai. Cinta kami dahulunya berputik dek vinca, namun pengakhiran bersama vinca itu membuatkannya lebih bermakna. Kalian tahu kenapa?”

Kami menggeleng.

“Dia mengajarku Islam melalui vinca. Islam, katanya lebih bermakna daripada pohon vincaku itu. Perlu lebih dipelihara, dijaga dan dibumbui cintaku. Sebagaimana aku memerlukan vinca itu sebagai pendorong motivasiku, sehebat itu aku memerlukan Islam, malahan lebih lagi”.

“Ibaratnya, akar tunjang pohon vinca itu seumpama persoalan iman yang menjadi asas dan dasar pegangan yang perlu dipasak kukuh, sekukuh akar vinca mencengkam tanah untuk terus berdiri. Dengan akar itulah air mampu diserap untuk vinca terus hidup”.

“Batangnya pula ibarat lima rukun Islam sebagai mana yang diberitahu Nabi dalam hadisnya. Tanpa dizahirkan amalan rukun Islam, sia-sia pohon vincaku. Hanya dalam akar, namun tidak layak dinamakan pokok. Dengan amalan itulah pohon vincaku merangkak teguh merintangi arus kehidupan, dibantu cengkaman utuh akar keimanan”.

“Lebih merimbunkan lagi pohon vincaku ialah rantingnya, seumpama tanggungjawab fardu kifayahku berhiaskan amalan-amalan sunat sebagaimana digariskan dalam sunnah Rasulullah. Dengan itu, bunga vinca yang terhasil adalah lebih banyak dan indah, seumpama terzahirnya akhlak dan keperibadian mulia dek segarnya pohon vincaku itu. Aku cintakan Islamku lebih dari segala-galanya, lebih lagi dari cintaku terhadap Uncle George dan pohon vincaku”.

Wajah masam mencuka pensyarahku akhirnya berganti ceria. Kami jadi gembira, lantas menjerit dan berpelukan di hadapan kelas sambil tepukan gemuruh menghiasi gamat dewan kuliah. Syukur, pembentangan kami berjalan lancar. Esok poskad yang kubeli akan kukirim ke tanah air untuk berkongsi pengalaman pertama ini, sekaligus mengirimkan salam Maulidur Rasul buat mereka.

Di sini barangkali tiada perarakan untuk menyambut Maulidur Rasul. Atau semeriah  sambutan yang dianjurkan raja Arbil di Iraq, Muzaffaruddin Abu Said selama tujuh hari tujuh malam suatu ketika dahulu dengan berhidangkan sejumlah besar makanan di samping pengisian rohani dan pembacaan sirah Rasulullah, guna mengembalikan semangat juang dan cintakan baginda.

Mereka telah berjaya – disebabkan sambutan itu – untuk bangkit dan mengalahkan Raja Mongul, Genghis Khan yang cuba menjajah mereka. Di sini tiada itu semua.

Namun aku cuba juga menghayati sirah baginda yang mulia. Buat membangkit semangatku di kala walah. Buat peniup semarak usahaku dek motivasi baginda.

Jua mengembalikan seri vinca yang pudar. Di sini.

Aku memandang Syakira yang anggun bertudung litup ungu. Setapak bermula, aku takkan berpaling ke belakang lagi. Mimpiku malam tadi menambah girangku; kelopak vinca yang bersepai dahulu mula memekar semula sedikit demi sedikit. Syukur kurafakkan lagi.

Oh ya, Victor ada mengirimkanku sekuntum vinca (lagi?) sempena hari ulang tahun kelahiranku yang jatuh betul-betul sehari sebelum Hari Kekasih. Ah, selepas apa yang dia lakukan terhadap Syakira, tegakah aku menerima dirinya? Anda tentu sependapat denganku. Lagipun, pohon vinca rimbun di Mary’s Florist telah mengingatkanku; carilah yang mencontohi keperibadian mulia Rasulullah; selawat dan salam buat baginda.

3 comments: