Tuesday, March 15, 2011

Cerpenku : Pelangi Ekawarna

Nukilan : Syuaib Supani
Loceng berdering lantang, tegas dan tepat pada waktunya. Mengepalai hingar-bingar dan bingit pelajar bertempiaran keluar dari kelas masing-masing. Alam mereka; alam yang dipenuhi riang ria. Apalah peduli mereka akan perkara-perkara lainnya, hatta gerimis yang renyai menyurai di tengah terik mentari? Aku berkejar ke bangsal sekolah. 

Gerimis tengah hari selalunya tidaklah terlalu lebat, bolehlah untuk aku redahi. Aku mendongakkan kepala menatap ufuk langit. Ada pelangi berwarna suram, barangkali suramnya dek hujan yang sedikit. Waktu mentari tegak sebegini, Abah kutahu tentunya masih di dusunnya. Kayuhanku dikuatkan dek denai yang melorong agak curam pendakiannya.  Estet Pak Min kulewati, barangkali dia sudah pulang dari menoreh. Getahnya getah berkualiti tinggi, dek penorehannya dikawal selia. Sistematik; setiap torehan sepanjang 4 inci, tak kurang dan tak lebih. Pemotongannya juga digilirkan mengikut hari, kira-kira tiga hari sebelum boleh ditoreh kembali. Lumayan pulangannya begitu membahagiakan, kulihat Pak Min sudah punya motosikal baharu.

Basikal tuaku masih belum berhenti sepenuhnya saat aku melompat turun dan bergegas menghampiri abah yang terkial-kial menahan kepingan zink yang hendak diikat pada batang pohon. Dahi abah basah, entahlah dek keringat yang mencucur atau gerimis yang mengucur. Adanya aku membantunya memegangkan zink itu, kerja ayah tambah mudah. Seutas dawai dililit, dan hujungnya ditemukan dan disimpul.

“Hah, dah siap pun. Harap-harapnya dapatlah merasa durian kau tu,” abah mencuit hidungku. Aku senyum simpul. Poket seluarku kuseluk, lalu menghulurkan slip ujian bulananku yang renyuk. “Abah, Angah dapat nombor dua dalam kelas”.

Abah mengerling dan senyum. Tangannya mencapai topi rumbia kumal yang dipakainya dan disangkutnya pada kepalaku. “Hujan tengah hari, nanti pening kepala,” ujarnya.

Perlahan abah menapak ke dangau. Aku hanya mengekori. Abah sempat menepuk bahuku semasa memakaikan topi itu tadi; aku tahu abah bangga. Dari jauh kelihatan adikku Firdaus terlonjak-lonjak melihat kedatanganku.

“Ye ye, Angah datang! Angah, tengok ni, Aus tangkap kupu-kupu. Cantik!”

Aku duduk di atas pangkin, lalu mendudukkan Aus di atas ribaku. “Kupu-kupu kuning. Kuning macam warna kat pelangi kan? Angah nak dengar cerita pelangi dengan bejana emas?”

Aku mengangguk, melayani keletahnya.


“Cikgu yang ceritakan masa kat tadika tadi. Kata cikgu, pada zaman dahulu, dipercayai bahawa di hujung pelangi ada tersimpan bejana penuh berisi emas. Maka ramailah yang menempuh pengembaraan untuk mencarinya, namun perlu berdepan pelbagai kesukaran”.

Sesekali Aus ralit dalam bercerita – mata bundarnya membulat jauh sambil jemari mulusnya menguliti ranting kayu yang dikutipnya. Entah jauh mindanya melayang, namun lidahnya tetap jua menuturkan ceritanya.

“Akhirnya pemuda itu berjaya mendapatkan bejana berisi emas itu sesudah berjaya mengalahkan makhluk yang menjaganya. Dia hidup bahagia dan gembira buat selama-lamanya. Semuanya bermula daripada pelangi yang indah”.

Cerita tentang pelangi itu mengingatkanku akan Zikry. Tentang keluhan dan rintihannya. Jiwanya, kusedar sedang menderita. Pelangi yang bererti kebahagiaan bagi sesetengah orang, siapa tahu mendatangkan kesedihan bagi yang lainnya?

“Papa dan mama dahulu berkahwin kerana pelangi,” aku asyik menyangkutkan hati ayam pada mata kail, sambil Zikry yang memerhati bercerita. “Mereka bertemu di Niagara, dalam keindahan air terjunnya yang saban waktu membiaskan jaluran pelangi yang cantik. Papa bijak memikat mama dengan pesona pelangi itu. Kau tahu kan air terjun Niagara?”

“He…” aku menggeleng sambil tersengih. 

“Biarlah,” Zikry terus bercerita dan bercerita selanjutnya. Tentang peristiwa zaman kecilnya. Tentang papa dan mamanya. Profesion dan kerjaya mereka. Juga mengenai tekanan yang dialaminya terhadap mereka.

“Aku kesunyian,” Zikry menyimpulkan. Ujarnya, dia membenci pelangi. Kerana pelangilah papa dan mamanya berkasih dan mengikat tali pertunangan. Kerana pelangilah dia lalu dilahirkan. Kerana pelangi jualah pula dia bagai disisihkan.

“Eh, jangan lari!” Aus lari mendapatkan kupu-kupu itu yang barangkali bosan bermain di jarinya. Aku tersedar. Kenangan sepetang bersama Zikry semalam galak menjengah. Aus yang asyik berlari-lari kuperhatikan lama. Sekejap-sekejap terloncat dan mendongak. Parang panjang kucapai, lalu mengikut abah mencantas lalang yang meninggi. “Kera banyak lagi kali ini, abah?” 

“Musim lepas habis hasil dibalun mereka. Sekali datang entah berapa puluh ekor. Yang putik, masak, mengkal; habis kesemuanya. Kali ni, Pak Udin yang cadangkan abah ikat zink tu pada batangnya. Baru nanti takut mereka nak memanjatnya,” abah menunjukkan jarinya ke arah pangkal pohon durian. “Kat pangkal pohon durian jangan dibersihkan semaknya, nanti mati pokoknya”.


“Oh,” aku mengangguk musykil. “Seronoklah kalau kali ni hasilnya banyak kan,” aku memandang buah durian kecil yang bergentayangan. Mindaku sibuk membayangkan panorama dusun yang pastinya berwarna-warni dek dipenuhi berjenis-jenis buah-buahan yang ditanam abah. Gembiranya abah, kerana warna-warni itu bakal mendatangkan sedikit pulangan. Sekira-kira meringankan sedikit tanggungan keluarga. Boleh pula dikongsi bersama tetangga. 

“Warna-warni yang mendatangkan pulangan. Macam kisah pelangi dan bejana emas yang Aus ceritakan tadi pula,” aku tersengih. Abah mengesat keringatnya, lalu duduk pada banir pohon. Seketika turut memandang putik durian, seketika memandang dada langit yang luas, namun agak terlindung dek rimbunnya pohon yang memayung. Cahaya matahari kelihatan nakal mencelah.

“Tengok, ada pelangi. Gerimis tadi punya pasal,” mendengar bicara abah, aku turut mendongak. Ah, pelangi tadi masih di situ. “Macam mana pelangi boleh terjadi?” abah mendugaku.

“Kata Cikgu Azhar, semasa hujan turun, titisan-titisan air telah bertindak seumpama prisma kaca yang menyerakkan warna putih yang dipancarkan oleh matahari kepada tujuh spektrum. Proses ini dinamakan pembiasan cahaya,” aku cuba mengingat-ingat apa yang dipelajari semasa di sekolah. Abah mengangguk-angguk.

“Lagi?”

Aku menyambung lagi, “Warna putih yang dipancarkan matahari sebenarnya terdiri daripada penyatuan tujuh warna. Semasa hujan, titisan airlah yang memisahkan warna-warna itu. Lalu terbentuklah pelangi”.

“Hidup kita yang penuh pancaroba ini, terbinanya daripada pelbagai spektrum juga, macam pelangi,” abah mula berfalsafah, seperti kebiasaannya. Semalam lama dia berbual dengan ibu mengenai pentingnya berfikiran positif dalam mendepani sesuatu cabaran. Kata abah, kita sering mengeluh dengan rumah yang bersepah, kasut yang berselerak, pinggan yang tak bercuci, dan lain-lainnya. Namun, kata abah, jika dipandang dari sisi positif, apakah yang dimaksudkan oleh semua itu? Maksudnya, orang-orang tersayang ada di samping kita dan ada bersama kita. 

“Letihnya menguruskan semua itu, tapi,” kias abah, “Cuba bayangkan situasi rumah yang bersih, kasut yang tersusun rapi; apa rasanya?”

“Bersih dan mendamaikan,” tingkah ibu, “Tapi jika difikirkan tadi, seolah-olah mereka semua tiada bersama kita,” hati ibu tersentuh. Lama ibu menangis dalam pangkuan abah. Aku tahu, abah ingin mendorong ibu agar sabar. Sempat abah mencadangkan ibu agar mengamalkan tasbih, seumpama canangan Sayyidina Ali kepada isterinya Fatimah.

Abah memandang pelangi yang mendada langit. “Segala daya dan usaha haruslah dasarnya dipasak pada agama – Islam. Tak kira keberanian semerah saga, keaktifan secerah jingga, kegembiraan bak kuning menyinga, ketenangan seperti hijau rimba, perpaduan dan keamanan biru dan nila serta kebijaksanaan seperti ungu yang melestari minda; hakikatnya warnanya adalah satu, iaitu putih. Putih iaitu kesucian iman dan agama sebagai tapak”.

“Allah anugerahi kita sebaik-baik agama yang diredhai-Nya. Bukankah kita dicipta untuk beribadah kepada-Nya? Jadi segala kegiatan harian, baik sebagai cikgu, petani atau menteri sekalipun, haruslah dijadikan ibadah Lillahi Taala dan berpandukan syariat dan penghayatan agama. Kan warna-warna pelangi itu hakikatnya putih?”


Kedai Runcit Pak Usu kusinggahi seperjalanan pulangku ke rumah. Aku menggagau poket. Ah, 50 sen wang belanjaku hari ini masih belum disentuh (aku gemar membawa bekal ke sekolah). Sedikit daripadanya akan kubelanjakan untuk menikmati keenakan aiskrim Melayu, manakala selebihnya akan kusimpan dalam tabung buluhku di bawah bantal.  Aku berkayuh perlahan, melalui jambatan kecil yang merintangi Parit Chengal.

“Eh, Zikry? Dah senja pun, kenapa masih di sini? Banyak ikan dapat?” Zikry menoleh ke arahku, kemudian kembali memusatkan pandangan ke arah parit. “Aku bukannya mengail,” ujarnya seakan berbisik. 

Aku datang merapati. Zikry masih baru dalam kampung ini. Datangnya baru sebulan dua, disebabkan keluarganya berpindah ke sini. Aku pernah mendengar ura-ura orang kampung bahawa kekayaan material keluarganya tak mampu diungkapkan kata-kata. Indah khabar dari rupakah? 

“Nak aku boncengkan kau pulang dengan basikalku?” aku menepuk dadanya, tidak ingin memanjangkan perbualan. Zikry memandangku. Diam membisu jua.

“Ikan kat parit itu banyak juga, lagi-lagi semasa musim hujan”.

“Ajaklah aku sekali kalau kau nak pergi mengail nanti,” Zikry seakan mengharap. 

“Okey, petang esok tunggu kat situ, nanti aku bawa joran. Kau boleh pakai aku punya. Biar aku pinjam satu lagi daripada Tok Penghulu,” aku mengangkat ibu jari kepada Zikry di belakangku. Terhenjut-henjut punggungnya dek denai yang kurang rata. Pecah-pecah sudah tarnya. Kebelakangan ini banyak lori berat yang keluar masuk kampung. Datangnya kosong, perginya sarat membawa muatan kelapa sawit bertandan-tandan.

“Aku dah beritahu papa, lori berat tak boleh masuk, nanti tar hancur. Papa endah tak endah saja,” tiba-tiba dia membuka bicara. Aku memasang telinga. Jarang sekali dia bersuara, Zikry kukenal pendiam betul. Di sekolah hanya bersendirian di suatu sudut dalam kelas. Dia nampaknya tidaklah ego, namun wajahnya mendung sentiasa.

“Jadi kelapa sawit itu dari ladang papa kamu?”

“Em,” kedengaran suaranya perlahan mengiyakan. “Ada berpuluh-puluh ekar ladangnya, sekarang kelapa sawit mahal, jadi papa berpindah ke sini, katanya nak tumpukan pada tanamannya”.

Zikry; rakan-rakanku memanggilnya semalu, dek sifatnya itu. Hadir yang tak diundang, pergi bagai dialu-alu. Macam padang kampung, sesekali semalu tumbuh merayap. Mencucuk tapak kaki kami yang gemar bermain bola dengan berkaki ayam. Akulah yang selalu mempertahankan Zikry, mujurlah mereka tidak bertindak balas. Barangkali kerana hormatkan abah yang sentiasa bang tepat waktunya lima kali sehari. Hormatkan abah, bilal madrasah kampungku. 

Terlongo aku setiba di teratak kediamannya. Perbezaan rumah kami melangit. Sedangkan tiang seri rumahku mulai reput dimakan anai-anai, gerbang pagar vilanya bergemerlapan berhias lampu yang cantik dan ukiran bermacam bentuk. Tak usah bilang pula pesona biru vilanya yang tersergam megah. Ada taman bunga terjaga rapi. Kolam renang dan pengawal peribadi. Aku menelan air liurku. Kalaulah orang  kampung tahu ada istana sebegini dalam ceruk ladang kelapa sawit yang luas ini. Kalaulah Pak Imam Aziz tahu, pasti muncung-muncung bibirnya menutur istighfar. Pasti hangat menjadi topik perbualan di warung kopi Haji Mahmud.

“Cantik bukan,” Zikry bersahaja. “Percayalah, kalau kau jadi aku, kau takkan mahu tinggal di dalamnya. Walau indah bagaikan pelangi, tak ada maknanya,” kata-katanya itu berterusan melayang-layang di fikiranku berhari-hari lamanya. Aku kaget, apa lagi yang akan diidamkan oleh orang kampung sekiranya mampu hidup semewah itu? Selain memudahkan kehidupan, boleh juga menginfak untuk madrasah. Dapatlah juga saham untuk akhirat.

Petang-petang sesudah hari Zikry memboncengku itulah kami mula menghabiskan masa bersama. Aku mengajar Zikry bagaimana hendak menyangkut umpan pada mata kail. Seterusnya, keliling kampung dia membuntutiku. Membantu Pak Min mengumpulkan susu getah, menghalau kambing Tok Alif pulang, mandi-manda di parit dan bermain bola di padang kampung. Kalau Bulat dan Deli menyakatnya, aku akan menjadi perisai menangkisnya. Pun begitu, dia lebih gemar meneliti dari mencuba. Pasif dari aktif.


“Zikry?”

Malam sudah larut dan Zikry tercegat pucat berpaut di birai jendela kamarku. Rumahku bukanlah rendah untuk dipanjati, justeru tentunya tersentak aku saat ketukannya yang bertalu-talu mengejutkanku dari lena.

“Kau kenapa?”

Zikry kubiarkan memanjat masuk. Tangan dan lengannya luka-luka. “Kau radak hutan belah timur ke sampai calar-calar sebegini?” Aku mencapai botol minyak gamat di atas para-para.

Zikry tersedu-sedan. “Papa marah. Dia pukul dengan pelepah kelapa sawit” .

“Tapi mengapa?”

Buku latihannya dihempaskan di atas katil. Pintu bilik tidur utama itu ditendang kasar. Mama dilihatnya teresak-esak sambil wajah papa merah padam bertegang urat.

Dia tidak lagi mampu bersabar.

“Papa! Mama! Hari-hari bertekak, Ayie nak siapkan kerja sekolah pun tak boleh!”

“Ayie, Ayie masuk bilik! Jangan ganggu urusan orang tua!” papa berang. Suaranya tinggi melangit, membuatkan Zikry tambah geram.

“Papa selalu sangat marah kat mama! Semuanya mama yang salah. Papa tu serba-serbi lengkapkah?!”

“Ayie, jangan cakap macam tu kat papa. Ayie tak faham. Biar kami berdua sahaja uruskan perkara ini,” mama cuba memujuknya, tersekat-sekat dalam esakan tangisnya. Akhirnya amarah papa menguasai. 

Simpatiku terasa mencucuk. “Kau tak patut juga tinggikan suara. Mereka kan papa dan mama kamu,” aku bersuara perlahan. Bukanlah aku berniat untuk memihak kepada papa dan mama Zikry, tetapi aku tahu Zikry beremosi orangnya. Barangkali zaman kanak-kanaknya yang dipenuhi lara dan kesunyian itu menjadikannya sebegitu. 

“Tidak, saya takkan pulang lagi”.

Zikry tegas dalam katanya. Abah diam sejenak, sambil menghirup kopi suamnya. Di meja makan itu kami berkongsi rasa – dia, aku dan abah. Seminggu lamanya dia membawa diri ke rumah kami. Membawa hati yang berduka. Kecewa.

Saban malam dia termenung panjang. Sesekali merintih dan menangis. Aku bingung juga, aku tahu orang yang hidupnya sebegini selalunya berjiwa kecil dan mudah tersentuh. Dia tak lagi ghairah mahu mengikutiku ke parit atau ke estet Pak Min. Jelas, jiwanya dibadai kecamuk.

Namun, semalam papa dan mamanya mampir. Lama mereka bicara dengan abah. Lama sekali borak mereka, dan ibu pun turut bersimpuh sama. Abah perlu bijak menyelami masalah mereka. Aku perasan yang Zikry sembunyi-sembunyi menyusup di balik dinding, barangkali cuba mencuri-curi dengar.

“Zikry benci pelangi ya?” Abah memecah sepi pagi. Zikry angguk, namun masih tunduk. “Pernah dengar cerita tentang pergaduhan antara warna?”

Geleng. Abah berdehem.

“Pernah dahulu warna-warna berkelahi antara mereka. Masing-masing mendakwa bahawa merekalah yang terbaik. Terpenting. Paling diminati,” sepotong ubi rebus dicapai abah. Dicicah gula lalu disua ke mulutnya.


“Kata Hijau; ‘Sudah terang lagi bersuluh yang akulah yang terpenting. Akulah lambang kehidupan dan harapan. Aku dipilih untuk mewarnai rerumput, pohon dan dedaun. Tanpaku, semua haiwan akan mati, dek rantai makanan hilang pengeluarnya. Lihatlah di pinggir bandar dan kamu akan dapati bahawa akulah majoritinya”.

“Biru pula meningkah, ujarnya, ‘Kamu hanya memikirkan daratan, tapi lihatlah pada langit dan samudera yang luas. Air merupakan asas kehidupan dan terhasil daripada awan yang terkondensasi dari lautan. Langit menghadirkan kelapangan dan keamanan. Tanpa keamananku, apalah kalian?”

“Kuning berdehem. ‘Kalian ni serius betul. Tengok, aku membawa ketawa, keriangan dan kehangatan kepada dunia. Matahari warnanya kuning, bintang pun kuning. Setiap kali kaulihat bunga matahari, seisi dunia mulai tersenyum. Tanpaku tiadalah kegirangan jua”.

“Jingga turut mencelah sama, ‘Aku, tak penting? Aku warna kesihatan dan kekuatan. Aku sangat berharga dalam membekalkan vitamin yang penting. Fikirkan tentang lobak, labu, oren, pauh dan betik. Aku tidaklah sentiasa hadir, namun saat aku mengisi indahnya langit saat fajar menyingsing dan terbenam, kalian pasti akan dilupakan”.

“Merah tidak lagi mampu menahan sabar. Dia berteriak, ‘Akulah pemerintah kalian. Aku darah, hidup itu asasnya darah! Aku warna amaran dan keberanian. Akulah yang akan melawan ketika perlu. Aku membawa api. Aku warna keghairahan dan cinta!”

“Ungu tegak berdiri, tinggi benar sehingga yang lain-lainnya kelihatan rendah. Dengan suara megah, dia menafikan hujah-hujah lainnya, ‘Akulah warna kesetiaan dan kekuasaan. Raja, ketua dan pemimpin sering memilihku kerana aku adalah simbol autoriti dan kebijaksanaan. Orang tidak mempersoalkan aku, mereka mendengar dan patuh”.

“Akhirnya nila bersuara, perlahan sekali namun penuh keazaman dan semangat, ‘Fikirkan aku. Aku warna kesunyian. Kalian sukar menyedari kehadiranku, tapi tanpaku kalian akan menjadi cetek. Aku mewakili pemikiran dan refleksi, kekaburan dan air yang dalam. Kalian memerlukanku untuk keseimbangan dan kontra, untuk ketenangan dalaman jua”.

“Mereka terus berkelahi, panas dan hangat membara hinggalah sekonyong-konyong langit tiba-tiba bertukar mendung. Kilat sabung-menyabung, guruh mengguntur, membuatkan warna-warna itu berdakapan gementar. Hujan mula merintik, dan bersuara penuh wibawa, ‘Kalian berkelahi sesama kalian, masing-masing mahu mendominasi. Tahukah kalian bahawa kalian tercipta istimewa dengan fungsi masing-masing yang unik dan berbeza? Hidup ini haruslah saling melengkapi. Mari, peganglah tangan antara kalian dan datanglah kepadaku”.

“Mereka melakukan seperti yang dipinta, dan hujan menambah lagi, ‘Bermula hari ini, setiap kali hujan turun, setiap dari kalian akan berpegangan tangan dan bersatu di langit dalam jaluran warna, sebagai peringatan bahawa kalian boleh hidup dalam kedamaian. Pelangilah simbol harapan untuk hari esok’. Justeru apabila sahaja hujan rahmat Illahi membasahi bumi, pelangi akan kembali membawa mesej itu”.

Abah merenung papa dan mama Zikry seusai ceritanya malam itu – cerita sama yang terhidang buat kami pagi ini. “Kita dicipta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Belajarlah menerima seadanya, dan bersyukurlah. Lengkapilah kalian suami isteri, bukan mengamalkan sikap menuding jari. Kalian bercinta dek pelangi, kutiplah ibrah daripada persefahaman warna dalam pelangi itu, macam cerita tadi”.

Mama Zikry kulihat menangis lagi, sambil dirangkul suaminya.

“Hebat pelangi ya, besar sungguh maknanya,” aku turut mengangguk, mengiyakan tuntas kata Zikry. Abah menutup ceritanya dengan menghabiskan sisa-sisa kopi di dalam cangkirnya. Lembutlah hatimu, aku berdoa dalam hatiku. Dia kelihatannya semakin tenang, dan banyak berfikir panjang – aku terpandang semacam sinar harapan.

Abah mengerling ke arah jam, dia perlu ke dusun. Sambil mencapai kunci motosikal, sempat abah menyusun konklusi.

“Hidup kita yang penuh pancaroba ini, terbinanya daripada pelbagai spektrum juga, macam pelangi,” ayat keramat abah dituturkan lagi. “Segala ujian dan dugaan yang perlu dihadapi, tak kira semacam merahnya amarah dan kebencian, jingga bak kesulitan permasalahan, kuningnya kecerewetan dan masalah yang remeh, hijau iaitu kurangnya pengalaman dan pengetahuan, biru dan nila kedinginan dan dendaman atau ungunya kesunyian, atau apa jua spektrum, hakikatnya mereka adalah terdiri daripada satu warna, iaitu putih yang suci dan bersih. Variasi warna yang menatijahkan satu warna – putih. Kenapa? Sebenarnya, Allah bertujuan menyucikan kita dengan ujian-ujian itu, agar kita tetap tabah dan mengadu kepada-Nya. Dengan itu, Allah akan menyayangi kita”.

“Macam Allah beritahu dalam al-Quran; ‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?’ Allah bermaksud menguji kita, sejauh mana pergantungan kita kepada-Nya agar hasilnya iman kita akan bertambah. Berdoalah kepada-Nya, dan jangan sekali-kali berputus asa”.

“Selamilah hati papa dan mamamu, mereka sebenarnya sayangkanmu. Dan mereka berusaha segenap daya untuk melakukan yang terbaik buatmu, percayalah”. Zikry angguk.

Petang itu lebat sekali hujan, mencurah-curah sehingga melimpah air dalam tempayan kami. Abah tersenyum lebar, mengenangkan anak pisang yang baru ditanamnya. Segarlah kalian menghirup anugerah-Nya, abah berdoa. Dari beranda rumah, aku dan abah menatap pelangi di dada jumantara. Terang sekali. Terbias sempurna. Meski tujuh spektrumnya begitu mempesona, aku tak lagi memandang enteng terhadap pelangi seperti sebelumnya. Bagiku, pelangi itu hakikatnya satu warnanya, ekawarna, iaitu putih yang suci. Menyimpan hikmah yang perlu bijak ditafsir, kerana maknanya pelbagai buat alam. Tak sabar kunanti hujan reda - nanti pasti Zikry akan menanti di parit dengan jorannya. Dengan senyum riangnya.

6 comments:

  1. i never disppntd after read ur post..",)
    congrt..!

    ReplyDelete
  2. anugerah yg Allah bg kat enta sangat bernilai..jaganya dengan baik..insyaAllah ..teruskan perjuangan!

    ReplyDelete
  3. semoga anta dapat teruskan cita2 anta hingga ke akhir hayat anta...gunakan sebaik mungkin kelebihan yg anta ada...insyaAllah ianya akn kekal...

    ReplyDelete
  4. proud to be ur ro0mate

    ReplyDelete
  5. sentiasa jaga ALLAH dan ALLAH pasti menjagamu.
    setiap ciptaan pasti ada hikmah dan cerita disebaliknya....teruslah terokai setiap keindahan itu......CHAIYOK!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete