Saturday, July 16, 2011

Anekdot Sang Pengembara (Sila Baca Menggunakan Mata Hati Anda)

بسم الله الرحمن الرحيم.

Ada cerita yang ingin kukisahkan. Sang pengembara. Tentang sang pengembara.

Bersama sahabatnya.

Jauh mereka kembara. Ada berbatu-batu jauhnya. Ada bertahun-tahun lamanya. Safar mereka tak henti hingga tiba di destinasi. Selagi menapak selagi menuju. Destinasinya hanya satu; untuk kembali ke desa halaman yang dirindui. Adakah tiba atau tersasar?

Terik terasa memencar. Bahang terasa mewalahkan. Rambut kian kusut. Hati tambah serabut. Bukan sepanjang masa badai gurun lalai beristirehat. Sesekali menggalak, habis tergerutu. Sesekali mengamuk, lintang pukang kaki berkematu. Iklim gurun terasa mencabar. Penat, lesu dan letih. Inikah cabaran? Ataukah bala yang memakan?

Akasnya, si sahabat tertawa. Tercuit. Si sahabat menepuk bahu. Merangkul erat. Ujarnya, udara gurun bukanlah yang ternikmat. Ada lagi yang lebih menyamankan, iaitu di desa. Destinasi bersama. Tempat kepulangan. Lamanya mereka kembara, sehingga lupa akan kondisi desa. Si sahabat setia meneguhkan. Sedangkan untuk pandangan tiba ke hujung sana, kita harus menggunakan mata - melihat - apatah lagi untuk tiba, kita harus mengerah segenap kudrat. Berkorban itu adat gurun, kerana panasnya menguji. Sukarnya menduga. Si sahabat membuka peta perjalanan. Ada titipan ikhlas dari sang empunya peta, berpesan agar tetap cekal dan tabah. Sang pengembara jadi kuat.

Ramai pengembara sangsi, lantas memakan diri.

Gurun itu dua wajah, bergantung kepada sepet mata pengembara yang menatap. Waima jalan menuju desa, atau di situlah desanya. Sang pengembara tertanya-tanya; aku orang desa atau orang gurun? Desa itu khabarnya mendamaikan, namun tak kurang juga gurun ini (dek terbiasa). Jalannya mula perlahan, ralit dan asyikkan pesona gurun. Bukit pasir sejauh mata memandang. Ada dada langit yang kosong. Warna jingga muda yang menenangkan. (Semuanya dek terbiasa). 

Akasnya, si sahabat tertawa. Tercuit. Si sahabat membuka peta perjalanan. Ada lorong dan denai menuju destinasi. Sang pengembara seakan asing akan peta. Akan desa jua. Hanya pernah didengari akan desa itu oleh sang pengembara, namun buta akan kondisinya. Si sahabat setia menceritakan. Bukitnya, langitnya dan warnanya jauh lebih indah. Ada hijau yang menyamankan. Sungai yang mengalir gemalai. Bayu berpuput bernyanyi melambai. Sang pengembara terpesona. Katanya, bimbinglah aku ke sana! Si sahabat senyum kalbunya; mengapa tidak? Kerana peta inilah yang sepatutnya kita jadikan panduan, bukanlah berlegar di gurun gersang. Sang pengembara terharu.

Ramai pengembara sepi, lantas terpencil diri.

Kelana dilalui terasa lama. Lantas pengembara mula terlupakan destinasi - desa yang mendamaikan. Pengembara mula dimabuki fatamorgana. Oh, air! Oh, air! Satu-satu wadi dilewati, namun setibanya lantas mengecewakan. Hanya permainan mata. Pengembara terus mencari. Tekak kian menjerit, perut galak meminta. Pengembara hampir putus asa.

Akasnya, si sahabat tersenyum. Menunjukkan kembali peta perjalanan. Ada wadi sebenar tertera di atasnya. Hanya beberapa langkah di hadapan. Oh, mata pengembara dirabuni kabut badai gurun. Si pengembara sedar, lalu merangkul si sahabat. Erat. Mesra. Menghargai.

Ah, si sahabat betul-betul memahami. Kenapa?

Jawab sahabat; aku percaya kepada peta perjalanan ini. Tuannya telah menitipkannya khas untuk perjalanan kita. Pesannya; kalian harus saling bantu-membantu. Sokong-menyokong. Ingat-memperingati.

Biar selamat tiba di desa. Biar tiba!

Lantas, serta-merta wadi terasa mendamaikan. Sang pengembara terusik jiwanya, lalu ghairah menyelongkar segala khazanah wadi. Mempersiapkan perbekalan secukupnya. Tentunya, ditemani sahabatnya sepanjang masa. Mereka jadi rapat. Seerat aur dan tebing, malah lebih lagi. Si sahabat mengajarnya tentang peta perjalanan. Bagaimana memahaminya, menghayatinya. 


Masa telah tiba. Mereka harus menyambung kelana. Meninggalkan wadi perbekalan. Namun situasi telah berbeza. Sang pengembara meletakkan sepenuh keyakinan terhadap petanya. Sang pengembara memulakan kembali perjalanannya dengan bekal secukupnya. Sang pengembara telah tertaut erat hatinya dengan sahabatnya.

Kelana bermula lagi. Sehingga tiba di wadi lagi. Sehingga ke destinasi yang pasti - desa halaman.

Dan sang pengembara sedar, andai perjalanannya bersendirian, sudah lama dia akan tersesat jalan. Dia akan sendirian. Dia akan terpengaruh dek kepura-puraan gurun. Dan dia takkan tiba di destinasinya.

Dan dia sedar, tanpa wadi itu, dia takkan mampu terus berjalan. Pasti dahaga akan menyucuk. Pasti lesu akan menusuk. Syukur, sempat dia melakukan persediaan secukupnya di situ.

Sang pengembara memandang tepat ke arah mata sahabatnya, seraya lubuk hatinya berseru;

'Uhibbuka Fillah, sahabatku. Terima kasih. Dan andai laluanku tersasar dari menuju ke desa, kauperbetulkanlah aku kembali. Dan tolong jangan tinggalkan aku. Kerana aku sangat menyayangimu Lillahi Taala'.

Nota:

Elemen-elemen ini adalah perlambangan.

Gurun : kehidupan dunia
Sang pengembara : kita
Si sahabat : sahabat kita Lillahi Taala
Badai gurun : ujian di dunia
Desa : syurga Allah Azzawajalla
Peta panduan : al-Quran al-Karim

dan

Wadi : Bulan Ramadhan al-Mubarak, tempat kita mempersiapkan segala perbekalan.

Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. (Al-Baqarah 2:197)

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2:183)

Sesungguhnya setiap orang-orang yang beriman itu bersaudara. (Al-Hujurat 49:10)

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya). (Al-Jaathiyah 45:20)

ALANGKAH INDAHNYA RAMADHAN, LEBIH-LEBIH LAGI BERSAMAMU SAHABAT!

1 comment:

  1. slm ziarah..syabas akhi, trus majukan diri nta..

    ReplyDelete