Monday, November 28, 2011

Medan Gelombang Hati [ AMIns - Anekdot Motivasi dan Inspirasi ]


Buku kehidupan - selak seketika beberapa halaman ke belakang. Tinggal sebentar alam pravarsiti untuk dilakar mengisi halaman semasa. Tinggal sebentar serabut dunia yang mencengkam hati dari tenang berbicara dengan Tuan hati yang dirindui. Tinggal sebentar halaman kehidupan semasa yang kusam.

Sedetik terhenti pada beberapa halaman sebelum. Halaman tercoret indah dan kemas, meskipun ada sedikit jua carik-carik di beberapa tempat.

Halaman biah tarbiah. Biah Qurani.



“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabat-Nya dalam kalangan manusia". 

"Siapakah mereka duhai Rasulullah?" para Sahabat kepingin mengetahui.

"Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihan-Nya".  Benar amat sabda Junjungan, rahmat sekalian alam.

Titik tumpahnya tinta dakwat ke permukaan halaman bab ini dalam buku kehidupan masih lagi jelas tanpa kekaburan. Bukanlah semua hati dalam kerelaan. Keikhlasan mahupun kesedaran. 

Di sana ada hasrat ibu bapa tinggi menggunung. Ada doa yang tak putus mengiringi. Di sana jua ada murabbi yang menadah tapak tangan menerima amanah didikan permata Allah daripada ibu bapa. Dua hati ikhlas saling bergantung harapan mardhatillah.

Dua hati ikhlas saling bergantung harapan mardhatillah. Di medan magnet ini hati-hati itu memancarkan gelombang. Merambat ke setiap ceruk medan,

GELOMBANG ITU MENEMBUSI HATI WARGA QURANINYA.

Solat fardhu berjemaah dengan 27 gandaan? Kenapa tidak, kekhusyukan seorang ahli jemaah menghasilkan gelombang, mampu menembusi 27 hati para jemaah di sekelilingnya dengan membawa kekhusyukan.

Ya, dengan gelombang yang dipancarkan itu menembusi hati jemaah lain dan memupuk rasa khusyuk dalam ibadah. Segala puji bagi Allah!

Lantaran itulah di medan Qurani, gelombang ini di mana-mana. Dek kuatnya gelombang yang terpancar dari hati ibu bapa yang mengharap. Dek kuatnya gelombang yang terpancar dari hati para murabbi yang ikhlas mendidik.

Gelombang yang melembutkan hati warga Qurani di medan ini untuk terus istiqamah dalam kelazatan berbicara dengan Allah. Kelunakan kalimah Kalam Tuhan.

Biah Qurani terhasil, dari gelombang itu.

Dengan itu justeru segalanya - dengan rahmat Allah, syukur - dipermudahkan. Waima kehidupan mahupun prestasi pelajaran. Kecekapan minda mahupun jasadnya.

Bersyukurlah dengan kesempatan berada dalam medan gelombang itu, sahabat Huffaz!


Halaman lama diselak lagi. Membangkitkan memori, seakan-akan boleh terasa gelombang itu dipancarkan dari halaman lama, menembusi hati. Menyentuh kembali hati, yang dahulunya diamanahkan keluar dari medan, bagi menyebarkan rambatan gelombang ini dari hati ke hati-hati masyarakat. Agar turut sama tersentuh hati mereka untuk mengadu bicara kepada Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Penyayang.

Dari hati jatuh ke hati? Keikhlasan hati tunjang kejayaan dakwah? Ya, sang hati akan memancarkan gelombang, merambat menusuk hati mad'u. Dakwah bermatlamat material, bagaimanalah gelombang yang dipancarkan ya?

Halaman lama diselak lagi. Membangkitkan memori, seakan-akan boleh terasa gelombang itu dipancarkan dari halaman lama, menembusi hati. Menyentuh kembali hati yang merindukan medan pemancar gelombang.

Tiba-tiba hati beransur tenang. Hilang gelisah resah.

Sahabat, Yang Maha Membolak-balikkan Hati telah menghantar medium sumber gelombang kepada insan. Bacalah Kalam-Nya, rasailah pancaran gelombang dari huruf demi huruf, kalimah demi kalimah yang akan merambat menenangkan hati yang gundah. 'Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia' (Surah al-Ra'd 12 : 28). Mengapa tidak, kita pancarkan pula gelombang itu kepada hati-hati di sekeliling kita?

Mari sama-sama kita wujudkan medan gelombang itu di bumi Allah. Amin!

"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran itu ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua". (Surah al-Israa' 17 : 82)

Rindukan medan gelombang hati itu.


3 comments:

  1. bnar,biah yg amt meneangkan hati..pasti akn drindui oleh para abid yg prnah mnjengah bumi barakah ini..siapa tidak merindukn ktnangan?

    ReplyDelete
  2. alhmdulillah.diberi peluang menjejak kaki di tanah ini,,diberi peluang dan shgga skrg terus diberi peluang..nikmat yg bkn semua org dpt.

    ReplyDelete
  3. aq brtpk masuk dgn paksaan..aq brtpk kluar juge dgn paksaan..walaupun hati ini terase sngt berat utk mningglkn bumi yg bagiku tdk prnh pnt mngjrku erti khidupn sbnr..Alhamdulillah ALLAH tlh mmberi aq pluang utk mrasi ktenangn itu..

    ReplyDelete