Sunday, November 6, 2011

Cerpenku : Mizan Emas

Nukilan : Syuaib Supani


Pagiku gesa-gesa, walhal suria tenang berkongsi habanya buat kesejahteraan alam. Waktu Dhuha menyapa bagaikan aku tak terpanggil sama. Tangan pada tali pinggang Levi's. Kemeja T belang-belang. Baju panas putih disingsing lengan. Semerbak Brave mengharum.

Peluang sekali harus direbut, gumamku. Digagau dicapai disemat erat. Hati bunga-bunga teruja.

"Sahabat, anta sudah menuturkan hamdalah kerana pagi masih sempat disapa, bukan?" mesej bertandang ke telefon bimbit. Wafi. Sehidup semati di hati. Pagi-pagiku takkan sunyi daripada titipan daripadanya. Tazkirah, pesanan dan ibrah pun. Aku senyum, senang. Jari menaip, membalas cuitan pagi.

"Sahabat, ana ada sedikit urusan di Shah Alam. Doakan moga dipermudahkan".

Dengan itu, aku melangkah keluar. Entah kaki kiri atau kaki kanan yang mendahului, dalam masa hatiku belum lekang daripada mesej balasan daripadanya. Pun begitu, langkah pagi tetap kuatur dalam ceria. Girang, dan siapa tahu aku bakal menangis di akhir hari. Mungkinkah?


"Ya, mungkin," naqibku Abang Qushairi memintas pantas. Aku diam kelu. Amirul, Apis dan Bahar juga. Mata berbalas pandang.

"Logo FIFA pada Jabulani tak sentiasa di atas, bukan?"


"Putaran kehidupan sentiasa dinamik. Ujian datang dan pergi. Kalau iman terus turun dan turun, alangkah malangnya kita sebagai hamba," Abang menyambung. "Kalau macam tu, kasihanlah kepada orang yang diuji, lalu imannya berkurang. Semacam ujian itu menjadi penyebab berkurangnya iman," aku musykil.

"Kena betulkan sedikit. Ujian itu jadi penanda aras bagi iman. Iman yang kuat sahajalah yang mampu berdepan ujian. Tanpa ujian, tiada siapa boleh mendabik dada bahawa dia beriman. Seorang tentera belum layak dipanggil pahlawan selagi belum menjejakkan kaki di medan juang".

Tren komuter tiba sejurus tamat pengumuman bergema-gema. Oh, padatnya hari ini. Masing-masing membimbit poster bergambar dan alat-alat sorak. Oh, sehadaf rupanya!

"Ramai yang apabila diuji, mereka semakin dekat dengan-Nya. Rasa taqarrub membuak-buak. Lihat, luas dan indahnya rahmat Allah. Mereka jadinya memperbanyak zikir dan ibadah, dek memohon agar diberikan hati yang teguh dalam mendepani ujian. Mereka berlari kepada Allah selangkah, lantas Allah berlari kepada mereka sepuluh langkah. Masing-masing memaut kasih dan cinta. Dek ibadah adalah berkasih-kasihan dengan Rabbul Jalil, kata pakar psikologi Islam; Ibnu Qayyim al-Jauziyyah," Abang Qushairi menyambung.

I-City; mahu tak mahu, aku menghimpit masuk ke dalam komuter.



"Dan mizan, Abang bagi misal, terbinanya atas konsep imbangan bukan? Pada asasnya, daya tarikan graviti pada kedua-dua belah lengannya adalah sama bukan? W=mg, iaitu berat bersamaan hasil darab jisim dan tarikan graviti. Dengan berpadunya kedua-dua jisim dan graviti ini, mizan akan seimbang, kecuali nilai pada salah satu lengan berbeza. Wah, ni boleh ganti Stephen Hawking".

Kami ketawa. Abang hanya senyum.

"Ketidakseimbangan itu hanya akan wujud jika salah satu lengan berubah beratnya. Dek berat dipengaruhi jisim dan graviti, perubahan jisim pasti mengubah. Boleh antum bayangkan Bahar di sebelah kanan dan Apis di kirinya?" Abang kenyit mata.

Kami ketawa lagi. Dan Abang tetap hanya senyum. Kami cuba tahan bahak dan sekadar menyimpulkan senyum.

"Kehidupan, realitinya lengan kanan tak selamanya memberati. Faktor sekeliling juga kerap hadir menyuntik berat, menambah jisim. Lengan kanan mahupun lengan kiri. Dek itu perlunya sentiasa kita beratkan mizan pada lengan yang betul".


"Abang, tolonglah saya," lengan bajuku ditarik-tarik perlahan. Aku berpaling, sambil imbauan halaqah hati kami dinihari tadi terhalau pergi. Ada pemuda mengenakan pakaian ranggi, berwajah mendung.

"Kenapa?"

"Saya tak tahu nak jawab macam mana. Dengan saya sekali takut jadi goyah". Masalah apakah ini? Aku membuntutinya ke tempat duduknya. Berasak-asak. Ada pemuda, barangkali temannya menanti di hujung koc.

Aku diaju persoalan. Aku ditagih jawapan. Dan aku dikelukan kejutan.

"Tuhan beri akal, tetapi mengapa kita dilarang mengenali-Nya menggunakan akal?"

Aku diam. Cuba berlagak tenang, namun mindaku bercempera bertempiaran. Mencari sisa-sisa memori yang tinggal. Pemuda ini, mengapa dia memilihku untuk membantunya?

"Betulkah begitu?" aku cuba membalas persoalan. Dia angguk, katanya, "Pernah dengar kata-kata 'Berfikirlah tentang ciptaan Allah, dan jangan sekali-kali berfikir tentang zat Allah'?"

Hatiku tak lekang memanjatkan harapan. Biar dikilaskan walau sekelumit ilham. Acap sudah sebenarnya kata-kata itu menjengah hidupku, tak dilupai saat aku menyertai program mukhayyam tahunan di sekolah dahulu. Oh, hakikatnya aku hanya terpaksa ketika itu. Aduhai, alangkah menyesalnya!

Tuhan Maha Kaya. Aku benar-benar terhutang budi; Dia membantuku. Benar, ternyata dakwah bukanlah satu pilihan bagi seorang muslim. Keperluan untuk berdakwah adakalanya datang tanpa dipinta, lantas tak sepatutnya kita mengundur diri saat itu. Muhasabah, sudah penuhkah bekas bekal persediaan dakwah kita?

"Adik, apa namamu?" aku bertanyakan empunya soalan. Sang pemuda menyapu-nyapu bahu bajunya, menjawab, "Joe". Aku menunjukkan telefon pintarku.


"Dengan apakah telefon ini berfungsi?" aku menduga.

"Bateri?"

"Ya, lalu bagaimana bateri membuatkannya berfungsi?"

"Dengan menghasilkan arus elektrik sebagai sumber kuasa telefon, jadi?" dia masih tidak mahu mengalah.

"Bagaimana rupa arus elektrik itu, cuba beritahu abang?"

Ternyata, (syukur kepada Tuhan) dia terpukul. Kebisuan lisan bertukar perumah. Lama, lambat-lambat dia menjawab kemudiannya, "Semacam percikan api barangkali..."

Aku mengukir senyuman redup. "Bagaimana jika hakikatnya rupa sebenarnya jauh lebih cantik? Andai elektrik itu hidup, silap-silap dia akan berang mengetahui dirinya dirupakan seburuk itu. Analogi ini mungkin kurang sesuai, namun ibrahnya, lihat; akal kita sedemikian terbatas sehingga sesuatu yang melingkungi kehidupan seharian kita pun tak mampu kita ketahui rupanya. Bahkan lagi Allah Sang Pencipta. Daif amat akal kita untuk mengetahui rupa zat-Nya. Dengan membayangkan zat-Nya dengan sesuatu rupa, kita boleh jatuh syirik kerana menyamakan rupa zat-Nya dengan makhluk. Dapat tak?"

Angguk. "Justeru mengapa adanya anjuran 'Berfikirlah tentang ciptaan Allah' itu?"

"Menggunakan akal yang dianugerahkan sebaik-baiknya, tentunya menurut landasan syarak. Ada ayat al-Quran dalam Surah Aali Imran mengatakan, 'Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka'".

"Lihat contoh figura Dr. Danial Zainal Abidin, Dr. Jamnul Azhar Mulkan, Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Oktar, lihat juga Abdul Majeed al-Zindani, pengasas Suruhanjaya Ayat-ayat Saintifik dalam al-Quran dan al-Sunnah di Arab Saudi. Mereka membuat kajian-kajian saintifik dan membuktikan kebenaran wahyu dengannya. Sains dengan nilai tauhidik. Sains untuk menguatkan keimanan kepada Tuhan, bukanlah bertuhankan Sains. Tambahan, dengan anjuran tadilah Dr. Maurice Buccaille, seorang doktor Perancis memeluk Islam dan menghasilkan buku 'Bible, al-Quran dan Sains'," pantas sahaja aku berkata-kata, tanpa menyedari pemuda yang memanggilku tadi terpinga-pinga. Aku tersedar kemudiannya, aku berada dalam masyarakat awam, bukanlah bersama sahabatku dalam biah akademik dan Islamiah saat pengajianku. 

"Em..maaf kata-kata abang terlalu tinggi..." aku cuba memohon maaf, namun di luar sangkaanku Joe memotong, "Apa yang diceritakan dalam buku itu?"

"Em.. Tentang kehebatan dan kebenaran al-Quran sebagai wahyu Tuhan yang terbukti dengan penemuan sains, sedangkan tidak Bible. Bible punya banyak percanggahan dan ketidaktulenan".

"Tuhan menurunkan Bible dengan begitu sekali keadaannya?"

Aku terdiam mendengar ayat panas dan pantasnya. Tren komuter bergerak laju mengejar destinasi. Sayup-sayup meluncur, bagaikan mencuitku kembali kepada kisah pengalaman guruku.

"Apakah saiz kasutmu, sewaktu kecilmu?" sahabat guruku mengajukan persoalan kepada sang penanya. Dek dia sukar menerima dalil naqli, mahu tak mahu mereka perlu menggunakan pendekatan aqli.

"Saiz kasut kita sentiasa membesar sejak kecil dek membesarnya kaki kita, namun saat 20-an? Ya, saiz itu kekal hingga saat kematian kita. Demikian al-Quran, hadirnya melengkapi yang terdahulu, kekal relevan hingga hari kiamat".

Ya, ujaran itu kuutarakan buat Joe, terima kasih guruku kerana berkongsi pengalamanmu! Ah, hati, sebelum ini kau jarang mensyukuri, namun saat memerlukan?

"Jadi Bible telah diubah oleh paderi, begitu?"

Aku mengiyakan kata-katanya. "Inilah yang berlaku apabila pertimbangan mizan diberati oleh nafsu. Dek bisikan syaitan, manusia mudah lemah melainkan yang teguh imannya".

"Mizan?"

"Neraca timbangan. Seharusnya yang lebih berat adalah keimanan daripada nafsu. Untuk itu, Allah dengan kasih-Nya menurunkan kalam-Nya; al-Quran dan utusan-Nya; Muhammad Rasulullah untuk memberati dengannya lengan keimanan, guna sebagai panduan kehidupan".

"Kalau begitu, mengapa adanya Sifat 20 yang wajib bagi Allah? Bukankah 20 sifat itu semuanya berpandukan akal?"

"Stesen Batu Tiga. Batu Tiga". Aku tersentak dengan kedua-duanya; soalan Joe dan pengumuman konduktor komuter. Ya, Batu Tiga dan aku akan menaiki bas atau teksi ke I-City. Hari ini 24 Julai, dan band kegemaranku menanti di CityPark.

Ataukah pemuda ini dan Joe?

Mizanku menimbang. Sekonyong-konyong kisah sang Imam mendatangi memori.

Hari hujan. Lebat sekali, dan sang imam mempertimbangkan untuk keluar mengedarkan risalah dakwah bersama anak kecilnya sebagaimana kebiasaannya. Imam walah, namun membiarkan anak kecilnya yang berkeras untuk pergi.

Ah, tumpah tempias iman itu pada anaknya!

Dari rumah ke rumah, si anak kecil pergi dan pergi. Mengedarkan risalah agama dan mendoakan kebaikan penghuni rumah. Oh, ada teratak kecil lama di hujung kampung. Si kecil mengetuk-ngetuk pintu. Lama menunggu, tak walah juga. Ketuk dan ketuk lagi.

Akhirnya keluar seorang wanita tua. Lesi pada wajahnya. Si anak kecil senyum, menghulurkan risalah agama dan mengucapkan kata-kata mulia. Bahawa Tuhan menyayanginya. Tuhan merahmatinya. Tuhan inginkan kehidupan kembali kepada-Nya.

Sungguh indah, wanita itulah yang mengakui ke-Islamannya selepas itu di masjid kepada sang Imam, hanya kerana hadirnya si anak kecil mengembalikan semangat hidupnya. Hanya si anak kecil, menjadi penyebab hidayah saat hampirnya wanita itu membunuh diri dek keputusasaan dan kehidupan. Imam menangis sebak, alangkah pada hari hujan itu mewalahkan semangat dakwahnya, dan hampir sahaja seorang insan terjerumus ke jurang neraka.


"Dalam soal tauhid, pendekatan kita dengan ahli falsafah ada bezanya," aku memulakan kembali bicara. Stesen Batu Tiga berlalu sepantas pawana. "Kita tak bertuhankan akal, dan hadaf penggunaan akal dalam tauhid adalah untuk menangkis serangan orientalis".

Dan selepas itu Joe dan pemuda itu hanya tekun mendengar. Menghadam.

"Abang bagi contoh. Sang orientalis berhujah, katanya dunia ini terjadi dengan sendirinya. Semulajadi. Dipelopori hebat juga oleh Darwin dan mereka yang sependapat dengannya. Masyhur, antaranya teori evolusi manusia daripada beruk. Banyak sekali ilmuwan Islam berjaya membuktikan kesalahan teori ini, syukur. Namun dalam aspek tauhid, pernyataan ini jelas menafikan kewujudan dan peranan Tuhan sebagai Tuan dan Pencipta alam".

I-City kutangkis jauh-jauh. Mizanku memutuskan dengan baik. Kukorbankan pujuk rayu nafsu, meski peluang hadir hanya sekali. Demi akidah dua pemuda-pemuda ini. Syukur, aku diilhamkan Tuhan sedikit jawapan untuk mereka. Syukur amat!

"Mereka mengatakan alam ini terjadi dengan ciptaan Tuhan adalah mustahil. Mengapa? Dek alam terdiri daripada jirim. Mereka mengatakan sesuatu yang bukan jirim adalah mustahil wujud menurut akal. Bahkan, pemikiran itulah yang bercanggahan dengan akal! Bagaimana?"


"Ambil mizan lagi sebagai contoh. Bayangkan kedua-duanya menimbang sesuatu yang sama berat. Dua ketul batu yang sama di kedua-dua lengan. Bagaimanakah rupa lengan mizan?"

"Tegak, stabil," si pemuda menyahut. Joe sekadar angguk.

"Logikkah kalau tiba-tiba salah satu lengan memberat ke bawah, tanpa ada sebarang sebab? Tiada tangan yang menekan, tiada pemberat yang ditambah, tiada perubahan terhadap mizan dan batu..."

Gelengan mereka menenangkan hatiku. Bahawa mereka dapat menangkap maksudku, akan andaian itu. Justeru tergantinya dua batu itu dengan 'ada' dan 'tiada'nya alam, akal tidak akan mampu menggambarkan memberatnya 'ada' tanpa penyebab; Allah Azzawajalla. 

Seumpama mizan itulah kehidupan. Andai salah menimbang ternyata mencelakakan. Andai tak tetap pendirian bimbang menyesatkan. Dalam kehidupan, betapa mizan perlu menimbang dengan betul dan berpandu. Betapa mizan perlu teguh; iman dan akidah yang kukuh dan utuh.

Mizan menimbang; antara melakukan dosa dan pahala. Antara nafsu dan iman. Antara awlawiyyat dan akasnya.

Mizan utuh; sebagai landasan dalam kehidupan fana. Tak teguh dek anasir luar dan negatif. Sangat berharga dalam kehidupan, tanpanya adalah kesia-siaan. Semacam emas, Aurum, unsur alam yang sangat utuh. Kadar ketidakreaktifan yang sangat tinggi. Air mahupun udara, tak betah mempengaruhi. Juga nilainya semahal kepentingannya.

Mizan emas. 

Pesanan Wafi menjengah, menasihatiku agar kekal menatang mizan emasku. Dia cerat mengenaliku, akan mudahnya luluhku kepada persekitaran. Akan perlunya hatiku terhadap sokongan.

Perginya Joe dan pemuda itu seumpama misteri. Sekonyong-konyong. Sempat kutanyakan Joe, "Apakah nama penuhmu?"

"Zulfikri".

"Empunya fikiran. Biarlah jelas dipandu wahyu, ya?" saat pesanku itu mereka berlalu pergi, bagaikan misteri. Saat itulah aku tergamam, dia empunya namaku! 

Biasan imej dirikukah?


Aku teringatkan mesej Wafi pagi tadi yang belum sempat terbalas. Jari yakin menaip, "Alhamdulillah, Allah bukakan hatiku. Aku perlu menangguk lagi. Simpankan tempat untukku di Baitul Qurro'!" Aku mengukir senyuman syukur, dalam hati berbaur sebak.

Kredit : Pondok Baitul Qurro' wal Fuqoha', Sungai Udang, Melaka.

1 comment:

  1. salam.nice post.

    besarlah harapan saya untuk admin blog ini supaya me'link'kan blog saya pada blog ini.cukuplah sekadar pautan itu.dan saya sendiri pun sudah linkkan blog ini di dalam blog saya.

    moga sama2 dpt kongsi ilmu utk menegakkan Islam dan meneruskan hunusan pena2 dakwah.

    apa2 pun semuanya tertakluk kepada admin blog ini sama ada handak bersetuju dgn perkongsian ini atau tidak.

    sama2 dpt manfaat.

    boleh lawati saya di

    http://nuruddinazrizulkifli.blogspot.com/

    ReplyDelete