Monday, March 29, 2010

Dua Perkara dalam Gemersik Ulang Tahun Kelahiranku


Hari ini, tetap dengan gemersiknya seumpama hari yang sama tahun-tahun lepas.

Apa ada pada ulang tahun kelahiran? Di sesetengah negara, ulang tahun kelahiran tidak disambut dan sambutannya dianggap sesuatu yang mengaibkan. Namun ada negara yang masyarakatnya menyambutnya dengan harmoni dan meriah. Jamuan dan majlis diadakan di rumah-rumah, di restoran, di kafe, hatta jika pada hari itu anda ke mana-mana dan memberitahu "Hey, today is my birthday" seluruh orang di sekelilingmu yang mendengarnya pasti akan meluncurkan kata-kata "Well, congratulation!" dan anda akan diraikan.

Muhasabah

Apa ada pada ulang tahun kelahiran?

Ada dua perkara penting :
1- anda bersyukur kerana masih diberi peluang menikmati anugerah Allah dan berbakti kepada-Nya.
Ini soal MANIFESTASI SYUKUR.

Anda, SEMOGA PANJANG UMUR.

2- kelihatannya umur anda bertambah, hakikatnya umur anda semakin berkurangan dan anda sedang dihampiri mati !
Ini soal IBADAH dan BAKTI. Ini soal BEKAL.

Anda, SELAMAT PENDEK UMUR.

Apa yang telah kita lakukan sebagai manifestasi syukur?
Apa yang telah kita lakukan dalam ibadah dan bakti bagi mengisi bekal?

Sungguh, diriku hanya sang musafir kelana di bumi-Nya.
Diamanahkan sebagai hamba. Diamanahkan sebagai khalifah.

Sungguh, aku telah terlalai!

Manifestasi Syukur


Acap kali lisan kita begitu mudah menutur kalimah syukur. Ya, itu salah satu manifestasi syukur kepada al-Khalik. Kita diajar supaya bertahmid. Alhamdulillah.

Andaikan anda mempunyai seorang sahabat karib. Dia membawa anda ke restoran makanan ternama yang makanannya sangat berharga. Dia membelanja anda makan.

Apa yang anda imbalkan? Bayangkan situasinya jika anda ucapkan,

"Terima kasih sahabat"

dan pada masa yang sama anda menumbuknya dan melemparkan kata-kata keji.

Dan sahabat anda tetap tersenyum, alangkah penyabarnya. Dia tetap jua membelanja anda dengan makanan yang lebih mahal.

Apa respon anda?

"Terima kasih sahabat"

dan anda...

Allah beri kita pelbagai anugerah. "Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya". Tidak terhitung!

Apa yang kita imbalkan? Sekadar menuturkan "Alhamdulillah" lantas mengingkari arahan-Nya? Melakukan maksiat dan dosa terhadap-Nya? Menghina syariat-Nya? Mengabaikan kewajipan terhadap-Nya?

Adakah kita benar-benar memaksudkan syukur itu?

Alangkah lancarnya lidah kita berdusta.

Sheikh Muhammad Abduh membuat takrif syukur sebagai berikut : 
Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan.

Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan, hati, dan anggota badan.

Kekalkan baik sangka terhadap Allah s.w.t dan letakkan keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. 

Ucapkan tahmid dan ajaklah sahabat kita untuk sama-sama menyedari dan mensyukuri nikmat-Nya.


Lakukan perintah dan tinggalkan larangan-Nya.


Gunakanlah nikmat kita pada yang sepatutnya.


Kongsikan nikmat yang diperoleh bersama orang lain.

Seorang ahli hikmah berkata : 
Saya sibuk mensyukuri empat perkara :
1. Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.
2. Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.
3. Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang Muslim.
4. Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad s.a.w.

Tuntas

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.  Dan sesungguhnya setiap daripada kamu akan menerima balasan pada hari kiamat. Maka sesiapa yang terlepas dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh, dia sangat beruntung..."

"Sekiranya kamu bersyukur, sungguh akan Kutambahkan bagimu, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabku amatlah berat".

Sahabat,
manifestasikan syukur dalam kehidupan!

Wallahu A'lam, betulkan jika tersalah.

Sempena mensyukuri hari ulang tahun kelahiranku pada hari ini, kutitipkan cerpenku, Cinta 'Iyadh, moga menginspirasikan alam.

1 comment: