Wednesday, April 28, 2010

MEMPERTONJOLKAN INDAHNYA ISLAM
Generasi MTS - Hiasilah Container Ilmu! - Bahagian 2

ISLAM itu hakikatnya indah, penurunannya juga dengan cara yang indah, penghayatannya alangkah indah, malahan disampaikan oleh utusan-Nya yang terindah dengan budi pekerti terindah dengan cara yang sangat indah!

"Sesungguhnya Allah itu indah, sukakan keindahan".

Lantas al-Quran yang menjadi panduan kepada umat Islam, semestinya adalah indah!

Justeru, bagaimana kita sebagai daie, hendak menonjolkan keindahan ISLAM itu agar kehidupan masyarakat kembali indah?

Indah dalam keharmonian bak zaman kegemilangan Tamadun Andalus, Cordova ketika masyarakatnya yang berlainan kaum dan agama hidup makmur bersama tanpa timbul sebarang isu keagamaan, malahan diperintah secara Islami?

Indah dalam keakraban bak zaman kegemilangan Negara Islam Madinah ketika Ansar dan Muhajirin dipersaudarakan?

Indah dalam keintelektualan bak zaman kegemilangan ilmuwan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu hingga menjadi inspirasi kepada Renaissance?

Hendak tonjolkan keindahan ISLAM, jadikanlah keindahan itu sebagai SUBJEK!




Indahnya ISLAM

Sukakan keindahan itu adalah satu fitrah, dan cabaran kepada kita sang daie, adalah mempertonjolkan ISLAM yang indah supaya menjadi punca kepada segala keindahan,

dan agar masyarakat kembali kepada fitrah, beriman kepada agama Allah yang indah. Fitrah keindahan dalam diri manusia sepatutnya berlandaskan keindahan ISLAM.

"Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku".

Demikian firman Allah dalam Surah al-Dzariyaat. Sememangnya kita diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah, beribadah kepada Allah sebagai hamba Allah.

Tidak kira  ibadah fardhu, sunat mahupun ibadah umum, semuanya dijalinkan dalam keindahan. Inilah INDAHNYA ISLAM.


Contohnya, solat. Cabaran kita adalah musuh Islam akan mewarwarkan betapa 'seksa'nya menjadi orang Islam kerana perlu bersolat lima waktu sehari semalam. Kristian - sekali seminggu. Demikian pula ajaran agama-agama lain.

Kita sebagai daie? WARWARKAN keindahan Islam. Solat bukanlah satu penyeksaan, bahkan sebagai terapi yang baik kepada kita. Kecemerlangan IQ, SQ, EQ malahan PQ (physical quotient) mampu dijana dengan solat.

IQ - Solat adalah terapi intelektual. Solat mampu melatih daya fokus bagi otak melalui penganjuran supaya memfokuskan pandangan ke tempat sujud ketika solat dan di antara dua kaki ketika rukuk.

SQ - Solat adalah terapi kerohanian. Solat menjadikan seseorang berasa lebih dekat dengan Allah menerusi hardware (rukun qauli, rukun fi'li dan rukan qalbi) serta software (penghayatan, kekhusyukan dan ihsan). Solat bukankah sangga agama? Solat - satu-satunya ibadah yang difardhukan kepada umat Rasulullah secara langsung daripada Allah. Kebiasaan solat mampu mencambahkan minat untuk mempraktikkan ibadah-ibadah lain.

EQ - Solat adalah terapi jiwa. Apabila bersolat, kekhusyukan yang terjana mengubah arus gelombang otak kepada alpha. Hasilnya, hati terasa tenang, lapang dan damai. Arus alpha diakui oleh para pengkaji sebagai arus terbaik bagi kondisi otak untuk bekerja. Ini sekaligus meningkatkan kualiti kerja, belajar dan kehidupan. Otak menjadi lebih mudah untuk menyerap apa yang dipelajari dalam keadaan ini.

PQ - Solat adalah terapi kesihatan. Umum mengetahui kebaikan-kebaikan solat kepada kesihatan yang sangat mengagumkan. Kebaikan rukun-rukun dalam solat. Sujud, rukuk, tasyahud dan pelbagai lagi, anda boleh cari sendiri. Bahkan solat mampu menyembuhkan pelbagai penyakit, hatta penyakit mengenai masalah sulit!

Belum lagi diceritakan mengenai keindahan waktu solat yang terletak sangat strategik pada warna maksimum bagi warna-warna setiap hari. Demikian menekankan pentingnya solat di awal waktu agar tidak terlepas kelebihan-kelebihan yang ada pada waktu maksimum ini.

Belum lagi diceritakan mengenai sujud ke tanah yang meneutralkan cas-cas dalam badan ke tanah sebagaimana ilmu fizik menetapkan perlunya tiga jenis wayar dalam sesebuah plag - wayar hidup, wayar neutral dan wayar bumi (wayar yang disambung ke tanah untuk membuang cas berlebihan). Betapa banyaknya cas-cas negatif yang kita hasilkan setiap hari menerusi doa dan maksiat dibuang ke tanah melalui sujud semasa solat. Lantas dineutralkan pula oleh cas-cas yang dihasilkan oleh manusia yang tawaf mengelilingi Kaabah yang merupakan pusat bumi dan pusat magnet bumi.

Belum lagi diceritakan mengenai kepentingan merapatkan dan meluruskan saf semasa solat berjemaah. Bersentuhnya tubuh manusia antara satu sama lain akan meneutralkan cas tubuh mereka antara satu sama lain - ini pengaplikasian ukhuwah dalam solat menerusi takaful - saling menyumbang faedah.

Belum lagi diceritakan mengenai kajian bahawa kekhusyukan kita dalam solat berjemaah boleh disebarkan menerusi gelombang otak kepada 27 jemaah di sekeliling kita sekaligus membuatkan mereka boleh menjadi khusyuk.

Subhanallah, ini baru keindahan SOLAT. Itu pun belum semua dicatatkan di sini.


Generasi MTS

Kita di MTS telah didedahkan dengan ini semua. Bagaimana indahnya ISLAM. Bagaimana penemuan sains menyokong kebenaran dan keindahan ISLAM. Bagaimana indahnya biah Islamiah yang diterapkan di MTS. Sahabat, Rasulullah berpesan supaya menyampaikan ilmu walau satu ayat!

Bagaimana untuk menyampaikannya? Sampaikanlah secara indah.

Apabila indahnya ISLAM itu menjadi subjek, insya Allah akan lahir masyarakat yang indah.

Ilmu - semoga dengan container yang indah (sila baca post COKLAT, COKLAT, COKLAT ; Generasi MTS - Hiasilah Container Ilmu! – Bahagian 1) dan penyampaian yang indah boleh membekaskan KEINDAHAN CONTENTnya iaitu ISLAM lantas menegakkan kalimah Allah yang indah di muka bumi, insya Allah.

Wallahu A'lam, betulkan jika tersalah.

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment