Tuesday, April 27, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 2


Sungguh, wajah itu seiras Rabiah. Wajah anak kecil yang lahir dari rahimnya. 'Iyadh - itu pusaka kami berdua buat alam. Sungguh, al-Khalik lebih merindu Rabiah untuk bertemu dengan-Nya. Dalam junaman bom yang meluru, dia arjunaku masih sempat mengerling ke arah kami dengan senyumannya yang termanis - itu senyuman perpisahan. Dalam percikan darah harum yang menompoki tanah, utuh lagi mushaf al-Quran yang sering dibawanya.

Mungkin titipan terakhirnya buat kami.

Cintakan al-Khalik.

"Abi cinta akan Ummi, bukan?" suara 'Iyadh bertanya kedengaran lagi. Lantas air mataku tumpah, namun segera kuseka.


Terkedu lama.

Acap cinta disalahtafsirkan oleh generasi muda sebagai pendorong kepada kejayaan. Seribu alasan dikemukakan bagi membenarkan cinta berputik di hati. Ini tak sepatutnya terjadi! Kosongkan jiwamu dari soal cinta, lantas berfikirlah tentang masa depan!

Salah!

Kenapa? Cinta ibarat api, bukan? Usah dimain-main, kelak menghangusrentungkan diri?

Bahkan, cinta jua pendorong kepada kejayaan. Cinta tidak harus disingkirkosongkan dari hati kalbu. Berfikirlah tentang masa depan berpandukan cinta, kerana cinta mampu mengawal segala tindak-tanduk kita selepasnya.

Benarkah?

Meski zulmat mahupun cerah, dinding itulah yang menjadi saksi sebuah cinta yang teguh. Saban hari, dinding itu dipanjat oleh sang kepala penyamun yang diputerakan di Khurasan.

Ini kuasa sakti cinta. Segala hasil samun dihadiahkan kepada nisa' di sebalik dinding. Sebuah pengorbanan demi membahagiakan habib tercinta.

Sebuah kafilah lalu di tempat itu saat dia asyik memanjat dinding untuk bertemu habib tercinta. Dari kafilah itu, beralun Kalam Tuhan mendayu-dayu.

Lantas menusuk kalbunya.

"Belum tibakah saatnya bagi hati orang yang percaya untuk tunduk merendah mengingati Allah?"

Jatuh dia dari dinding tersebut, bahkan berseru, "Memang telah tiba saatnya, bahkan hampir terlambat!"

Dia jadi gelisah, lantas berlari ke arah sebuah kafilah lain yang sedang berkhemah. "Marilah kita melanjutkan perjalanan," mereka berkata kepada yang lainnya, namun salah seorang mencegah, "Jangan, Ibnu 'Iyadh sedang menanti dan pasti menyamun kita!"

Mendengar bicara mereka, dia lantas melaung, "Berita gembira! Berita gembira! Ibnu 'Iyadh telah bertaubat!"

Berkelilinglah dia menemui sahabat-sahabat lamanya, meminta agar janji setia antara mereka dihapuskan. Akhirnya tersisalah seorang Yahudi, yang berniat untuk mengolok-olokkannya. Tertawa, dia berujar bersahaja, "Ratakanlah bukit pasir itu, jika benar engkau menginginkanku untuk menghapuskan janji setia antara kita".

Cinta merelakan seseorang berusaha. Benar, Ibnu 'Iyadh mulai mencangkul bukit pasir itu sedikit demi sedikit, akan tetapi, mungkinkah berjaya? Datang pawana berhembus kencang, meniup bukit pasir itu sehingga rata.

Takjub amat si Yahudi melihatnya, namun hatinya masih berdalih, "Sesungguhnya aku telah bersumpah bahawa aku tidak akan menghapuskan janji setia antara kita sebelum engkau memberikan wang kepadaku. Oleh yang demikian, masuklah ke dalam rumahku, ambil segenggam wang emas yang terletak di bawah permaidani dan berikan kepadaku. Dengan demikian, sumpahku akan terpenuhi dan janji setia antara kita dapat dihapuskan".

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment