Sunday, May 16, 2010

Halusnya Tangan Itu Menganyam

Ketupat.

"Siapa-siapa yang tak siapkan kerja cikgu, cepat berdiri di luar!"

Terasa bagaikan baru semalam. Ketika itu aku baru secomel putik jagung. Mulus, bagaikan meminta dihargai. Dihargai ke mana-mana. Di rumah, aku dilayan bak raja. Kata ayah, itu anjuran nabi. Sejenak aku bertandang ke sekolah, aduh, bagaikan satu igauan ngeri.

"Oh, buat bising ya! Cikgu tengah mengajar pun korang tak hormat! Berdiri di atas kerusi!"

Dan,

"Piap!" Pijar dan pilu.



Di dalam bilikku tertampal satu senarai. Satu persatu - nama guru yang mengajarku. Setiap hari diulang baca, demi menanam kesumat.

"Cis, dia hanya cikgu je. Bukan ada pertalian darah dengan aku pun. Setara ayah aku pun tak bagi hatta seekor nyamuk pun menggangguku, inikan dia!"

Masa tu, mindaku masih tunas. Hijau segar, bagaikan helaian dedaun ini.

Musuh utama - guru. Lebih-lebih lagi yang garang. Imej guru disiplin, buruk amat persepsiku terhadapnya. Inikan pula guru besar. Anehnya, abah dan mama tak pernah memihak kepadaku apabila aku dimarahi guru. Malah menyalahkanku pula.

Akhirnya piluku hanya terpendam.

"Mat! Dah besar panjang rupanya kau. Belajar kat mana sekarang?"

Terkesima aku. Ah, dia guruku tika kecilku. Manis betul mukanya menegurku, bagaikan memancarkan sinar tulus yang sungguh menjentik jiwa. Aku tergagap-gagap menjawab,

dalam senyuman. Alangkah terharunya apabila dihargai.

Dahulu aku hanya ibarat daun muda. Alpa dalam keseronokan. Datang tangan itu memegangku erat. Menyelit-nyelit mindaku dalam selitan ilmu yang bagiku pada masa itu - apa ni?! Daun macam aku ni kena lipat-lipat?! Aduh!

Usai, aku direndam dalam air panas yang menggelegak. Ujian yang memedihkan. Hatiku meronta keras, dengan kesumat terhadap mereka guru.


Dalam satu kemeriahan pagi, tiba-tiba aku tersedar. Ramai orang tertumpu terhadapku. Tiba-tiba aku merasakan diriku amat bernilai. Mereka tersenyum ceria. Tanpaku, mereka pasti suram. Wahai, aku kini ketupat!

Dan guru itu masih setia menapak lemah di bangunan sekolah yang dahulunya tempat aku pernah bermain tarik upih. Aku terjatuh kerana berlari. Aku mengusik budak perempuan. Aku menconteng dinding sekolah.

Meski rotan tua itu masih tergantung di situ, andai dulu menyemat kesumat, kini membuatkan hatiku tersentuh.

Hadirku kini membuahkan ceria kepada masyarakat. Berbuat sesuatu untuk kebahagiaan mereka. Waima dunia mahupun akhirat. Dan masih terasa tubuhku dianyam halus tangan mereka.

"Bagus enak ketupat ni. Pandai orang yang menganyamnya".

Pujian itu singgah di telinga. Hatiku berbunga bangga, bukan untuk diriku, namun kerana pujian kepada sang penganyam diriku -

Kalian - para murabbi dan guruku!

Dan ketupat itu masih dimakan orang, zaman berzaman. Berpindah tangan, dari sang penganyam dan pemakan - pengambil manfaatnya.

Dari daun yang menghijau di belantara, kini ketupat yang berjaya dan bermakna! Dan cap jari sang penganyam masih membekas. Nostalgik.

Selamat Hari Guru 2010. Angin, tolong sebarkan salamku kepada mereka!

1 comment:

  1. salam syuaib..terbaik r..
    wak sdiri ko crito ni??
    bleh r mai kat ana punya klu ade masse..
    http://ibnualizai34.blogspot.com
    ok, salam=)

    ReplyDelete