Friday, November 5, 2010

Cinta 'Iyadh - Bahagian 3

Ibnu 'Iyadh lantas menyelak permaidani tersebut dan menyelukkan tangannya. Segenggam emas diambilnya lantas diberikan kepada Yahudi tersebut.

"Islamkanlah aku," pinta Yahudi tersebut. "Hingga sesaat yang lalu, masih aku ragu-ragu yang manakah agama yang benar".

"Pernah kubaca di dalam Taurat : Jika seseorang benar-benar bertaubat, kemudian menaruh tangannya ke atas tanah, nescaya emaslah jadinya tanah itu," dia menyambung bicaranya. Tersekat-sekat, dia memberitahu bahawa apa yang terdapat di bawah permaidani itu pada asalnya ialah gumpalan-gumpalan tanah.


Tingginya martabat cinta Ibnu 'Iyadh. Tentu, memenuhi segenap ceruk kalbu. Bahkan alam sendiri tunduk akan nur cintanya. Cinta? Ketahuilah, cinta hakiki itulah cintakan Illahi !

Rindunya Ibnu 'Iyadh untuk bersama-sama Habibnya. Kagumnya Harun ar-Rasyid akan agungnya cinta itu. Malahan diakui pula oleh Sufyan al-Uyainah.

"Syukur pada-Mu Habibku, yang telah mengurniakan kepadaku pelbagai limpah kurnia, sehingga tiada keluh-kesah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Mu".

Cinta itulah yang kekal abadi mesti selepas Hari Perhitungan. Cinta itu memancarkan bekal, guna melepasi halangan Mahsyar. Dengarlah, sang Pencinta itu lebih dekat dengan kita berbanding urat tengkuk kita!

Sesuap makanan kuhulurkan kepada 'Iyadh, namun dia menolak. Mata bundarnya merenung jauh ke hadapan, memikirkan sesuatu. Tak terasa lagi kedinginan yang biasanya mencucuk tulang.

Usianya masih terlalu muda, baru menginjak lapan tahun seandainya perkiraanku tidak tersilap. Dalam dunia kecilnya telah tercatat warna-warna derita, mindanya banyak merakam air mata yang berjuraian, darah para syahid bertompok-tompokan, serdadu hijau bertindak kejam, demikian pula telinganya, dari suara tangisan batin sehinggalah gamatnya bedilan peluru.

Ngeri! Tetapi tidak bagi 'Iyadh.

"Abi, jelaskan kepadaku, bagaimanakah untuk meraih cinta-Nya?" 'Iyadh memandang tepat ke dalam mataku. Matanya memancarkan sepercik sinar harapan. Aku tergamam dalam kekaguman. Nyata, dia begitu terkesan dan mampu mendalami cinta itu sendiri!

Aku membalas renungan anak tunggalku itu. "Meraih cinta-Nya?" aku mengulangi kalimat itu. Mengumandangkannya dalam benak atmaku. Tuhan, pandukan jalannya ke arah mengabdikan diri kepada-Mu!

"Ibadah".

'Iyadh jadi kaget.

Aku tersenyum ke dalam hatinya.

"Demikian kata Ibnu Qayyim, ibadah merupakan cinta. Berkasih-kasihan dengan Tuhan".

"Atas dasar cinta, kita berusaha sehabis daya untuk memenangi hati habib tercinta. Allah Azzawajalla itulah habib hakikimu, cintailah Dia dan menangilah mardhatillah dengan ibadah tulusmu. Anakku, inilah wasiatku kepadamu. Selamilah cinta Abu Ali Fuzail bin 'Iyadh al-Talaqani yang sedemikian asyik dalam mencintai-Nya".

"Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta daripada para mukmin dan memberikan syurga sebagai galang gantinya!" laungan itu terasa kuat memecah keheningan subuh. 'Iyadh yang baru sahaja selesai dari tahajudnya meraup muka seusai merafakkan doa. Doha dan Ubaidah berlari-lari anak, meninjau apa yang berlaku.

Mendengar seruan tadi, berlinang air mataku. 'Iyadh kurang mengerti, adakah kerana sebak, gembira atau duka lara. Namun senyumanku menjawabnya.

Kukucup pipi 'Iyadh berulang-ulang kali. Kukucup ubun-ubunnya, kudakap seerat-seeratnya. Agak lama, barulah aku melepaskannya.

"Abi ingin membuktikan cinta Abi tulus kepada-Nya," ujarku pendek, namun sempat kubisikkan, " Peliharalah solatmu, peliharalah cintamu". Bersama-sama rakanku, aku menuju ke suatu arah, meninggalkan 'Iyadh permata hatiku, bersama-sama taulannya, Doha dan Ubaidah yang kebingungan.

Dari situ jua cendawan gergasi menjulang lagi. Lewat pagi itu, semerbak harum terserak ke udara, sempat berhembus ke wajah 'Iyadh. Semerbak yang mengundang pilu jua rindu.

"Tuhan, terimalah cintaku agar redha-Mu menyelubungi Abi, Ummi..."

Dia teresak-esak.

"...jua mereka yang berpegang pada tali-Mu. Tuhan, kami cintakan-Mu," terdengar suara halus 'Iyadh menggumam. Bendera hitam, merah, putih dan hijau masih berkibar di dada jumantara.


0 comments:

Post a Comment