Wednesday, January 12, 2011

Cerpenku (Satira) : Aku dan Nemel

Nukilan : Syuaib Supani

Pagiku segar amat. Hijau alam bagaikan menepuk-nepuk selesa belakangku agar terus mamai dibuai nyaman pagi. Nakal kau! Aku menegur bayu pagi yang berpuput gemalai. "Sepatutnya kau menepuktamparku agar bangun, bukan mendodoiku biar walah," aku berbisik. Menggeliat.

"Kata Nabi tak elok tidur selepas Subuh, nanti rezeki lari," Nemel kedengaran melaung dari bawah. Aku menjengukkan kepala, memerhatikan Nemel. Rajin sungguh, desis hatiku. Nemel sedang ghairah memikul sebutir nasi untuk dibawa pulang ke busut, entah bila lagi dia mula bekerja.

Aku? Sarapan, dan kemudian bermain. Macam sehari-hari. Rezeki sudah di depan mata, apa hendak disusahkan? Kaki-kakiku perlahan meniti menuruni dahan. Memerhatikan Nemel.

Nemel kukira sekitar usiaku. Atau mungkin, setaraf denganku. Semuda usianya, Nemel sudah berkhidmat dalam komunitinya. Gigih berusaha sepagi dan sepetang. Culas? Tidak. Oh, ada, sesekali jika kuajaknya bermain.

Bilangan kaki tidak tegar membezakan kami. Enam kakinya bagaikan semarak kecekalan tubuhnya. Nemel sudah biasa hidup dalam jerih daya. Inikan aku, si makhluk manja!

"Mahu sedikit? Nemel menyua kristal gula di mulutnya. Aku menolak baik, seraya menghulurkan tangan. Dia menyapaku saat aku terleka dek kerajinan komunitinya.

"Saya Nemel, awak?"

"Dud".

Mesra sahaja dia menyapa. Terasa hangat pipiku, malu dengan keramahannya. Kagum dan rendah diri berselang-seli. Aku jarang sekali menyapa jiran sekelilingku. Pak Nehel, Mak Kabut; selalunya aku berdiam sahaja apabila bertembung. Bukan menyisih diri, tapi entah!

"Musim hujan dah nak tiba," Nemel memandang jauh ke langit. "Nampaknya pohon rambutan dan pulasan di kebun ini akan berbuah lebat, Insya Allah. Pak Bunyamin pasti gembira".

"Oh," aku menggumam, sambil memcicip pucuk daun bunga raya kegemaranku. Nemel yang bawakan. Apa yang diperkatakannya tadi aku kurang hadam. Barangkali disebabkan aku tak pernah mengambil tahu mengenainya sebelum ini. Apa pentingnya terhadapku?

"Sejujurnya aku dengkikan kamu," Nemel terdiam dan memandang wajahku. Barangkali terkejut akan gumam bicaraku itu.

"Kenapa?"

"Kau rajin, peramah, disenangi, berpengalaman dalam kehidupan..." Nemel merenung tajam ke arahku, membuatkanku mati kata. Dia menyua penumbuknya.

"Nampak ini?"

Kami sama-sama ketawa. Aku kembali bersandar pada putik bunga melati.

"Aku bagaikan hidup sendiri. Tak cakna akan perkara lain, sentiasa dalam lingkungan duniaku," mataku menjilat dada langit. Sinar pagi terasa menyilaukan.

"Melampau kau. Allah kan nilai takwa?"

Aku mati hujah jadinya.

"Kau patut bersyukur hidup di dalam zon selesa. Segala-galanya tersedia mudah. Allah bagi nikmat banyak untuk kausyukuri," Nemel mencicip-cicip ranting melati.

"Kau apa kurangnya, Nemel. Allah bagi ujian lebih agar ingatanmu tak lekang daripada-Nya. Bagiku itu lebih baik".

"Berbaik sangkalah. Siapalah kita untuk mempersoal ketetapan Allah," kata-kata terakhir Nemel itu bagaikan masih terngiang-ngiang dalam ingatanku. Berminggu-minggu kami menghabiskan masa bersama, berbual dan bergurau senda. Ah, saat itu terlalu membahagiakan!

Lenguh terasa badanku dek berbaring terlalu lama di dalam kepompong ini. Aku tak boleh ke mana-mana. Bermain atau berjumpa Nemel. Sendirian. Tatkala angin bertiup kencang, lidahku tegar memohon agar Allah melindungiku.

Saban hari, ingatan bersama Nemel bercempera mengetuk ilusiku. Saat aku hampir lemas dek lopak air di pangkal pohon pinang, Nemel mampir menghulurkan bantuan. Dibawanya sehelai daun mempelam agar aku bisa memanjat naik dan mengapung ke tepian. Agar aku tak kalah ditelan air.

"Dud, kau harus kuat!"

Terasa masaku hampir tiba. Kaki kecilku menguis-nguis dinding kepompong, cuba membuat lubang untuk keluar. Seberkas cahaya melimpah masuk. Ah, alangkah rindunya kepada cahaya!

"Nemel?"

Nemel berada di samping kepompongku sambil tersenyum melambai-lambai tangannya. Entah selama ini memang dia menemaniku, atau dia sudah tahu saat kemunculanku, aku tidak tahu. Apa yang pasti, aku tiba-tiba riang gembira. Tanganku dihulurkan agar disambut Nemel.

Nemel menggeleng.

"Tidak, kau harus keluar sendiri".

Aku jadi kaget. Sebelum ini Nemel takkan tegar membiarkanku bergelumang dalam kesulitan. Kepompong ini keras. Bukan mudah untuk mengoyaknya. Nemel!

Nemel pernah menegahku daripada mendekati pohon jambu merah di bucu dusun. Tampak segar menghijau, betul-betul menggamit selera. Dedaunan yang bergentayangan sudah cukup untuk membuatkan air liurku kecur.

"Dud, jangan".

Berulang-ulang kali Nemel merayuku agar melupakan hasratku itu. Nemel, rezeki usah ditolak! Aku memandang Nemel.

"Bala jangan dicari," Nemel membalas dingin.

Aku degil. Pohon jambu merah yang rimbun kupanjat riang. Daunnya kucicip. Sudahnya, gejolak nafsu mengundang padah.

"Aduh," terasa perutku memulas pedih. Pijar. Pilu.

"Dahulukan fikiran daripada kemahuan," itu sahaja pesanannya sebelum menghulurkanku seteguk air. Terasa sedikit lega. Nemel hanya membisu kelu.

"Ya Tuhan, kau pergi menjamah daun pohon jambu merah?!" panjang aku dileteri Mak Kabut. "Mereka meracuninya setiap hari untuk meningkatkan produktiviti. Dud, kau terlalu mentah," panas sahaja telingaku mendengar bebelan Mak Kabut. Betullah, Nemel sudah mengingatkanku sebelumnya. Aku yang keras kepala.

Kalaulah aku akur akan pesannya. Kalaulah!

Nemel menggeleng lagi. Senyum.

Akhirnya aku mengalah. Mahu tidak mahu, terpaksalah kulakukan segalanya sendiri, sambil diperhatikan Nemel. Hatiku diselubungi rasa aneh. Nemel tidak pernah begini.

Lubang yang kukoyak terlalu kecil. Aku cuba meloloskan tubuhku yang agak besar. Sebelah kakiku menolak tubuhku dari dalam kepompong, manakala sebelah lagi cuba mengoyak kulit kepompong. Ah, kepakku tersekat!

Aku kian letih. Berehat seketika dan mencuba lagi. Tolak! Aku menujahkan tubuhku ke hadapan. Bagus, pangkal kepakku sudah bolos. Semacam injap, keluarnya pangkal sudah sedikit memudahkan usaha. Namun tenagaku tidaklah sebanyak mana. Habis kuguna sewaktu tidurku. Sewaktu transformasi fizikalku di masa pupa. Aku bukan lagi pupa. Aku makhluk yang indah rupa!

Bolos. Aku berjaya. Kepakku kukibas beberapa jenak sehingga kering.

"Tampan sungguh," Nemel memuji penampilan baharuku. Aku menarik nafas panjang sambil mengelus lelah. Entah berapa lama berhempas pulas bersendirian menjadikan sekeping hatiku jengkel. Kepakku kukibas kuat, melayang tinggi di udara. Menggunakan daya angkat, langsung meninggalkan Nemel. Tanpa hirau.

"Ah," aku mendengus, terasa amarah membakar minda. Nemel pentingkan diri! Barangkali Nemel terdengar dengusanku dari bawah. Dia merajukkah? Ah, biarkanlah.

Entah keras sudah hatinya akan kesusahanku tadi. Apakah dia ingat dengan rupa baharuku, aku akan berlaku angkuh? Aku akan berdiri di persada kemegahan? Meninggalkan dirinya untuk mengecapi indahnya alam?

Tidak. Aku tak pernah terniat sebegitu. Namun Nemel, kau telah mengecewakanku.

Aku menangis.

"Aduh!"

Aku terlanggar Pak Nehel yang ralit menari. Berputar-putar di udara, mengikut rentak dan gerakan unik, guna membuat pengumuman mengenai jumpaan nektar madu. Nemel yang pernah memberitahuku dahulu.

"Kenapa merah padam je muka ni? Tak bersyukur lagi dengan rupa yang cantik tu?" Pak Nehel menyindir pedas. Barangkali rentetan pengalamannya berdepan lagak Mak Merak di rimba sana.

"Kawan kadang-kadang menjadi ujian kan," aku berkias kata, melayani perli Pak Nehel. Bagiku bukanlah satu kewajaran; Pak Nehel yang menemui nektar, namun harus dikongsi bersama rakan-rakannya. Pak Nehel ketawa.

"Kau tak faham hidup berkomuniti," Pak Nehel meneruskan tariannya, sambil aku cuba-cuba mengikut rentaknya. Sebetulnya, aku jadi pening.

"Manakan sama nimfa dan pupa. Metamorfosis kita berbeza, justeru tarbiah kita berbeza. Dek cabaran yang perlu didepani jua berbeza".

Aku hanya diam. Mendengar.

"Dalam komuniti kami, kawan itu satu rahmat. Adanya kawan bererti adanya kehidupan. Lebah tak betah tinggal sendirian. Kenapa? Kamilah agen pendebunga, bukan sekadar memburu nikmatnya nektar".

"Tanpa kami, manusia akan mati. Tumbuhan tak bisa mengeluarkan hasil. Lantas tak mampu membiak. Manusia akan hilang sumber makanan," Pak Nehel mengerling kepadaku yang terkulat-kulat untuk memahami bicara panjangnya.

"Dan kami takkan mampu lakukannya sendirian. Kami saling bergantungan," Pak Nehel kembali kepada tugasnya. Menghisap nektar daripada bunga. Sambil badannya membawa debunga dari stigma bunga, buat digugurkan pada ovul kelopak bunga. Bunga sama atau bunga lainnya. Pohon sama atau pohon lainnya. Justeru membuahkan variasi. Dan aku pasti, Pak Bunyamin akan tersenyum lebar menguntum syukur menatap rezeki yang bakal dituainya kelak.
Dan petang itu, terasa jiwaku jiwa baharu. Aku tercari-cari Nemel, entah di mana. Di pinggiran batas, di pangkal dahan, di rumpun sayuran. Tak ketemu. Aku jadi sebak.

Sebelumnya, aku tersangkut pada jaring Mak Kabut saat ralit menikmati panorama indah. Hatiku menyumpah-nyumpah. Mak Kabut buat sampah! Aku mendengus lagi.
"Hai anak muda, 'sampah' ini, gunanya menjerat makanan tahu? Aku bersyukur Allah ilhamkan kepadaku untuk mengusahakan pencarian rezekiku sendiri. Jangan pandang sesuatu dengan sekadar jelingan. Semacam kepompongmu, jangan ingat sempitnya untuk menyeksa. Kalau kau tidak keluar dengan kepayahan, kesempitan lubang, bendalir tubuh takkan dapat mengalir ke dalam kepakmu. Kepakmu akan renyuk dan rosak. Nak terbang? Usah mimpilah," lagi Mak Kabut membebel. Sekonyong-konyong bayangan Nemel melewati mindaku. Tuhan, apa telah aku lakukan?

Nemel!

Aku terus mencarinya. Terbang dan mencari. Saat Mak Kabut sedang menjamah rezekinya dan Pak Nehel ralit mencicip nektarnya, aku terus terbang dan mencari.

14 comments:

  1. congratulations,what a good story line but not enough ,u have your point of view to scratch the story but u tend 2 use a lot of high inspiration word which make your story , err..a little clumsy n your story is not 100 percent graspable.so try to use simple word more to describe your view(it is the way u can bring others with u because other(high word) than that are only accessory to make up d story) n the combination between both ,but in correct manifestation of word (suit the word with the situation),not by estimating that other person will not search for the meaning of the word literally.a big applause 4 u for being ahead from your mates .

    ReplyDelete
  2. thanx4the comment..i'll try to improve myself as much as i can..after all,this is my few first little step towards,n i'm begging 4ur pray 4 my success..insha Allah
    (just for hobby)

    ReplyDelete
  3. Tahniah...
    anta memang berbakat dalam seni penulisan...ana cadangkan anta mengetengahkan lagi bidang penulisan anta semaksima mungkin...mungkin boleh menjadi penulis novel terkenal, sasterawan negara, atau mana-mana yang berkaitan dengan bahasa...kadangkala hobi itulah yang boleh menentukan masa depan kita...di mana ia bergerak dengan kerelaan bukannya paksaan...ana kagum dengan bakat yang dianugerahkan oleh Ilahi kepada anta...

    ReplyDelete
  4. to Scrupulousboyz:
    Terima kasih..tetapi melampau sangat pujian tu..apapun,doakanla kejayaan ana..syukran

    ReplyDelete
  5. wow, x abes bace agi nie, tgk ramai yang komen, pasnie insyaAllah akan dibaca..... agak sibuk siket sekarang........ nice to read your word... keep writing... ana furshatun sa'idah... assalamualaikum

    ReplyDelete
  6. to Anas:
    Salam..lme xdgr kab0!! malu plak ana bila tau nta baca luahan hati ana yg xseberapa kat atas tu..ana msih bertatih..n jauh lagi untuk berhak dipuji..akan ttp ana akn b'usaha menggandakan daya..gudluck..lepas ni boleh r ajar ana b.arab plak..hehe

    ReplyDelete
  7. tahniah....kombinasi ilmu yang mantap menghasilkan maha karya terhebat.pasti guru biologimu amat berbangga.

    ReplyDelete
  8. yeah..saya BERBANGGA dgn GURU BIOLOGI saya..hehe
    anyway,thanx teacher Zalena n AKU..

    p/s: yg atas tuh la guru biologi saya..

    ReplyDelete
  9. bkl sasterawan negara n penerima anugrah nobel..........

    ReplyDelete
  10. luaskan karyamu ke serata dunia.....
    disamping berdakwah utk agamamu ISLAM...

    ReplyDelete