Friday, March 26, 2010

Duhai yang Rebah, Inilah Ujian Allah!

Pernah sahabatku mengadu kepadaku mengenai rakan setugasnya. Dia sebagai pengerusi, rakan setugasnya timbalan pengerusi. Pilu sekali dia menceritakan kisahnya. Tentang frustnya dia memperoleh rakan setugas seumpama itu. Tentang ketidakbertanggungjawabannya. Tentang kesukaran yang dihadapi bekerja dengannya. Tentang bermacam-macam! Hari semakin berganti, malam silih menyelimuti, pelbagai kesukaran perlu dihadapi, dan tarikh akhir tugasannya kian menghampiri!

Semangatnya luntur untuk bekerja. Andai dahulu dia dikatakan antara petugas paling komitmen, inovatif dan bermacam-macam lagi antara petugas yang ada, kini wajahnya dihiasi kemuraman. Kedurjaan.

Sahabat,
"Apakah manusia mengira bahawa dia sudah beriman, padahal dia belum diuji?"
Semakin Allah sayangkan hamba-Nya, semakin kuat dugaan yang diterima. Seberat-berat manusia yang diuji bukankah Rasulullah? Sedangkan baginda merupakan Habibullah, kekasih-Nya!

Sabar itu dicintai Allah. Nabi berpesan, bahawa sabar itu sebahagian daripada iman. Iman bukankah padanya 'kepada Allah'? Justeru, sabar memupuk kita kembali kepada Allah.

Allah menguji hamba yang dicintai-Nya. Dan sabar memupuk kita kembali kepada Allah. Lantas?

Ah, ternyata kita sering terlepas pandang.

Allah menguji hamba yang dicintai-Nya. Kita sabar, dan kembali kepada Allah. Kembali MERINTIH kepada Allah. Kembali MENGADU kepada Allah. Allah, beratnya ujian-Mu! Allah dambakan munajat kita. Bukankah selangkah kita mendekati Allah, sepuluh langkah Allah akan mendekati kita?

Lantas, pantas kita bermuhasabah.

Tatkala diuji kita rebah. Allah ingin kita memohon kepada-Nya. Allah kan membantu kita bangun kembali. Seribu kali kita rebah, seribu kali kita bangkit. Bangkit bersama taqarrub. Allah itu lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita. Acapnya Dia dikesampingkan, alangkah lalainya kita!

Tidak kira betapa sukarnya, ingatlah Allah, berdoalah kepada-Nya.
Bersyukurlah andai tugasanmu mudah kerana mudahnya itu merupakan nikmat Allah bagimu, agar kau merasai kurnia-Nya. Kasih sayang-Nya. Disyukuri dengan segenap manifestasi.
Bersyukurlah andai tugasanmu sukar, kerana Allah ingin mengujimu, Allah inginkanmu merintih kepada-Nya, dan Allah ingin memberikanmu peluang. Peluang menimba pengalaman yang mematangkan.

Sahabat, Allah mengujimu melalui dia, rakan setugasmu.

Allah inginkan kau sentiasa bersama-Nya!



Selepas hari itu, dia cuba menyelesaikan masalahnya. Dia diberi dorongan. Olehku. Oleh sahabat-sahabatku. Oleh ibu bapa yang sentiasa merindu. Dia bangkit.

Dan kini, dia masih tetap mengukir senyuman optimistik seumpama dahulu!

1 comment:

  1. salam...
    nie boleh buat novel...
    semoga terus istiqamah dalam berjuang

    ReplyDelete