Tuesday, November 13, 2012

Direct Poke to the Heart

Bismillah. Dengan nama Allah.

Bahawa hati kalbu itu urusan Allah. Bukan kita, bukan ibu bapa, bahkan bukan Rasul jua. Benar bukan? Sedikit gurauan kita kadang-kadang membuatkan rakan berkecil hati. Anak remaja yang meminati dunia muzik, gitar dan ‘jamming’ juga bukanlah dibentuk langsung oleh ibu bapanya. Bahkan, bapa saudara Rasul, Abu Talib juga meninggal dunia tanpa syahadah di bibir dan hatinya.

Namun, berpengaruh dan berkuasanya hati kalbu itu kepada segenap pelusuk kehidupan. Pada hati ada kasih sayang, kecenderungan dan apresiasi. Seumpama raja kepada kerajaan tubuhnya, memutuskan tingkah laku dan pilihannya. Baik tubuh pada baiknya ia. Kasih sayang, kecenderungan dan apresiasi itu saling berkait, dan berfokus. Pada sesuatu. Waima baik atau buruk.

Sampaikah sebuah kenderaan ke destinasinya; jawapan ada pada pemandunya. Tersalah simpang atau melanggar lampu isyarat, atau lebih teruk tertidur, tegurlah pemandunya. Kita bukan penumpang? Bunyikan hon dengan baik, atau berikan isyarat, atau lebih berkesan, jumpalah dan tegur dengan baik. Benar, bukan semua pemandu sempat dijumpa dan ditegur. Hon dan isyarat itulah mediumnya. Soal terima atau tidak, anda tidak dipersalahkan untuk itu.

Pemandu diri itulah hati.


Genggamkan tangan, tegakkan telunjuk. @--. Ikrar syahadah, terhayat pada setiap kali tahiyat.

[أشهد أن لا إله إلا الله]; Antara kita dengan Allah, adanya tunduk dan patuh. Cinta dan kasih. Takut lagi mengharap.

[أشهد أن محمدا رسول الله]; Antara kita dengan Allah, adanya Rasul sebagai contoh dan garis panduan. Tokoh sepanjang zaman. Ikutan terbaik bagi seluruh aspek kehidupan.

[أشهد]; Dan, antara kita dengan Allah, ada janji untuk ditepati. Janji untuk mengingatkan manusia akan janji. Mengingatkan saksi akan penyaksiannya dahulu. Bila? Saat di alam roh.‘Bukankah aku Tuhan kalian?’, ‘Bahkan, kami naik saksi’. Agar tidak terpesong saksi daripada penyaksiannya. Kekal Allah di hatinya sebagai Tuhannya. Janji yang akan ditagih.

[ألست بربكم؟ بلى شهدنا].

Genggamkan tangan, tegakkan telunjuk. @--. Telunjuk yang berikrar inilah yang akan kugunakan untuk melunaskannya. Andai di dunia maya, telunjuk digunakan untuk mencuit (poke), biarlah cuit itu terus ke hati kalbu. Mencubit kalbu, sedikit mengejutkan namun mengingatkan. Walau cuitan itu hanya zahirnya menyentuh bahu. Telunjuk yang berikrar ini, dengan tiga daripada lima jari itu mencuit bahuku, mencubit kalbuku kembali sebagai muhasabah. Ikhlaskah? Amalkah? Teguhkah? Sudah ‘betulkan diri, ajak orang lain’kah?

Supaya setiap kali aku mencuit bahu mencubit kalbu dengan telunjuk itu, aku juga mencuit bahuku mencubit kalbuku. Supaya setiap kali itu,aku ingatkan diriku tentang ikrarku.

Supaya telunjukku bukan terhenti pada ikrar, namun telunjuk itu sendiri pun turun padang untuk melunaskan ikrar.

Oh, jangan salah sangka. Bukan telunjuk saya sahaja. Telunjuk anda juga. Telunjuk kita semua. Kita pun sama-sama sudah berikrar, bukan?

@-- cuit bahu cubit kalbu. Direct poke to the heart.

0 comments:

Post a Comment