Wednesday, November 28, 2012

Bisik Daddy


Dari wad pembedahan, aku meraung. Sang doktor menghela nafas lega. Jururawat mengesat keringat di dahi. Daddy sujud syukur di luar sana.

Daddy sambut aku. Peluk cium kasih. Daddy tak bisikkan ABC,123, walaupun ilmu itu penting dalam kehidupan. Daddy tak bisikkan nama Steven Gerrard dan Pudolski, walaupun sukan itu nadi kesihatan.

Daddy bisikkan azan dan iqamat. Dari membesarkan Allah kepada penekanan keesaan-Nya. Bekal penting buat kehidupan. Aku dengar. Dan aku taat.

Sedari sedutan nafas pertama. Tangisan pertama. Dan tubuh mulus dihembus udara dunia.

Masih ingatkah akan kenangan manis itu? Suara Daddy yang penuh ikhlas dan kasih ketika itu?

Ya, betullah. Tiada pun ‘I Love You, baby’ atau seumpamanya. Azan. Iqamat.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

Walau ketika itu aku takut dengan dunia baru. Aku silau dengan hadirnya cahaya. Aku sejuk ditepuk angin sepoi-sepoi bahasa. Tapi Daddy pesan, Allah itu lebih besar dan berkuasa daripada segala-galanya. Ingatilah Dia, kau takkan takutkan apa jua ancaman dan ujian selepasnya.

Aku naik saksi bahawa tiada Ilah selain Allah.
Aku naik saksi bahawa tiada Ilah selain Allah.

Dulu semasa di alam roh, aku pernah bersaksi bahawa Allahlah Ilahku satu-satunya. Tiada lainnya. Dan saat lahirku, aku terlupakan itu. Mujurlah Daddy ingatkan aku! Mujurlah Daddy sambil mengingatkan dirinya, akan tanggungjawabnya untuk mengingatkan aku. Alangkah beratnya tugasmu, Daddy!

Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Nanti di akhirat, Muhammad Rasulullah akan naik saksi bahawa baginda telah menyampaikan. Dan aku juga harus naik saksi itu juga. Aku perlu menyampaikannya kepada mereka di sekelilingku. Daddy, terima kasih kerana mengingatkan!

Marilah menunaikan solat.
Marilah menunaikan solat.

Daddy sedar, aku terdiri daripada jasad dan ruh. Oh, makanan jasad, dia sanggup bersengkang mata membanting tulang untuk mendapatkannya untukku. Daddy tak risaukan itu. Daddy risaukan makanan ruhku. Agar aku tetap bertenaga. Agar aku tetap tak lalai daripada-Nya. Agar aku benar-benar menjiwai rasa kehambaan itu. Walaupun kadang-kadang dan dahulu Daddy culas juga. Tapi Daddy tak mahu aku mengulanginya. Daddy enggan aku terperit-perit menghadap amarah-Nya kelak.

Marilah menuju kejayaan.
Marilah menuju kejayaan.

Daddy nak sampaikan, bahawa Allah suka hamba-Nya yang berjaya. Kejayaan hakiki. Bagaimana itu? Kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan dunia berorientasikan akhirat. Kejayaan akhirat yang abadi, bersepadu. Kejayaan dalam segala tanggungjawab saksiku. Kejayaan dalam pengabdianku. Holistik.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Tiada Ilah selain Allah.

Dan Daddy mengingatkan lagi. Lagi dan lagi. Agar aku takkan lalai. Bukan untuk Daddy. Tapi untuk aku. Daddy sayangkan aku. Dan Daddy tak jemu mengingatkan. Asas tapak kehidupan, iaitu hidup kerana Allah. Pengharapan kepada-Nya.

Sedarkah kita, saat itulah suara Daddy paling ikhlas menyampaikan pesannya? Pesanan terpenting untuk seluruh kehidupan kita?

Tribut apresiasi buat Daddy. Buat Daddy anda juga.

0 comments:

Post a Comment