
(Nota: tangguh-menangguh,
tangguk-menangguk, angguk-mengangguk)
Hijrah, tidak tertangguk
serta-merta. Semberono mahupun tiba-tiba.
Sepertinyalah hijrah ke
Madinah.
Siapa figura yang ingin
berhijrah ke Madinah itu? Muhammad bin Abdullah. Sang Rasulullah. Jelas,
baginda telah dianggukkan terlebih dahulu.
Siapa figura yang ingin
berhijrah ke Madinah itu? Para Sahabat baginda. Kental cekal teguh utuh. Jelas,
mereka telah dianggukkan terlebih dahulu.
Pada apakah terangguknya?
Suluhlah sirah; keimanan yang melahirkan keinginan. Hati mereka telah
mengangguk untuk berhijrah. Lalu, hati mereka berhijrah. Hati mereka
kemudiannya mengangguk supaya tubuhnya berhijrah. Lalu tercatatlah hijrah dalam
sejarah!
Hijrah kepada apakah yang
dianggukkan itu? Tidak, bukanlah hijrah ke Madinah, pada hakikatnya. Kerana
jika hijrah ke Madinah itulah yang ingin ditangguk, maka bercintan-cintunlah
mereka saat memandang pria dara di Madinah. Kerana jika hijrah ke Madinah
itulah yang ingin ditangguk, maka berniagalah mereka kepada Aus dan Khazraj
tanpa saingan kabilah Arab yang lain. Tidak!
[ومن
كانت هجرته لدنيا أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه]
[dan barangsiapa yang hijrahnya kerana keduniaan atau
perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah mengikut apa yang dia
hijrah kepadanya]
Angguk untuk berhijrah kepada
kekayaan duniakah? Angguk untuk berhijrah kepada wanitakah?
Akasnya, hati mereka telah
mengangguk untuk berhijrah kepada Allah. Kerana Allah. Angguk hati tidaklah
seumpama angguknya dagu, kerana angguk hati itu pada yakin dan patuh, dan
angguk akal itu pada mengetahui. Ya, hati mereka telah mengangguk.
[فمن
كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله]
[maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan
Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya]
Rasul yang mulia dianggukkan
(baca: ditarbiyah supaya hatinya angguk) sedari kecilnya. Pada dada yang
dibelah. Pada menggembala kambing. Pada yatimnya. Pada pemergian orang
dikasihinya. Pada kemurnian akhlaknya. Pada kecerdasan akalnya. Pada
ketidakinginannya kepada jahiliyyah. Dan senarai yang tidak akan menemui
penghujungnya. Lalu Allah menyeru hatinya agar berhijrah kepada-Nya, dengan
menghantar Jibril, salam atasnya. Lalu baginda menangguk hijrah hati itu
selepas mengangguknya.
Sahabat yang setia juga
dianggukkan hatinya sebelum mereka menangguk hijrah hati itu, terima kasih
kepada jerih keringat Rasul yang tak pernah walah mengalah untuk mengajak hati
mereka supaya turut mengangguk mengenai ketauhidan Allah. Keringat yang
bercucuran ketika mengumpulkan kerabat keluarga di Bukit Safa. Keringat di
lorong-lorong kota Makkah. Ketika di Taif jua; keringat berbaur darah. Demikian
pula Sahabat. Ibu bapa, kerabat sekalipun batu besar menduga hijrah. Angguk
mereka tidak berpaling. Tidak juling. Angguk untuk cekal tunduk.
Sukar. Pedih. Namun tak undur
dan mundur. Apatah lagi futur. Dan hijrah serta dugaannya itu, hai sahabat,
tidak statik, tidak.
Satu; Taif menghunjam menikam.
Dua; Abu Talib lena selamanya. Tiga; Khadijah tercinta tidak lagi bersama. Lalu
angguk dan tangguk hijrah Rasul berteman kepiluan muram durja. Sehingga diajak
baginda bertemu-Nya. Bertemu empunya yang dihijrahkan kerananya dan kepadanya
itu. Memotivasi dan menginspirasi.
A point of inflection.
Untuk melompat lebih tinggi, perlu tunduk terlebih dahulu, bukan? It is not
how low you fall, but how high you bounce back. Sebagai batu lonjakan,
kepada hijrah yang lebih kental. Dan hijrah yang merintis kemenangan pembukaan.
Isra Mikraj pada Rejabnya, bertemu hujjah dari Yathrib pada Zulhijjahnya, lalu
menangguk hijrah yang lebih besar pada Rabiul Awwalnya.
***
Ceritera penglipur lara insan beriman ini, segalanya bermula dengan angguknya hati lalu menangguk hijrah. Hijrah hati.
Hati mereka takkan berhijrah
tanpa mengangguk. Dan angguk – daripada hidayah – itu hak milik mutlak Allah.
Yang telah Allah sinarkan sekelumit ke dalam hati kita yang sebelumnya
gelap-gelemat. Gelita dalam hitam jahiliyyah. Samar dalam kelabu permainan
syaitan.
Sedangkan dunia pun
diibaratkan roda, apatah lagi anggukan hati itu. Sekejap-kejap laju angguknya.
Sekejap-kejap angguk perlahan. Walaupun masih mengangguk. Payah tanpa mudah.
Lelah.
Sang Rasul dan Sahabat,
serta-merta menangguk hijrah selepas mengangguk. Waima hijrah hati, pada
hijrahnya mereka daripada jahiliyah kepada islam, serta hijrah ke Madinah, yang
kedua-duanya adalah hijrah kepada dan kerana Allah semata-mata.
Dan kita masih ingin
menangguh? Selepas angguk-angguk perlahan atau laju?
Siapa menjamin saatnya dia
akan menangguk hijrah pada masa akan datang? Tangguh, tunggu senja menyingsing?
Tunggu dinihari hening? Atau menanti lusa terhegeh-hegeh menjeling? Seumpama
menangguk di air keruh, menanti kering?
Kenapa ingin menangguh? Kerana
perit dan mencerut? Kerana keputusasaan dan kewalahan? Kerana seringnya futur
dan terabaikan dustur (al-Quran)? Bisik kepada diri; kenapa ingin menangguh,
sedangkan sebuah keluarga yang menangguk hijrah dimakan api menjulang.
Sedangkan sang ibu tegar enggan makan kerana keislaman si anak. Sedangkan
Hanzalah merasakan kelalaiannya kepada Allah suatu noda dosa.
Kenapa ingin menangguk? Kerana
tak terhenti angguk melainkan perlu disertai oleh tanggukan hijrah. Kerana kita
belumlah mengangguk selagi mana belum menangguk. Hijrah terasa panjang dan
sukar? Memang benar, itulah yang sepatutnya dirasakan, atau jika kita merasakan
hijrah ini mudah dan pintas, kita tidaklah menangguk. Kerana hijrah itu perlu
ditangguk. Menangguk takkan dapat sekaligus kesemuanya, berdikit-dikit dan
berulang-ulang. Supaya kesemua ibrahnya dikaut sempurna.
Dan tiada gunanya kita
menangguk apa yang kita tidak tahu (baca: mengangguk) mengenainya. Sia-sia.
Lantas, tahun hijrah telah
bertukar lembaran. Sudah berapa lamakah tanggukan hijrah kita tertangguh sejak
beberapa kali mengangguk dahulu?
0 comments:
Post a Comment