Wednesday, October 29, 2014

#03 mencecap manis


Cuit.

Mana tak indah tarbiyah itu, ketika selayaknya di tebing jurang neraka hampir tersungkur gelincir ke dalamnya, yang tersedia azab bara sengsara menanggalkan kulit menggelegakkan kepala menikam dalam,

lalu hadir nikmat-Nya menyelamatkan, memimpin pulang ke pangkal, menyatukan dan mempersaudarakan (3:103),

seraya terkumpul bersama, berubah bersama dan mendoakan sesama? Alangkah!

Yang pernah merasai panaslah justeru arif akan nikmatnya dingin. Yang pernah terhantuk manakan tidak terngadah kemudiannya. 

Yang pernah teraba-raba dalam jahiliyyah, pantaskah kembali ke dalam gelapnya? Selepas dipertemukan pelita cahaya? Keluar dari labirin menggila?

Terus-menerus manis iman dicecap. 

Kerana itu Sahabat cintakan ad-Din ini. Seumpama gurun gersang itu luasnya membingungkan, justeru syukurnya mereka akan adanya bimbingan meniti kehidupan. Apresiasi dan tribut, setelah acap berdepan ribut. 

Maka Allah dan Rasul-Nya lantas menjadi cinta, meragut tangkai jiwa. Lebih daripada segalanya; keluarga yang tak lekang bersama, harta yang menggunung dikejar tiada, teman yang tawanya bersama namun belum tentu berdamping saat berduka. 

Kerana firman Allah tak pernah melupakan. Sabda Rasul sentiasa mengobarkan. Di tengah pepasir tandus nan kering, membusur cinta langit nan membasahi. Dalam luasnya dunia, kerdilnya kita dipersembah kalam-Nya. Rapat, erat, dekat melebihi urat tengkuknya.

Hati manakah tidak berbunga gembira untuk membalas cinta semanis itu?

Terus-menerus manis iman dicecap.

Kerana itu Sahabat cintakan ad-Din ini. Saat cinta-Nya menjadi paksi, yang di samping terasa memaknai. Harum kan taman tarbiyah? Kerana kepalsuan hubungan nyata membusuk, berganti silaturrahmi - ikatan kasih sayang - dan persaudaraan. Tak, bukan pada darah yang membuluh. Sebaliknya pada tauhid yang mengukuh.

Lantaran itu, Ansar menadah nyiru menyambut dakapan Muhajirin. Lantaran itu, kita terus berukhuwwah dalam taman tarbiyah.

Sehinggakan buat yang mengaku cintakan sahabatnya kerana Allah, Nabi memintanya agar meluahkan. Biar cinta itu semarak. Kerana paksinya melangit suci.

Sehinggakan kelak akan dibangkitkan bersama yang dicinta. Alangkah beruntungnya, berpimpin tangan bersama teman-teman sejatuh bangun, teman-teman yang dicintai kerana Allah, teman-teman taman tarbiyah!

Sungguh. Saya cintakan anda semua kerana Allah.

Biar terus-menerus manis iman dicecap.

Digapai buahnya rendah merendang, menggelayut dalam redup taman tarbiyah. Hingga cecap sementara itu berlangsung abadi.

Cubit.

0 comments:

Post a Comment