Thursday, October 23, 2014

kemudi muda


Cuit.

Air deras ditahan lagikan menerobos. Api marak diduga kan berang menghangus. Inikan pula plat muda bumi berlaga, gempa kan natijahnya.

Kita enggan bencana. Kendatipun kita jua yang menjananya.

Orang muda, begitulah. Dek kerana itu, sang bayi kita katakan muda. Kerana gejolak ingin tahunya, lalu tak betah mencuba. Takkan berpuas hati dengan berempat, dia bangun berkaki dua. Agar dia rasa tak asing bersama yang lainnya. Bangga mendada jiwa. Agar pandangannya lebih tinggi setinggi langit sana. Menanam impian seberani awan.

Orang muda, begitulah. Dek kerana itu, sang bayi kita katakan muda. Kerana tak lewah mengalah. Jatuh pertamanya satu kejayaan, justeru dia mengenal pasti kesilapan. Jatuh kali kedua dia senyum senang, kerana ideanya berhasil cuma perlu sedikit pengimbang. Maka menyingsing purnama ibu mentari bapa, menginspirasi dan memimpin jemari. Hingga dekah ketawa mungilnya kedengaran, bahawa dia kini dewasa,

tentu, tak sendirian. Dia maju berjalan dengan dibimbing kasih dan cinta.

Kerana tercoraknya dia oleh sang ibu dan bapa; diyahudikan, atau di-Nasranikan, atau di-Majusikan.

Kerana mudanya dia umpama air deras, ditenangkan alirnya dengan bebatuan yang tak menghentikan. Mudanya bak api marak, dijinakkan sesuai unsur bakarnya.

Ya, mudanya jua ibarat plat bumi berlaga. Biar sesekali mengharu-biru menggegak-gempita, namun kelak kan menghunjam bumi memasak gunung biar kukuh dan teguh. Pun memperkukuh dan memperteguh. Cuma bijaknya pada seni menghalusi tatkala sealam ribut disebabkannya.

Demikian seni menenun tarbiyah. Dimainkan peranannya oleh ibu bapa, hatta murabbi dan murabbiyah. Seni, tak memaksudkan sentuhan dan belaian lembut selamanya. Kerana seni pahat kayu itu, bukankah dipalu, sehingga kagum berpasang mata pada ukirannya?


Cubit.

0 comments:

Post a Comment