Monday, December 22, 2014

taaruf: rahmah menyantuni polarisasi kaum

Telah lebih separuh dekad lamanya tanah air kita ini memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan British secara fizikal, namun polarisasi kaum masih membelenggu. Hasil daripada penerapan dogma ‘pecah dan perintah’ dalam aspek politik, material dan ideologi, cita-cita perpaduan yang dihasratkan kita dapati masih punyai banyak kelompangan secara fizikalnya, malah jauh lagi dalam ketiga-tiga aspek tersebut.

Kepelbagaian Adalah Perancangan Allah


Dalam wahyu Surah al-Hujurat 49 ayat 13, Allah telah mendahulukan peranan-Nya sebagai penyebab kepada wujudnya kepelbagaian kaum dalam kalangan manusia. Selaku sebaik-baik perancang, sudah pasti Allah Maha Mengetahui akan manfaat dan keperluan kepada warna-warni kepelbagaian ini, kerana lebih lemahnya dalam kepelbagaian akan menuntut kita untuk sentiasa dinamik dalam memacu perubahan ke arah menjadi lebih baik, lebih-lebih lagi jika dilihat dalam aspek pembangunan negara.

Namun, Allah telah menggariskan gagasan penting dalam menyantuni kepelbagaian ini, iaitu Dia menetapkan matlamat atau tujuan kepelbagaian itu, iaitu taaruf (saling mengenali). Justeru menjadi hemah kita untuk berdepan kepelbagaian ini sebagaimana tujuannya. Paradigma mengenai kepelbagaian sebagai satu bentuk pelengkap dan inspirasi antara satu sama lain hanya dapat dicapai apabila tujuan taaruf menjadi garis panduan akhir dalam interaksinya.

Dengan taaruf sebagai tujuan, kita akan mengusahakan interaksi-interaksi seumpama dialog, kebersamaan dalam aktiviti dan sebagainya. Hal ini demikian kerana taaruf itu menuntut agar kita sentiasa mencari titik persamaan dalam mendepani kepelbagaian, agar keharmonian itu tetap utuh dan teguh. Dengan penerapan budaya seperti ini dalam segala aspek, khususnya aspek politik, material dan ideologi, kita akan berada dalam lorong yang cerah menuju negara yang harmoni dengan kehidupan yang dilimpahi rahmah.

Takwa Sebagai Kayu Ukur

Selain tujuan sebagai memandu etika, Allah juga meletakkan kayu ukur yang pragmatik dalam menyantuni kepelbagaian, iaitu takwa. “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah yang paling bertakwa daripada kalangan kamu di sisi Allah”. Takwa mampu diusahakan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum apa pun dia, apa latar belakangnya, bagaimana paras kemiskinannya, di pedalaman mana pun dia tinggal, asalkan dia seorang muslim. Malah, takwa itu sendiri tidak dapat diperolehi secara pewarisan. Dengan hanya Allah sebagai satu-satunya penilai ketakwaan, tiada sesiapa mampu prejudis dan memandang rendah terhadap orang lain, malahan setiap mereka akan menumpukan agar takwa itu diraih dalam interaksi mereka dengan kepelbagaian kaum, khususnya di Malaysia.

Menariknya, inilah peluang-peluang yang Allah akan bukakan untuk kita menyantuni semua pihak dengan mempertonjolkan dakwah yang rahmah sebagai modus operandi utama. Manakan tidak, taaruf dalam politik yang bertakwa, sebagai contoh, akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi, namun kepelbagaian dalam politik itu akan disantuni dengan baik. Dalam hal ini, daripada kelompok politik mana pun seseorang itu, hatta non partisan pun akan berpeluang untuk mendapat sentuhan dakwah yang rahmah, kerana peluang-peluang keharmonian yang tercipta.

Dogma dalam Melihat Sejarah

Meskipun kita membaca sejarah kemunculan kepelbagaian ini disebabkan dogma ‘pecah dan perintah’ itu tadi, adalah kurang tepat untuk kita turut menilai sorotannya juga menggunakan dogma yang sama. Dogma ini akan menyebabkan selama-lamanya kepelbagaian ini akan dianggap sebagai suatu perbezaan justeru ancaman terhadap satu sama lain, malah mengundang kepada polarisasi dan segregasi politik, material dan ideologi yang membarah, seperti mana yang kita sedang berdepan pada saat ini.

0 comments:

Post a Comment