Friday, November 16, 2012

Gaza Memuhasabah Kita

Pada Exodus 13 : 21-22; ‘by day the lord went ahead of them in a pillar of cloud to guide them on their way’. Dan dalam Numbers 14 : 14. Deuteronomy 1 : 33, Nehemiah 9 : 12 serta Nehemiah 9 : 19. Kitab Perjanjian.

Pillar of cloud. Sebuah manifestasi kehadiran tuhan Israel di dalam Torah. Dikaitkan dengan pillar of fire, rumpunan api yang membekalkan cahaya dalam gelita malam. Justeru pada pillar of cloud itu, orang Israel dapat mengembara pada siang mahupun malamnya.

Operation Pillar of Cloud. Atau bahasa Hebrewnya Amúd Anán. Atau Pillar / Column of Defense. Atau Operasi Puting Beliung. Atau apa jua namanya,

keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.
Meskipun Presiden Israel, Shimon Peres memaklumkan Barack Obama, sinar harapan keamanan sejagat yang baru diberi peluang kepercayaan kedua, ‘Israel does not want an escalation but for the last five days, we were under nonstop bombardment, mothers and children cannot sleep in peace at night. There is a limit to what Israel can withstand. Ahmed Jabari was behind many terror activities’, lalu lantas disokong beliau dengan kata megahnya, ‘Israel mempunyai hak untuk mempertahankan negara mereka’, sekaligus dihargai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Senyum-senyum Shaul Molfaz, ketua pembangkang Israel. Ehud Olmart, bekas Perdana Menteri angguk-angguk. Jua menteri pertahanannya, Ehud Barak. Jua kepala-kepala Israel lainnya, Tzipi Livni, Shelly Yachimovich dan Naftali Bennett.

Isra-el, yang maksudnya hamba Tuhan. Sepintas lalu, kelihatan ber’iman’nya mereka kepada tuhan mereka. Dengan sedaya-upaya merampas The Promised Land, ‘Tanah yang Dijanjikan’. Dengan perumpamaan manusia bukan Israel sebagai Goyyim, laksana binatang. Oh, baikkah? Paradoks. Tuhan apakah ini? Walau namanya Isra-el, sempena gelaran moyang mereka Nabi Yaakub, walhal ‘el’ di situ ialah Allah, tuhan Nabi Yaakub. Siapa yang terkhilaf sebenarnya? Atau nama tinggal nama?

Ironi. Ramai juga umat islam kini yang islam pada nama sahaja. Aduh, keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.

(Oh, bukanlah semua umat islam. Seperti Israel, hanya Zionis terutamanya yang tegar)

Resolusi keamanan tinggal resolusi. Mengulangi sikap kepada 64 resolusi sebelumnya. Degil namun digeruni. Aduhai Iraq, 2 resolusi yang tidak dipersetujuinya menyebabkan sejarah menukilkan perang besar-besaran atasnya. Digempur gegak-gempita. Lalu mendabik dadalah kepimpinan bendera bintang David bahawa mereka pejuang keamanan sejagat. Melaung lantanglah sedemikian rupa negara kuasa besar, Amerika Syarikat, walhal tampak jelas di sana berat sebelah dan self-oriented. Ucaptama di Twitter Israel, ‘We recommend that no Hamas operatives, whether low level or senior leaders, show their faces above ground in the days ahead’ dibalas Hamas, ‘Our blessed hands will reach your leaders and soldiers wherever they are. You Opened Hell Gates on Yourselves’. Seiring sehaluan dengan pernyataan itu jua, Israeli Defense Force mendakwa ‘Pattern of Hamas to use the population of Gaza as human shields’. Lantas boleh dipercayaikah kata-kata manis mereka ‘we try to avoid civilian casualties’? Petah dan fasih berbicara, namun mementingkan diri sendiri dalam pelaksanaannya. Oh, jadi mereka pun mempraktikkan amar makruf nahi mungkar, tapi sendiri amal mungkar tarki (tinggalkan) makruf.

Ironi. Ramai juga umat islam kini yang sendiri amal mungkar tarki makruf, walaupun berdegar-degar mencoret pena meluah bicara amar makruf nahi mungkar. Aduh, keimanan orang yang beriman dari seluruh pelusuk dunia sedang diuji.
Kecaman demi kecaman. Jet pejuang F-16, jentolak tempur, kereta perisai, bot tentera, waima menara kawalan pun memuntah-muntah. Dan sehingga kini, Hospital asy-Syifa’ antara lain terus menjadi saksi. Sedari detik 14 November 2012, 4.10 petang waktu Gaza bersamaan 10.10 malam waktu Malaysia. Gaza terus bermandi darah. Berbasah keringat dan air mata yang tumpah. Bersama laungan takbir yang tak pernah lelah. Manakan tidak, semulus adik Hisham Ghalban Sulawesi, semuda 10 bulan adik Hanin Tafish, seawal 2 tahun adik Ranan Yousef Arafat dan secilik 7 tahun adik Maria Arafat, antara lain pun sudah gugur mulia sebagai syahid. Sudah menapak ke syurga. Berpimpin tangan bersama adinda Mahmoud Zahar, iaitu as-Syahid Ahmad al-Jabaari, Ketua Umum Briged al-Qassam, menuruti jejak langkah mulia Sheikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz al-Rantisi. Di Gaza, nyawa mereka diniagakan. Dengan siapa? Allah Azzawajalla.

Dan ia benar-benar menggugah. Benar-benar menguji keimanan orang yang beriman dari seluruh dunia. Ketika mereka sedang ditindas, dibunuh, mereka meyakini bahawa Allahlah segala-galanya bagi mereka.

Seperti ironinya umat islam kini yang terlupa ikrar mereka ‘sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah, Tuhan sekalian alam’.

Ketika ajal bertandang, sekalipun perit dan sakit, mereka meyakini bahawa Allahlah segala-galanya bagi mereka. Cintakan mati untuk kehidupan abadi. Sehingga ramai yang tersenyum saat perginya, memandang balasan istimewa yang disediakan buat mereka. Sehingga ramai para ibu di Gaza meluahkan, ‘Kami ingin dan akan berkahwin lagi, supaya dapat melahirkan lebih ramai syuhada’.

Seperti ironinya umat islam kini yang disebutkan Rasul berpenyakit wahan; ‘cintakan dunia dan takutkan kematian’.

Ketika itulah, Allah membuka pelbagai pintu bantuan yang tidak disangka-sangka. Pintu sempadan Mesir dibuka, membenarkan mangsa yang cedera masuk untuk dirawat. Dari seluruh dunia, berpusu sokongan bertali arus. Doa dikirimkan tak putus-putus. Walaupun BBC di Amerika tetap melanggar etika media dengan laporan tidak seimbang. Sehingga Kristen Wolfe mewakili penduduk Barat meluahkan, ‘maafkan kami, kami tidak mengetahui perkara sebenar’.

Siren keselamatan di Ashkelon berkumandang jua. Bi’r Saba’h digempur balas. Digempur balas. Ya, kucar-kacir 14 November 2012 ini bukanlah bermula di situ, namun tragedi 5 November, saat remaja 20-an dibunuh tentera rejim Zionis dan beberapa hari kemudiannya, seorang kanak-kanak kecil yang sedang bermain bola menemui nasib yang sama. Ya, tragedi 5 November itu juga tidaklah bermula di situ, namun jauh sebelumnya, Yahudi telah menolak kerasulan Muhammad kerana bukan daripada kalangan mereka, walaupun Yahudi jugalah yang membunuh nabi-nabi daripada bangsa mereka sendiri. Sehingga dihukum dengan sesat 40 hari di padang pasir. Dihalau dari The Promised Land. Merempat tiada bernegeri. Disebabkan kesalahan sendiri, namun enggan mengakui. Oh, angkuh tidak terperi!

Ironi lagi. Berapa ramaikah umat islam kini yang benar-benar beriman dengan kerasulan Muhammad, dalam erti kata sebenar iaitu mengambil baginda sebagai contoh, mengambil islam yang syumul sebagai cara kehidupan, apatah lagi benar-benar merasai kebersamaan dengan Allah menerusi ihsan?

Aduhai, pengakuan syahadah yang ironik.

Inilah secebis kisah awal Muharram 1434 Hijriah, saatnya kini Gaza masih lebam-lebam dan terus ditempur dihunjam. Benar-benar menguji keimanan orang yang beriman dari seluruh dunia, hatta mereka di Gaza sendiri. Ujian yang mengukur, jua meningkatkan tahap keimanan. Tingginya iman mereka di Gaza, tinggi jua ujian yang dikendong. Hijrahnya kita kepada lebih baik, berhijrah juga mereka kepada kehidupan hakiki yang lebih baik, sebagai syuhada.

Allah uji Gaza untuk menguji kita semua. Gaza memuhasabah kita, aduhai, sudah muhasabah dan hijrahkah kita, sehingga saat ini?

1 comment:

  1. '..Dengan sedaya-upaya merampas The Promised Land, ‘Tanah yang Dijanjikan’..'

    boleh baca ringkasan permasalahan di sini : http://www.onislam.net/english/ask-about-islam/islam-and-the-world/politics-and-economics/166085-was-palestine-promised-by-allah-to-the-israelis.html

    ReplyDelete